
Suhu politik negara terus meningkat apabila Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri, meskipun penggal pentadbiran masih berbaki kira-kira setahun.
Perkembangan itu disusuli dengan krisis politik di Negeri Sembilan yang turut memanaskan lagi arena politik negara. Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, mengambil langkah membubarkan DUN Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu selepas terpalit dengan krisis yang melibatkan Istana Seri Menanti.
Dalam tempoh menuju pilihan raya, pelbagai agensi penyelidikan lazimnya akan tampil mengemukakan data dan tinjauan sokongan politik bagi memberikan gambaran awal mengenai sentimen pengundi sebelum hari pengundian.
Bagi memahami bidang ini dengan lebih mendalam, Ekonomi Rakyat menerusi The Overview Podcast yang dihoskan oleh Mathew Achari menjemput Pengarah Eksekutif Ilham Centre, En. Hisommudin Bakar, atau lebih mesra dikenali sebagai Hisom, untuk berkongsi pandangan mengenai industri penyelidikan politik di Malaysia.
Berbekalkan lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang tersebut, Hisom menjelaskan bahawa industri penyelidikan politik di Malaysia sebenarnya agak kecil dan didominasi oleh beberapa badan sahaja seperti Merdeka Center dan Institut Darul Ehsan.
Menurut beliau, sebahagian besar kajian politik dijalankan oleh institusi pengajian tinggi dan tidak diterbitkan secara komersial.
“Badan kajian ini sudah lama. Biasanya universiti tetapi mereka tidak membuat pendedahan secara komersial. Tetapi Ilham Center, kita buat bahan kajian yang agak komprehensif, dan dipermudahkan untuk rakyat faham.”
Ketepatan Data Lebih Penting Daripada Kos
Hisom menjelaskan bahawa Ilham Centre lebih mengutamakan metodologi penyelidikan secara bersemuka (face-to-face) kerana kaedah tersebut menawarkan tahap ketepatan yang lebih tinggi, meskipun melibatkan kos yang lebih besar.
Menurutnya, pendekatan ini membolehkan pembanci atau enumerator berinteraksi secara langsung dengan responden, sekali gus membantu menilai tahap keikhlasan dan keyakinan mereka ketika menjawab soalan.
Selain itu, kaedah bersemuka turut membolehkan penyelidik memperoleh input kualitatif yang lebih mendalam mengenai isu sebenar yang dihadapi oleh pengundi di lapangan.
“Saya tak menolak panggilan telefon lebih jimat. Kita tak memerlukan kos untuk menurunkan pembanci di lapangan. Tetapi apabila tahap ketepatan kajian itu tidak dapat dipastikan. Sebab sekarang ini, dengan scammer dan sebagainya, orang susah untuk angkat telefon.
Tinjauan Politik Tidak Memerlukan Sampel Yang Besar
Ketika ditanya mengenai cabaran dalam menjalankan bancian politik, Hisom berkata antara isu utama ialah persepsi masyarakat terhadap ketepatan dapatan tinjauan, khususnya berkaitan saiz sampel yang digunakan.

Menurut beliau, ramai mempersoalkan bagaimana jutaan pengundi boleh diwakili oleh hanya sekitar 1,200 responden.
Namun, jelasnya, berdasarkan metodologi Krejcie dan Morgan, jumlah sampel yang diperlukan sebenarnya tidak perlu terlalu besar selagi ia dipilih secara tepat dan mewakili struktur populasi.
Beliau menjelaskan bahawa bagi populasi yang mencecah 500 juta sekali pun, penyelidik hanya memerlukan sekitar 400 responden untuk mencapai tahap keyakinan statistik yang tinggi.
Walau bagaimanapun, syarat utama ialah sampel tersebut benar-benar mencerminkan komposisi sebenar populasi.
“Sampel kita tak boleh ambil secara rawak. Kita perlu mengambil kira demografi populasi, dari sudut jantina, umur, dan sebagainya…. Ia perlu benar-benar mewakili struktur pengundi yang ada.”
Bagi memastikan ketepatan pemilihan responden, Ilham Centre menggunakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai rujukan utama. Menurut Hisom, proses ini tidak semudah yang disangka kerana setiap responden yang dipilih perlu memenuhi ciri demografi tertentu.
Sekiranya individu yang disasarkan tidak dapat ditemui atau tidak bersedia untuk ditemu bual, enumerator perlu mencari pengganti yang mempunyai profil demografi yang hampir sama bagi memastikan integriti sampel kekal terpelihara.
Psikologi Pengundi Berbeza Mengikut Lokasi
Hisom turut mendedahkan bahawa mendapatkan maklumat daripada responden memerlukan kemahiran interaksi yang tinggi kerana budaya dan psikologi politik pengundi berbeza mengikut negeri serta latar sosial masing-masing.
“Contoh orang Kedah atau Kelantan. Dia (enumerator) boleh tanya secara terus. Pak Cik sokong PAS ke? Tapi di negeri Selatan, dia agak berhalus dan berlapik (dalam mendedahkan sokongan).”
Menurut beliau, semua enumerator Ilham Centre menjalani latihan khusus bagi memastikan persepsi responden terhadap mereka dapat dikawal dan dineutralkan sepanjang sesi temu bual.
Ini penting kerana sebarang tanggapan politik terhadap enumerator boleh menimbulkan rasa curiga dalam kalangan responden, sekali gus menjejaskan keterbukaan mereka untuk berkongsi pandangan sebenar.
Dalam sesetengah keadaan, responden lebih berminat untuk menyiasat latar belakang pembanci berbanding menjawab soalan yang dikemukakan. Justeru, kemahiran membina kepercayaan menjadi faktor penting dalam memastikan data yang dikumpulkan benar-benar mencerminkan sentimen pengundi di lapangan.
Tonton rakaman penuh podcast di saluran Youtube Ekonomi Rakyat.
