Ayam gepuk terus mendapat sambutan dalam kalangan pengguna, dengan semakin banyak jenama tempatan dan antarabangsa membuka cawangan di seluruh negara. Adakah bisnes ayam gepuk benar-benar menguntungkan?
Berasal dari Indonesia, ayam gepuk mula mendapat tempat dalam kalangan pengguna Malaysia sekitar tahun 2017 apabila beberapa jenama mula memperkenalkan hidangan tersebut ke pasaran tempatan.Â
Berbeza daripada ayam goreng biasa, ayam gepuk dihidangkan bersama sambal segar yang ditumbuk dan menawarkan pilihan tahap kepedasan mengikut cita rasa pelanggan.
Hidangan ini juga lazimnya dilengkapkan dengan tempe, tauhu goreng dan timun, manakala sesetengah jenama turut menambah serbuk atau taburan kacang bagi memberikan tekstur dan rasa yang lebih enak.
Keunikan tersebut, ditambah dengan pertumbuhan platform penghantaran makanan serta promosi melalui media sosial telah membantu menjadikan ayam gepuk antara segmen makanan segera yang berkembang dengan pantas di Malaysia.Â
Seiring dengan pertambahan rangkaian restoran ayam gepuk di seluruh negara, industri ini turut menarik minat ramai usahawan yang melihatnya sebagai peluang perniagaan yang berpotensi.Â
Persoalannya, adakah model perniagaan ayam gepuk ini masih mampu menjana keuntungan stabil dalam keadaan persaingan yang semakin sengit?
Untung Ke Bisnes Ayam Gepuk Di Malaysia?

Walaupun permintaan terhadap ayam gepuk kekal tinggi, namun prestasi kewangan syarikat terpilih dalam industri ini menunjukkan tahap keuntungan yang berbeza-beza. Â
Berdasarkan laporan syarikat yang memiliki rangkaian restoran Ayam Gepuk Pak Gembus iaitu Ayam Gepuk (M) Sdn. Bhd., hasil syarikat melonjak daripada RM353,386 (2019) kepada RM70.1 juta pada tahun 2024.
Dalam tempoh lima tahun, kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sekitar 188%.
Pada masa sama, syarikat turut beralih daripada kerugian, dengan prestasi bertambah baik dari rugi selepas cukai sebanyak RM39,781 pada 2019 kepada keuntungan sebanyak RM3.1 juta pada 2024, menunjukkan perubahan positif dan peningkatan dalam prestasi kewangan.
Sementara itu, pemilik rangkaian restoran Ayam Gepuk Top Global, Top Global Food & Beverages Sdn. Bhd. mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 264% daripada RM9.6 juta pada tahun 2022 kepada RM34.9 juta pada tahun 2023 dengan keuntungan selepas cukai juga bertambah dari RM1.1 juta kepada RM4 juta. Â
Adakah Restoran Ayam Gepuk Lain Mampu Bersaing?
Rangkaian Ayam Gepuk Pak Janggus Sdn.Bhd. mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2020 dan merupakan antara jenama ayam gepuk tempatan yang mempunyai beberapa cawangan di Lembah Klang.
Berbanding jenama lebih besar seperti Pak Gembus yang telah mencapai skala pengembangan lebih luas, Pak Janggus mencerminkan prestasi pemain F&B tempatan berskala kecil dan sederhana yang sedang berkembang
Walaupun hasil kutipan restoran Pak Janggus mengalami peningkatan sebanyak 41% daripada RM617,108 pada 2022 kepada RM870,772 (2023) dan seterusnya mencecah RM1 juta pada 2024. Â
Keuntungan selepas cukainya merosot daripada RM61,000 (2022) kepada RM7,500 (2023) sebelum merekodkan kerugian berjumlah RM309 pada 2024.
Prestasi itu menunjukkan bahawa dalam industri F&B, peningkatan jualan sahaja tidak menjamin keuntungan.
Restoran perlu berdepan pelbagai tekanan seperti kenaikan kos bahan mentah, gaji pekerja, sewaan premis, kos operasi serta persaingan harga yang semakin sengit.
Walau bagaimanapun, keuntungan atau kerugian sesebuah syarikat tidak semestinya hanya menggambarkan prestasi jualan.
Faktor seperti pelaburan pembukaan cawangan baharu, peningkatan kos operasi, perbelanjaan pemasaran atau keputusan perakaunan turut boleh mempengaruhi angka keuntungan bersih yang dilaporkan.
Oleh itu, rekod kerugian tidak semestinya bermaksud perniagaan gagal, tetapi perlu dilihat bersama strategi pengembangan dan kedudukan kewangan keseluruhan syarikat.
Pemain Utama Ayam Gepuk Kekal Mendominasi Pasaran
Dalam pada itu, penguasaan pasaran oleh restoran ayam gepuk yang telah kukuh dijangka berterusan, susulan jenama-jenama terkemuka memiliki pengiktirafan jenama (brand recognition) dibina selama bertahun-tahun.
Selain itu, ekonomi skala membolehkan jenama terkemuka ini merundingkan harga bahan mentah yang lebih kompetitif, seterusnya menjaga margin keuntungan walaupun berdepan tekanan kos operasi yang meningkat.
Namun, ruang masih terbuka untuk jenama baharu. Dengan tawaran produk menarik dan strategi pemasaran yang tepat sasaran, pemain baharu berpotensi membina nama sendiri dalam pasaran yang semakin kompetitif ini.
Saksikan video di YouTube Ekonomi Rakyat.
