“ T20 Tak Sekaya Yang Disangka “ – Nurhisham Hussein, Pengarah Ekonomi PMO

Share it
Nurhisham Hussein, ketika hadir di Studio Ekonomi Rakyat untuk sesi rakaman Podcast The Overview

Nurhisham Hussein, Pengarah Kanan Ekonomi & Kewangan di Pejabat Perdana Menteri menjelaskan dasar-dasar yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan perlu menggunakan data yang tepat bagi memastikan objektifnya tercapai.

Beliau ketika hadir di Podcast The Overview ditanya oleh hos, Mathew Achari menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai klasifikasi T2o, M40 dan B40 ini, yang sering kali digunakan untuk penyasaran bantuan Kerajaan.

Kata Nurhisham, penggunaan klasifikasi T20 dan M40 dan B40 bukan bermaksud kesemua mereka berada di dalam golongan kaya ataupun miskin, cuma klasifikasi ini hanya menerangkan pecahan siapa di bahagian atas, tengah dan bawah sahaja.

“ Laporan yang kita gunakan T20, M40 dan B40 ini telah kita gunakan daripada tahun 1970-an lagi. Dia untuk menerangkan yang atas, tengah dan bawah sahaja. Bukan kaya dan miskin. Jadi bila kita nak sampai kepada implementasi sasaran, kita patut buat dengan lebih terperinci lagi “

Sebelum ini, Perdana Menteri pernah memberi indikasi bahawa golongan Tertinggi 15% (T15), mungkin bakal dipinggirkan daripada bantuan subsidi RON95. Namun setelah pengumuman terperinci dibuat, program BUDI95 ini diumumkan bakal memanfaatkan segenap lapisan rakyat Malaysia, termasuklah golongan T15.

Nurhisham ketika ditanya mengenai perkara ini menjelaskan golongan T15 di Malaysia, hanyalah mempunyai pendapatan sekitar RM16,000 sebulan, yang mana bukan bermaksud kumpulan ini benar-benar kaya.

Beliau juga mendedahkan bahawa perbezaan utama antara B40 dan T20 adalah bilangan penerima pendapatan.

“ Secara umum, purata bilangan penerima pendapatan untuk isirumah T20 adalah tiga orang. Purata bilangan penerima pendapatan untuk B40 adalah dua orang. Sebenarnya, beza pendapatan per kapita tak banyak beza. “

Dalam kata lain, ini bermaksud rata-rata isi rumah yang tergolong dalam T20 mempunyai lebih ramai bilangan orang yang bekerja, manakala isi rumah B40 rata-rata hanya mempunyai dua orang pekerja, yang mana pendapatan bulanan setiap daripada mereka secara amnya tidak banyak beza.

Siapa Kaya Siapa Miskin – Sukar Dipastikan

Meskipun T20 mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding yang lain, Nurhisham menjelaskan bahawa golongan ini bukanlah mereka yang mempunyai aset bernilai jutaan ringgit ataupun mempunyai pemandu peribadi dan sebagainya.

Rata-rata mereka menjalani kehidupan biasa seperti orang lain.

Beliau juga berkongsikan had minimum yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini untuk dikecualikan daripada bantuan subsidi BUDI95, iaitu sekitar RM20,000 hingga RM25,000 sebulan.

Menurutnya, bilangan isi rumah yang meraih pendapatan sebanyak hanyalah sekitar 1% sahaja. Keadaan ini menyebabkan Kerajaan berpendapat tidak berbaloi untuk mengecualikan kumpulan ini daripada sistem BUDI95, kerana penjimatan yang bakal diraih tidak signifikan serta mungkin memberi tekanan terhadap mekanisme pelaksanaan.

Mengikut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kategori pendapatan B40, M40 dan T20 yang terbaru adalah;

  • B40: Kurang dari RM5,860 sebulan
  • M40: RM5,860 hingga RM12,679 sebulan
  • T20: Lebih dari RM12,680 sebulan

Purata pendapatan isi rumah di Malaysia adalah sebanyak RM9,155 sebulan, dengan penengah pendapatan sebanyak RM7,017 sebulan.

Tonton rakaman podcast penuh di saluran Youtube Ekonomi Rakyat.