
Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City di Johor Bahru diwujudkan bagi menarik pelaburan dan bakat bertaraf global menerusi pelbagai insentif cukai serta kemudahan perniagaan.
Antaranya termasuk kadar cukai korporat 5% bagi sektor terpilih, cukai pendapatan 15% untuk pekerja berpengetahuan yang layak serta insentif kepada Single Family Office.
Langkah ini bertujuan memperkukuh kedudukan Forest City sebagai hab pelaburan antarabangsa.
Namun, tumpuan terhadap Forest City berubah apabila dakwaan mengenai kewujudan ‘perkampungan Zionis’ di kawasan itu tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan.
Apa Sebenarnya Projek Network School?
Network School ialah sebuah komuniti pembelajaran dan kediaman yang diasaskan oleh pelabur teknologi dari Amerika Syarikat, Balaji Srinivasan, 46 pada tahun 2024.
Konsep Network School adalah untuk menghimpunkan usahawan, membangunkan perisian dan individu dalam bidang teknologi untuk tinggal serta belajar bersama dalam satu komuniti.
Menerusi buku yang diterbitkan oleh Srinivasan, ‘Network State’ pada 2022, beliau berhujah bahawa model negara-bangsa semakin merosot dan internet membuka ruang kepada bentuk masyarakat baharu.
‘Network state’ merupakan sebuah konsep di mana pembentukan komuniti digital boleh berkembang jadi penempatan fizikal dengan sistem sosial-ekonomi sendiri.
Forest City Jadi Tapak Pertama Network School

Srinivasan kemudiannya memilih Forest City sebagai lokasi pertama untuk merealisasikan konsep tersebut menerusi projek Network School.
Kemudahan infrastruktur yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, status zon bebas cukai serta kedudukan Forest City yang berhampiran dengan Singapura dipercayai menjadikannya lokasi menarik.
Menurut Sinar Daily, ahli yang menyertai program itu dikenakan yuran bulanan sekitar RM6,117 hingga RM12,234 bagi mendapatkan akses kepada penginapan, ruang kerja bersama serta program komuniti dan pembelajaran teknologi.
Srinivasan juga dilaporkan berusaha menjalinkan hubungan lebih rapat dengan pemimpin negara menerusi pembentangan projek Network School.
Selain itu, bekas CTO Coinbase itu juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kerajaan, termasuk Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada 17 April lalu.
Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan kerjasama lebih erat antara kerajaan dan Network School yang didakwa mampu menarik bakat teknologi bertaraf dunia ke Malaysia.
Srinivasan turut membentangkan prototaip baharu platform permohonan visa Malaysia serta mencadangkan skim visa khas yang membolehkan penghuni Network School tinggal lebih lama berbanding tempoh dibenarkan di bawah pas lawatan biasa.
Dalam pada itu, Gobind juga telah memuat naik gambar bersama Srinivasan di platform X dan memaklumkan projek itu akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan bakat teknologi global.
Namun, hantaran tersebut mencetuskan kritikan sebelum akhirnya dipadamkan.
Kenapa Projek Ini Jadi Kontroversi?
Bantahan mula timbul berhubung asas ideologi projek itu serta sama ada komuniti sedemikian boleh beroperasi dalam Malaysia berikutan cabaran melibatkan kerangka perundangan dan kawal selia sedia ada.
Ideologi Srinivasan mula dipertikai susulan tular dakwaan ahli perniagaan itu menggunakan istilah ‘Tech Zionism’ untuk menggambarkan visi komuniti teknologi.
Konsep ‘network state’ yang dibawa oleh Srinivasan didakwa mencabar idea tradisional kedaulatan negara apabila komuniti digital mula membentuk struktur fizikal dengan identiti dan sistem sosial-ekonomi sendiri.
Antara isu yang dibangkitkan adalah sejauh mana komuniti itu perlu mematuhi undang-undang Malaysia apabila beroperasi dalam wilayah berdaulat negara.
Ia merangkumi aspek imigresen, pendidikan dan keselamatan, selain pematuhan terhadap kerangka perundangan sedia ada.
Dalam pada itu, tular dakwaan terdapat warga Israel menyertai program Network School dengan menggunakan pasport negara kedua.
Antara Pelaburan Global & Kedaulatan Negara
Susulan itu, kerajaan negeri Johor pada 14 Julai mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap operasi projek tersebut.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kerajaan negeri memandang serius isu itu.
Jelasnya, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan mana-mana warga Israel yang dikesan berada di Malaysia akan diusir serta-merta susulan Malaysia tidak mengiktiraf Israel.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memaklumkan sudah memulakan siasatan menyeluruh berhubung operasi Network School.
Ini termasuk meneliti identiti dan status kewarganegaraan individu yang didakwa terbabit dalam projek berkenaan.
Dengan kehadiran beberapa gergasi teknologi melebarkan operasi di negeri Johor, didorong momentum Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), negeri itu dilihat ideal sebagai destinasi strategik bagi pelaburan teknologi serantau.
Namun, keterbukaan ekonomi ini turut berdepan cabaran apabila perlu diseimbangkan dengan dasar luar Malaysia, termasuk sekatan kemasukan terhadap pemegang pasport Israel.
Isu Network School mencerminkan cabaran utama zon ekonomi khas dalam menyeimbangkan usaha menarik bakat global dan pelaburan asing dengan keperluan undang-undang, keselamatan negara serta dasar diplomatik sedia ada.
