
Rakyat Malaysia Bergelut Menampung Kos Sara Hidup
Inflasi di negara ini dilaporkan terus meningkat kepada 1.9% pada April berbanding 1.7% pada Mac 2026. Bacaan inflasi yang lebih tinggi itu ekoran kejutan harga minyak pada bulan tersebut, yang didorong oleh peningkatan ketegangan geopolitik melibatkan Iran dan AS-Israel.
Peningkatan berkenaan secara langsung memberi kesan kepada kos sara hidup buat rakyat Malaysia, tambahan lagi isi rumah kini berdepan dengan cabaran peningkatan upah dan pendapatan yang masih perlahan.
Menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), kira-kira 70% isi rumah di Malaysia sedang bergelut untuk menampung kos sara hidup susulan tekanan gaji rendah yang berpanjangan sejak dua hingga tiga dekad lalu.
Pengarah Penyelidikan KRI, Dr Suraya Ismail ketika berbicara di KRI Open Table Podcast, menjelaskan bahawa masalah itu berpunca daripada struktur ekonomi negara yang gagal mewujudkan pertumbuhan gaji lebih baik meskipun ekonomi berkembang.
Menurutnya, sebahagian besar rakyat kini bukan lagi berbelanja untuk perkara bersifat aspirasi, sebaliknya hanya memenuhi keperluan asas harian.
Dr Suraya mendedahkan peningkatan kos sara hidup menyebabkan ramai masih tidak mempunyai pendapatan mencukupi.
“Malaysia mengalami masalah gaji statik, kita tidak ada gaji yang tinggi sepanjang 20 hingga 30 tahun,” ujarnya.

Anjakan Struktur Ekonomi dan Keperluan Budaya Inovasi
Jelasnya, perubahan struktur ekonomi sejak era 1980-an turut menyumbang kepada situasi tersebut selepas Malaysia menerima pendekatan neo-liberal menerusi pelbagai dasar penyahkawalseliaan dan liberalisasi ekonomi.
Keadaan itu menyebabkan kerajaan kini lebih bertindak sebagai pemudah cara berbanding peneraju utama ekonomi, manakala firma dan pemilik modal menjadi pihak dominan dalam menentukan hala tuju pasaran.
Dalam masa sama, kebergantungan kepada pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja, khususnya dalam industri seperti pembinaan pembuatan dan perkhidmatan turut menyumbang kepada masalah gaji statik berpanjangan.
Jelasnya, bagi mengatasi masalah gaji statik, budaya inovasi sewajarnya perlu diperkasakan dalam semua firma termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Namun begitu, sebahagian PKS masih bergantung kepada pekerja asing dan tenaga kerja sementara bagi memastikan operasi lebih fleksibel serta kos buruh lebih rendah.
Tambahnya, kebergantungan itu memberi tekanan kepada kadar gaji pekerja tempatan kerana mereka terpaksa bersaing dengan pekerja asing yang menerima bayaran lebih rendah.
Malah, agihan pendapatan firma di Malaysia sangat rendah berbanding dengan negara-negara maju yang lain.
“Hanya sekitar 30% hasil firma di Malaysia disalurkan kepada pampasan pekerja, manakala baki 70% dinikmati pemilik modal dan syarikat. ”
“Sebagai perbandingan, firma di United Kingdom memperuntukkan hampir 49.8% hasil kepada pekerja, manakala Jerman sekitar 54.7%,” katanya.
Justeru itu, agihan pendapatan firma seharusnya lebih seimbang kerana ia mampu merangsang pertumbuhan ekonomi.
Seterusnya, memberikan rakyat kuasa untuk berbelanja dan membuat pembelian lebih baik untuk menyara kehidupan sekali gus meningkatkan perbelanjaan domestik.
Kadar Pertumbuhan Gaji Tidak Seiring Harga Barangan
Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan sejak 2019 kadar pertumbuhan gaji tertinggal jauh ke belakang berbanding harga barangan.
Jelas BNM, situasi tersebut memberi kesan negatif terutamanya kepada isi rumah B40.
Contohnya, setiap RM100 daripada gaji, RM52 akan digunakan untuk memberi barangan keperluan.
“Ini tidak termasuk perkhidmatan-perkhidmatan penting seperti insurans dan sebagainya,” lapor BNM.
Berdasarkan klasifikasi kumpulan pendapatan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), isi rumah dalam kumpulan B40 mencatatkan pendapatan purata RM4,120 dengan pendapatan antara RM5,250 dan ke bawah sebulan.
Sementara itu, M40 merekodkan pendapatan purata RM7,694 dengan pendapatan antara RM5,250 hingga RM11,819.
Walaupun angka nominal gaji menunjukkan peningkatan, Bank Dunia mendedahkan jurang yang membimbangkan antara pertumbuhan gaji dan pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam tempoh 2010 hingga 2024, gaji purata meningkat daripada RM1,792 kepada RM2,570 menunjukkan pertumbuhan 43%, namun jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan KDNK sebanyak 82% dalam tempoh yang sama.
Secara tahunan, ia mencerminkan pertumbuhan gaji hanya sekitar 3% setahun.
Di peringkat negeri, laporan Bank Dunia mendapati pertumbuhan gaji dan kadar gaji benar masih tidak seimbang, dengan beberapa negeri hanya mencatat median gaji benar yang sedikit lebih tinggi daripada gaji minimum nasional, sekali gus meningkatkan tekanan kewangan dan kos sara hidup rakyat.
Saksikan rakaman penuh KRI Opentable Podcast Ep.6 di YouTube Khanazah Research Institute.
