Perdana Menteri Umum Pakej Rangsangan PEMULIH Dengan RM10 bilion Suntikan Fiskal

Share it
Perdana Menteri bentang Pakej Rangsangan Ekonomi PEMULIH

Perdana Menteri mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi ( PEMULIH ) dengan nilai keseluruhan pakej sebanyak RM150 bilion. Sejumlah RM10 bilion diperuntukan oleh kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal bagi membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi ini.

Kumpulan isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima tambahan RM1,300 melalui Bantuan Khas Covid-19 manakala kumpulan B40 dan M40 masing-masing menerima RM800 dan RM250. Bayaran ini dibuat secara berperingkat bermula bulan Ogos hingga Disember tahun ini.

Selain itu, pengusaha mikro juga bakal menerima Geran Khas Prihatin 4.0 dengan tambahan RM1,000 yang akan dibayar pada September dan November tahun ini. Sebanyak RM5.1 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan skim ini.

Program Subsidi Upah turut diteruskan yang bakal memberi manfaat kepada lebih 2.5 juta pekerja di seluruh Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion. Syarikat dibenar menerima subsidi upah sehingga 500 pekerja bagi setiap syarikat dengan subsidi RM600 seorang setiap bulan.

Pengeluaran simpanan persaraan KWSP juga diteruskan melalui skim i-Citra dengan pengeluaran maksimum sebanyak RM5,000 bagi setiap pencarum melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM30 bilion.

Ini merupakan kali keempat pada tahun ini kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dengan jumlah keseluruhan pakej rangsangan ekonomi sejak tahun lalu sebanyak RM530 bilion. Namun demikian, hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan pakej rangsangan ekonomi melibatkan implikasi kewangan buat kerajaan.

Sebahagian besar nilai pakej rangsangan ekonomi yang lain melibatkan moratorium pinjaman dan pengeluaran wang caruman KWSP.