Penggunaan kenderaan elektrik (EV) dijangka terus meningkat seiring hala tuju Malaysia ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih.
Kerajaan menyasarkan jualan kenderaan elektrik (EV) mencecah 20% daripada jumlah jualan kenderaan baharu menjelang 2030, kemudian naik kepada 50% (2040) dan 80% pada 2050.
Namun, pengumuman Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhubung peraturan baharu berkaitan EV import yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu menjadi perbahasan.Ā
Ini susulan pengendalian peraturan baharu import EV, yang dijangka menyebabkan harga model import sepenuhnya (CBU) melonjak tinggi.
Dibawah rangka kerja baharu itu, ambang harga minimum EV import dinaikkan kepada RM200,000 seunit, sekaligus menyebabkan harga jualan EV di atas jalan dijangka meningkat kepada sekitar RM300,000 seunit.
Kenaikan Harga Dikhuatiri Membebankan PenggunaĀ

Menerusi podcast PERSPEKTIF yang dihoskan oleh Ismail Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad (PKB), Mohd Azad Jasmi menjelaskan polemik timbul apabila kerajaan menaikkan cukai terhadap kemasukan kenderaan Completely Built-Up (CBU), khususnya yang melebihi nilai tertentu.Ā
Jelas Azad, langkah itu dilihat sebagai usaha untuk melindungi industri automotif tempatan seperti Proton dan Perodua daripada persaingan pasaran, namun dijangka memberi kesan terhadap pengguna.
āJika dilihat daripada sudut pengguna, EV bukan sepatutnya menjadi satu keistimewaan atau produk premium.ā
āPeningkatan kos dan keperluan terhadap kenderaan lebih cekap sepatutnya membuka ruang kepada pengguna untuk mendapatkan kenderaan baik pada harga berpatutan,ā katanya.Ā
Tegasnya, sekiranya kerajaan mahu melindungi industri tempatan, pendekatan itu tidak seharusnya hanya melalui kenaikan cukai yang mengehadkan akses pengguna.
Sebaliknya, kerajaan perlu melihat kepada dasar transformasi industri yang membolehkan persaingan berlaku sambil memastikan pemain tempatan terus berkembang.
āPerlindungan industri juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada Proton dan Perodua, tetapi melibatkan keseluruhan ekosistem automotif Malaysia agar mampu bersaing dalam jangka panjang.”
“Malah, kerajaan juga boleh membawa masuk CBU dengan harga yang lebih rendah untuk memberi peluang kepada rakyat menggunakan EV sekali gus merancakkan industri,” tambahnya.
Masa Depan EV Bergantung Kepada Transformasi Industri
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Gabenor, University Malaysia-Wales, Prof. Datoā Hj Omar Hj Osman memaklumkan dasar EV perlu dilihat dari sudut transformasi industri, bukan sekadar perlindungan kepada pengeluar sedia ada.Ā
Jelasnya, jika dibandingkan dengan negara jiran, Thailand dan Indonesia kini antara negara yang paling agresif dalam membangunkan industri EV.Ā
āThailand, khususnya menggunakan pelbagai pendekatan termasuk subsidi pengguna serta insentif pengeluaran dengan nilai hampir 12,000 THB (kira-kira RM1,465) bagi setiap pengguna.ā
āSelain itu, Thailand mempunyai lebih banyak pemain pemasangan tempatan (CKD), sekali gus menghasilkan pilihan EV yang lebih pelbagai berbanding Malaysia yang masih didominasi oleh beberapa pemain utama seperti Proton dan Perodua,ā katanya.

Tegasnya, pasaran EV tempatan memerlukan lebih banyak pengeluar untuk meningkatkan persaingan dan pilihan pengguna.
Beliau turut menambah, negara seperti Indonesia turut memberi tumpuan kepada pembangunan industri EV dengan penekanan terhadap tahap penggunaan bahan-bahan dari sumber tempatan (localisation) untuk pemasangan EV.
Selepas tempoh awal dasar EV dilaksanakan, Indonesia mula membuka ruang kepada lebih banyak jenama mampu milik untuk memasuki pasaran.
Namun jelasnya, di Malaysia lebih banyak pengeluar diperlukan bagi memastikan EV mampu milik dapat dinikmati oleh golongan pertengahan, bukan hanya segmen premium.
āJika akses kepada EV dihadkan melalui harga lebih tinggi, manfaat teknologi itu mungkin hanya dinikmati segelintir pengguna,ā ujarnya.Ā
Industri EV Perlukan Kepakaran Tempatan
Sementara itu, Azad turut menekankan pendekatan yang diambil Malaysia seharusnya bukan sekadar dasar perlindungan, tetapi dasar transformasi industri.
Menurutnya, kemahiran dalam mengendalikan kenderaan EV yang melibatkan pelbagai teknologi seperti bateri, sistem elektronik (ECU), rangka kenderaan dan teknologi baharu sewajarnya turut dikuasai oleh tenaga kerja tempatan.Ā
Justeru itu, beliau mencadangkan agar kemasukan pemain-pemain asing perlu disertai syarat pemindahan teknologi melalui kerjasama dengan universiti, kolej, politeknik serta institusi latihan.
āDalam tempoh 10 hingga 15 tahun, matlamatnya ialah memastikan pelajar, tenaga pengajar dan industri tempatan memiliki kemahiran berkaitan teknologi EV.ā
āSekiranya kerajaan mengenakan cukai tinggi untuk melindungi industri tempatan, ia hanya memberi perlindungan sementara.ā
āSebaliknya, kemasukan syarikat asing perlu dimanfaatkan untuk membawa masuk ilmu, teknologi dan pelaburan R&D ke Malaysia,ā katanya.Ā
Tambahnya, pendekatan itu membolehkan pengguna terus mendapat akses kepada EV-EV yang mempunyai teknologi terkini pada harga lebih berpatutan.
Di samping itu, negara mampu membina keupayaan teknologi dan tenaga kerja tempatan untuk bersaing dalam jangka panjang.
MITI Muktamadkan NCM Tahun DepanĀ
Dalam pada itu, Menteri MITI, Datuk Seri Johari Ghani memaklumkan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) bagi industri automotif akan dimuktamadkan pada tahun hadapan bagi memperkukuh keupayaan industri tempatan.
NCM merupakan rangka kerja dasar automotif baharu yang memperkenalkan sistem insentif lebih telus, adil dan berasaskan pencapaian, menggantikan pendekatan lama yang bergantung kepada rundingan khas.
āPeningkatan import kenderaan siap dipasang sepenuhnya berisiko menjejaskan ekosistem pembekal tempatan.ā
āJadi kerajaan mahu pengeluar kenderaan di Malaysia, bukan sahaja Proton dan Perodua memastikan kenderaan mereka mempunyai kandungan tempatan,ā katanya.
Tegas Johari, bagi kebanyakan kenderaan yang dipasang di Malaysia hari ini, kerajaan mahu ia mengandungi kandungan buatan tempatan yang signifikan, disokong oleh rangkaian pembekal canggih.
āKami mahu setiap kilang pemasangan yang beroperasi di negara ini, berusaha memastikan penglibatan kandungan tempatan dalam setiap aspek dan bukan sekadar komponen import yang dilabel sebagai barangan tempatan,ā akhirinya.Ā
Tonton rakaman penuh podcast di saluran YouTube Ekonomi Rakyat.
