Ledakan Pusat Data & Digitalisasi: Adakah Malaysia Bersedia Hadapi Ancaman Siber?

Share it

Masa Depan Sebagai Hab Pusat Data

Malaysia kini merupakan salah satu hab pusat data yang sedang berkembang dan dijangka muncul sebagai destinasi utama infrastruktur digital di Asia Tenggara.

Malah, kerajaan juga telah meluluskan sebanyak 143 projek pusat data yang ditempatkan dalam negara melibatkan pembinaan di beberapa negeri seperti Selangor, Johor dan Negeri Sembilan.

Negeri Johor dijangka bakal muncul sebagai hab utama pusat data negara menjelang 2030 dengan menyumbang kira-kira 60% kapasiti pemprosesan data negara.

Perkembangan ini menarik pelaburan besar daripada gergasi teknologi seperti AWS, Google, dan Microsoft sekali gus menjadi pemacu utama pelaburan asing di negara ini.

Menariknya, nilai pelaburan pusat data di Malaysia berpotensi melonjak sehingga empat kali ganda kepada kira-kira RM577 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Namun, perkembangan pembangunan pusat data dan infrastruktur digital dalam negara ini mencetuskan persoalan penting berhubung kesediaan Malaysia dalam memperkukuh keselamatan siber. Adakah Malaysia sudah bersedia?

Adakah Pertahanan Siber Malaysia Sudah Kukuh?

Berdasarkan laporan Statista, Malaysia mencatat kadar penembusan internet tertinggi di rantau ini iaitu sebanyak 97%, mengatasi Singapura. Dengan jumlah pengguna yang besar, negara turut terdedah kepada risiko seperti serangan siber.

Laporan Positive Technologies mendedahkan Malaysia berada di tangga keenam di Asia Tenggara bagi serangan siber, merangkumi 10% daripada jumlah keseluruhan rantau ini.

Negara ini juga berada di tangga keempat bagi jumlah iklan di forum web gelap mencecah 15%, tidak jauh di belakang Vietnam.

Syarikat keselamatan siber Belanda, Surfshark juga melaporkan secara purata 152 akaun digodam bagi setiap 100 orang di Malaysia, jauh lebih tinggi berbanding purata serantau iaitu 55 bagi setiap 100 individu.

Pengarah Serantau Asia Tenggara Positive Technologies, Elena Grishaeva mendedahkan perkembangan pesat teknologi digital dan pembinaan pusat data dijangka meningkatkan risiko Malaysia menjadi sasaran serangan siber.

Elena Grishaeva

Justeru, menjadikan keselamatan siber perkara yang harus menjadi keutamaan dan tidak seharusnya diambil mudah oleh kerajaan.

“Kami melihat Malaysia sebagai penanda aras serantau kerana cara negara ini mengurus pertahanan keselamatan siber sepanjang beberapa tahun akan datang sudah pasti akan menetapkan standard bagi seluruh Asia Tenggara.

“Pada pandangan saya, sekiranya Malaysia mampu kekal berdaya tahan, ia akan membantu melindungi ekonomi digital bukan sahaja Malaysia sendiri, malah boleh diguna pakai oleh negara-negara Asia Tenggara yang lain,” katanya kepada Ekonomi Rakyat.

Jelas Elena, bagi sesetengah syarikat di negara ini, isu terbesar adalah untuk keluar daripada pendekatan tradisional keselamatan yang lebih bersifat dokumentasi semata-mata. Ini bermakna syarikat tidak lagi hanya mematuhi peraturan dengan memenuhi syarat di atas kertas tanpa memiliki perlindungan sebenar.

Sebaliknya, Elena menjelaskan perhatian seharusnya ditumpukan kepada isu sebenar dan nyata dalam dunia realiti, yang mana penyerang siber bergerak dengan sangat pantas.

“Ditambah pula dengan semua pusat data baharu yang didirikan di Malaysia, infrastruktur semakin hari semakin sukar untuk dilindungi.

“Bagi orang awam pula, penipuan kini menjadi semakin meyakinkan. Para penggodam menggunakan data yang bocor dari web gelap untuk mencipta serangan yang sangat peribadi dan berkesan.

“Ini menjadikan serangan sebenar semakin sukar untuk dikenal pasti. Oleh itu, kita perlu lebih bersedia dan lebih peka terhadap cara penggodam beroperasi pada masa kini,” ujarnya.

Membangunkan Bakat Tempatan Dalam Bidang Kurang Tenaga Mahir

Sementara itu, Malaysia juga berdepan dengan masalah kekurangan bakat berkemahiran tinggi untuk menyokong pertumbuhan pesat industri berteknologi tinggi.

Negara ini kekurangan penglibatan tenaga kerja tempatan dalam operasi berkemahiran tinggi seperti analitik data, perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

Tegas Elena, pihaknya sedar akan kekurangan bakat tempatan dalam negara khususnya dalam bidang keselamatan siber justeru pihaknya cuba memberikan penekanan dari sudut pendidikan.

“Kami memahami bahawa terdapat jurang bakat yang sangat besar khususnya dalam bidang seperti keselamatan siber, bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di seluruh dunia.

“Memandangkan teknologi berkembang dengan begitu pesat, universiti-universiti, tidak kira betapa hebat, menghadapi kesukaran untuk mengikuti perkembangan tersebut.

“Kelas-kelas tradisional tidak mengajar kemahiran praktikal yang diperlukan dalam menghadapi serangan siber sebenar,” jelasnya.

Melalui Positive Hack Talks yang telah berlangsung di ibu negara, Positive Technologies memberi penekanan dalam pendekatan mendidik seperti perkongsian ilmu yang dilaksanakan baru-baru ini.

Penyelidik Keselamatan Utama Positive Technologies, Alexander Popov ketika Positive Hack Talks di ibu negara.

Menurut Elena,  syarikat itu berkolaborasi dengan beberapa universiti terkemuka dan institusi teknologi di Asia Tenggara, menyediakan makmal praktikal serta kursus berasaskan dunia sebenar.

“Melalui langkah ini, dengan menggunakan peralatan dan teknologi oleh Positive Technologies, kami membantu negara-negara di rantau ini mencegah risiko serangan siber daripada berlaku.

“Kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan berkaitan keselamatan siber adalah salah satu elemen penting yang boleh membantu bukan sahaja Malaysia, malah seluruh dunia untuk menjadi jauh lebih bersedia berbanding sekarang,” ujarnya.

Penggunaan AI Dalam Serangan Siber Meningkat

Berdasarkan tinjauan Fortinet, hampir separuh organisasi di Malaysia berdepan ancaman siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) sepanjang tahun lalu.

Serangan dipacu AI itu turut meningkat dengan pantas, apabila 54% organisasi melaporkan insiden meningkat dua kali ganda, manakala 24% lagi mengalami lonjakan sehingga tiga kali ganda.

Elena turut menambah langkah terbaik adalah untuk sentiasa kekal selangkah di hadapan dan lebih peka dalam perang melawan serangan siber.

“Pada pandangan saya, kita perlu melawan api dengan api. Kita tidak boleh bergantung kepada manusia semata-mata untuk menangkap ancaman automatik ini. Sistem pertahanan kita juga perlu menggunakan AI.

“Lebih penting lagi, kita perlu mereka bentuk infrastruktur IT yang cekap. Positive Technologies juga turut menggunakan ciri-ciri AI dalam  membantu mengesan serangan penggodam sebelum ia boleh menyebabkan kerosakan yang teruk atau mengakibatkan malapetaka kepada organisasi itu sendiri,” akhirinya.