SD Guthrie, Tradewinds & Achi Jaya Dilaporkan Berminat Untuk Ambil Alih Boustead Plantations

Share it

Tiga syarikat perladangan tempatan dilaporkan sedang dalam rundingan untuk mengambil alih Boustead Plantation (BPlant), anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Berhad, yang dianggarkan bernilai antara RM2 bilion hingga RM3 bilion.

Penganalisis ketika ini melihat SD Guthrie berada di kedudukan hadapan untuk mengambil alih syarikat berkenaan. Dua lagi syarikat persendirian, Tradewinds Plantation serta Achi Jaya Plantations, turut dilaporkan mengemukakan tawaran masing-masing.

Usaha penjualan BPlant bermula pada Ogos 2023 apabila Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan anak syarikatnya, Boustead Holdings Berhad (BHB), bersetuju melupuskan 33% pegangan mereka kepada Kuala Lumpur Kepong (KLK) pada nilai RM1.15 bilion.

Menurut Menteri Pertahanan ketika itu, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, langkah itu terpaksa dilakukan bagi memulihkan kedudukan kewangan Boustead dan LTAT yang pada masa itu perlu melunaskan komitmen hutang bernilai hampir RM2.4 bilion.

Bagaimanapun, langkah pengambilalihan oleh KLK tersebut dibatalkan pada Oktober 2023 selepas Kerajaan menerima kritikan dari pelbagai pihak yang menggambarkan entiti perladangan itu akan dijual kepada syarikat perladangan bukan Bumiputera.

Kerajaan kemudian menghulurkan jaminan Kerajaan kepada LTAT bagi mendapatkan pembiayaan berjumlah RM2 bilion untuk mengambil alih baki 68% pegangan saham pada harga RM1.55 sesaham.

Kini, selepas hampir tiga tahun, LTAT dan BHB sekali lagi dalam proses mencari pembeli kepada syarikat tersebut, yang merekodkan hasil RM941 juta dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM287 juta.

Sumber memaklumkan kepada ER bahawa bagi pusingan rundingan kali ini, LTAT dan BHB sememangnya menggariskan supaya tawaran dibuat dalam kalangan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat Bumiputera.

Menurutnya, langkah itu dibuat bagi memastikan Kerajaan tidak menerima serangan dan kritikan seperti yang berlaku pada tahun 2023.

SD Guthrie, yang sebelum ini dikenali sebagai Sime Darby Plantation (SD), dilihat sebagai satu-satunya syarikat GLC yang benar-benar menunjukkan minat, manakala pemain lain seperti FELDA dan TH Plantations dilihat tidak mempunyai kekuatan kewangan ketika ini.

FELDA sebelum ini dilaporkan bergelut dengan hutang berjumlah RM10 bilion dan baru sahaja mengambil alih FGV pada Ogos lalu. TH Plantations pula, yang mempunyai nilai pasaran sekitar RM500 juta, dilihat belum bersedia mendapatkan komitmen pembiayaan melebihi RM2 bilion ketika aset tunainya hanya sekitar RM97 juta.

Tiga syarikat dilaporkan berminat untuk mengambil alih Boustead Plantations

Tradewinds Plantations, syarikat yang dikuasai Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, turut dilaporkan berpeluang mengambil alih BPlant sekiranya LTAT memutuskan untuk tidak melupuskan pegangan mereka kepada SD Guthrie.

Laporan kewangan menunjukkan Tradewinds merekodkan hasil RM2.3 bilion pada 2024 dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM191 juta.

Syarikat itu dilihat tidak mempunyai kekangan besar untuk mendapatkan pembiayaan memandangkan penyata kewangannya menunjukkan aset semasa berjumlah RM1.2 bilion, selain sokongan kewangan daripada entiti komersial lain milik Syed Mokhtar.

Achi Jaya Plantations, yang tidak dinamakan dalam laporan akhbar sebelum ini, turut dikatakan mengintai peluang mengambil alih BPlant meskipun masih belum berjaya dihubungi ER untuk pengesahan. Syarikat itu sebahagian besarnya dimiliki Tan Sri Onn Mahmud, adik kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Onn Mahmud sebelum ini mencuri perhatian dunia korporat apabila membeli hotel lima bintang Sheraton Imperial KL di Jalan Sultan Ismail pada harga RM250 juta.

Penyata kewangan syarikat itu menunjukkan Achi Jaya Plantations merekodkan hasil RM379 juta pada 2024 dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM109 juta.

Sumber menjelaskan bahawa sekiranya syarikat itu mahu mengambil alih BPlant, ia perlu meyakinkan bank-bank untuk pembiayaan memandangkan kedudukan aset kewangan Achi Jaya Plantations tidak begitu kukuh.

Data menunjukkan Achi Jaya Plantations mempunyai aset semasa sebanyak RM93 juta pada 2024.

Siapa Calon ‘Favourite’?

SD Guthrie, yang dimiliki secara signifikan oleh Permodalan Nasional Berhad (40%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (11%) dan Kumpulan Wang Persaraan (7%), dikatakan menjadi pilihan utama untuk membeli BPlant.

Pada 2025, syarikat perladangan terbesar negara itu merekodkan hasil RM20.9 bilion dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.7 bilion.

Laporan suku tahunan terkini juga menunjukkan SD Guthrie mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dengan tunai di tangan berjumlah RM600 juta.

“Ini transaksi terbesar dalam sektor perladangan selepas pembelian IJM Plantations oleh KLK pada tahun 2021. SD Guthrie sudah semestinya tidak mahu melepaskan peluang ini, apatah lagi industri kelapa sawit mempunyai kekangan untuk menambah keluasan ladang,” menurut sumber.

KLK sebelum ini mengambil alih 53% IJM Plantations pada nilai RM1.53 bilion atau RM3.10 sesaham, sebelum menyahsenaraikan syarikat itu dari papan utama Bursa Malaysia. Ketika itu, SD Guthrie dilaporkan tidak turut serta membuat tawaran, namun syarikat perladangan lain seperti IOI Corp dan Hap Seng Plantations dilaporkan menunjukkan minat.

Ada juga yang mengatakan SD Guthrie gagal merebut peluang keemasan tersebut apabila tidak membida untuk mengambil alih IJM Plantations, yang mempunyai keluasan tanah sekitar 76,000 hektar di Malaysia dan Indonesia.

Sebilangan penganalisis menyifatkan tawaran KLK itu sebagai adil, memandangkan ia dibuat pada harga premium sekitar 9.5%-18.8%. Walau bagaimanapun ada yang mengkritik bahawa tawaran tersebut masih dianggap rendah, kerana dibuat sebelum harga minyak sawit mentah melonjak menjangkaui RM5,000 setan.

Industri kelapa sawit di Malaysia sering dilabel sebagai sektor “cap duit” memandangkan permintaan global terhadap komoditi itu kekal konsisten pada setiap masa.

Tetapi, antara isu utama yang sering dihadapi industri ialah kos penanaman semula apabila usia pokok semakin tua, yang menelan belanja berjuta-juta ringgit.

Keputusan melibatkan BPlant dijangka diketahui seawal Jun ini, dengan LTAT dan pihak Kerajaan dilaporkan berada di peringkat akhir dalam menentukan syarikat perladangan yang akan mengambil alih entiti yang mempunyai tanah berkeluasan 97,500 hektar ini.