Mengapa Isu Sekolah Daif Menjadi Cabaran Di Asia Tenggara?

Share it

Sebanyak 1,061 sekolah di Malaysia masih mempunyai bangunan yang diklasifikasikan di bawah Skala Tujuh, iaitu kategori sekolah daif yang memerlukan tindakan segera. 

Walaupun kerajaan telah memperuntukkan berbilion ringgit sejak sedekad lalu, usaha menaik taraf sekolah-sekolah ini kekal sebagai antara agenda utama pembangunan pendidikan negara.

Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan, termasuk RM2 bilion bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak, selain membiayai kerja penyelenggaraan serta baik pulih sekolah di seluruh negara.

Sejak 2016, kerajaan telah meluluskan RM13.8 bilion untuk melaksanakan 1,250 projek pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara.

Sehingga Jun 2026, sebanyak 813 projek telah siap sepenuhnya, 173 projek sedang dalam pembinaan, manakala 264 projek lagi berada di peringkat pra pembinaan.

Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap murid menikmati akses kepada persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan kondusif.

Persoalannya, sejauh manakah komitmen Malaysia ini jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain yang turut berdepan cabaran infrastruktur pendidikan?

Sejauh Mana Komitmen Negara ASEAN?

Secara keseluruhan, kerajaan Malaysia memperuntukkan RM419.2 bilion dalam Belanjawan 2026, bersamaan 19.7% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu, RM66.2 bilion atau sekitar 15.8% diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, dengan RM2 bilion digunakan bagi menaik taraf sekolah-sekolah daif.

Indonesia dan Vietnam pula mengambil pendekatan yang lebih formal dengan menetapkan sekurang-kurangnya 20% daripada belanjawan negara untuk sektor pendidikan sebagai komitmen jangka panjang.

Indonesia mengekalkan mandat tersebut di bawah Perlembagaannya dengan memperuntukkan RM200 bilion kepada sektor pendidikan dalam Belanjawan 2026, bersamaan 20% daripada jumlah Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) sebanyak RM999 bilion.

Daripada jumlah itu, sekitar RM3.6 bilion diperuntukkan bagi program revitalisasi sekolah, termasuk pembaikan dan naik taraf kemudahan pendidikan yang rosak.

Vietnam pula memperuntukkan sebanyak RM518 bilion bagi perbelanjaan negara pada 2026. 

Selaras dengan resolusi Parlimen bagi tempoh 2026 hingga 2030, sekurang-kurangnya 20% daripada jumlah tersebut diperuntukkan kepada sektor pendidikan dan latihan, bersamaan kira-kira RM104 bilion.

Bagi Singapura pula, kerajaan di negara itu memperuntukkan RM52.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan bagi menyokong pembangunan sistem pendidikan negara. 

Selain itu, sebanyak RM1 bilion atau kira-kira 1.9% daripada jumlah peruntukan kementerian, disalurkan untuk menaik taraf sekolah-sekolah sedia ada.

Walaupun peruntukan naik taraf sekolah di Singapura kelihatan lebih kecil berbanding negara lain, ia sebahagian besarnya mencerminkan tahap kematangan infrastruktur pendidikan negara itu.

Kebanyakan sekolah berada dalam keadaan baik hasil penyelenggaraan berkala dan pelaburan berterusan sejak bertahun-tahun, sekali gus mengurangkan keperluan projek naik taraf berskala besar.

Filipina Berdepan Cabaran Lebih Besar

Jika Malaysia sering dikaitkan dengan isu sekolah daif, Filipina pula berdepan cabaran yang jauh lebih besar apabila kekurangan sebanyak 165,443 bilik darjah di seluruh negara.

Situasi itu dijangka bertambah mencabar apabila sekitar 51,000 bilik darjah lama berisiko tidak lagi selamat digunakan dan mungkin terpaksa ditutup menjelang 2028.

Bagi menangani masalah tersebut, kerajaan Filipina memperuntukkan sekitar RM6.7 bilion dalam belanjawan negara itu. 

Daripada jumlah itu, RM4.9 bilion digunakan untuk membina hampir 25,000 bilik darjah baharu, manakala RM580 juta diperuntukkan bagi kerja baik pulih dan pemulihan sekolah sedia ada.

Keadaan sekolah di Filipina yang tidak selamat.

Pendekatan Filipina adalah bilangan bilik darjah dijadikan ukuran utama bagi menilai kemajuan dalam menangani kekurangan infrastruktur pendidikan. 

Ini bermaksud kejayaan dasar diukur melalui setiap bilik darjah baharu dan dikira secara berasingan, tanpa mengira bangunan atau kompleks sekolah mana ia berada. 

Sebaliknya, Malaysia menggunakan pendekatan yang berasaskan projek. 

Sejak 2016 hingga 2026, sebanyak RM13.8 bilion diperuntukkan untuk kira-kira 1,250 projek sekolah daif di seluruh negara yang melibatkan pembinaan semula, penggantian bangunan dan kerja naik taraf secara menyeluruh. 

Dalam konteks ini, satu unit projek bukan bermaksud satu bilik darjah, tetapi merujuk kepada keseluruhan skop kerja bagi sesebuah sekolah atau kompleks sekolah.

Ini boleh merangkumi pembinaan semula beberapa blok bangunan, penggantian struktur usang, penambahbaikan kemudahan asas dan kerja infrastruktur sokongan lain di bawah satu projek yang sama. 

Dalam masa yang sama, Malaysia turut berdepan isu berbeza iaitu sekolah padat. Sehingga suku pertama 2026, sebanyak 855 sekolah dikenal pasti mengalami lebihan kapasiti melebihi 25%.

Bagi mengurangkan tekanan tersebut, kerajaan memperuntukkan tambahan RM900 juta untuk membina 6,000 bilik darjah baharu pada tahun ini.

Cabaran Berbeza, Pendekatan Berlainan

Secara keseluruhannya, setiap negara ASEAN berdepan cabaran pendidikan yang berbeza mengikut faktor geografi, ekonomi dan dasar pembangunan masing-masing.

Di Malaysia, isu sekolah daif tertumpu di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang sukar diakses. 

Indonesia pula berdepan cabaran menyediakan pendidikan berkualiti di wilayah terpencil seperti Papua, Nusa Tenggara Timur dan pulau-pulau kecil yang berselerak.

Sementara itu, negara seperti Laos, Kemboja dan Myanmar masih bergelut dengan kesan konflik berpanjangan, kadar kemiskinan yang tinggi serta pelaburan pendidikan lebih terhad.

Di kawasan luar bandar, banyak sekolah masih kekurangan kemudahan asas dan tenaga pengajar, sekali gus menyumbang kepada kadar keciciran pelajar yang tinggi.

Justeru, kejayaan menangani isu infrastruktur pendidikan tidak hanya bergantung kepada saiz belanjawan, tetapi juga keupayaan kerajaan melaksanakan dasar yang sesuai dengan cabaran dan keperluan.