
Baru-baru ini, media melaporkan badan berkanun yang menguruskan skim pencen bagi pekerja awam negara iaitu Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menjadi mangsa penipuan syarikat pemula akuakultur di Indonesia, yang dikenali sebagai eFishery.
eFishery diasaskan oleh Gibran Huzaifah dan Chrisna Aditya pada 2013 sebelum berkembang pesat sehingga mencapai penilaian sekitar RM5.9 bilion.
Syarikat itu pernah mencapai penilaian sebanyak RM5.9 bilion selepas menerima pelaburan dalam pusingan pembiayaan terbaharu daripada G42.
G42 merupakan sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) yang dikaitkan dengan Sheikh Tahnoon bin Zayed Al Nahyan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada 2023, syarikat itu berjaya mengumpulkan kira-kira RM840 juta menerusi pusingan pelaburan Siri D (Series D), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat unicorn Indonesia.
Selain itu, eFishery berjaya mengumpul ratusan juta dolar untuk memodenkan industri akuakultur Indonesia melalui teknologi pemberian makanan ikan dan bekalan makanan kepada penternak.
Namun selepas dakwaan penipuan mula tersebar, pekerja menubuhkan SP eFishery dan mengadakan demonstrasi di Bandung pada Januari 2025 bagi menuntut tindakan daripada pihak pengurusan.
Bagaimana eFishery Menjadi Tarikan Pelabur?
Bagi meyakinkan konsortium pelabur antarabangsa termasuk pelabur asal Aqua-Spark, pengurusan eFishery didakwa membentangkan angka kewangan yang tidak menggambarkan keadaan sebenar syarikat.
KWAP dilaporkan melabur kira-kira RM200 juta dalam pusingan pembiayaan Series D eFishery pada 2023.
Selain KWAP, pelaburan dalam syarikat itu turut melibatkan beberapa pelabur institusi serta dana teknologi antarabangsa terkemuka seperti syarikat pelaburan milik kerajaan Singapura, Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.
Pada Disember 2024, lembaga pengarah mengarahkan siasatan dalaman dilaksanakan selepas timbul keraguan terhadap angka kewangan syarikat.
Siasatan dalaman mendapati eFishery melaporkan keuntungan kira-kira RM67.2 juta bagi sembilan bulan pertama 2024.
Perbezaan hampir RM214.2 juta antara angka yang dilaporkan dengan kedudukan kewangan sebenar menjadi antara penemuan utama dalam siasatan berhubung dakwaan manipulasi kewangan tersebut.
Susulan itu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram tahun lalu.

Pelaburan KWAP Dalam eFishery Ikut Proses Tadbir Urus
Sementara itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa keputusan pelaburan KWAP dalam eFishery dibuat melalui proses penilaian serta tadbir urus yang sewajarnya.
Jelasnya, konsortium pelabur berkenaan turut menjalankan proses usaha wajar bebas bagi memastikan maklumat berkaitan syarikat itu lengkap, tepat dan sahih sebelum keputusan pelaburan dibuat.
Kini, tindakan undang-undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman dan juga pengukuhan kawalan sudah dilakukan oleh konsorÂtium pelaburan termasuk KWAP.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan akan meneliti keperluan mengadakan prosiding berhubung isu pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery.
Keputusan sama ada PAC akan mengadakan prosiding berhubung isu berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu oleh jawatankuasa sebelum sebarang ketetapan dibuat.
Keperluan Ketelusan Dana Awam
Pada tahun 2024, KWAP merekodkan pendapatan bersih tertinggi, mencecah rekod sebanyak RM12.9 bilion dengan pulangan keseluruhan 12%.
Sebagai perbandingan, pelaburan KWAP dalam eFishery berjumlah sekitar RM200 juta, merangkumi kira-kira 1.5% daripada pendapatan bersih KWAP.
Jumlah itu juga bersamaan 0.11% daripada keseluruhan aset dana tersebut yang meningkat kepada RM185.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Walaupun nilainya kecil berbanding saiz keseluruhan dana, pelaburan tersebut tetap melibatkan wang awam dan simpanan rakyat.
Justeru, isu utama bukan semata-mata pada jumlah kerugian, tetapi sejauh mana proses tadbir urus, penilaian risiko dan pemantauan pelaburan dilaksanakan dengan berkesan.
