100 Syarikat Pemula di Malaysia Jana Hasil RM8.5 Bilion Pada Tahun 2024

Share it

Sebanyak 100 syarikat pemula (startup) di Malaysia merekodkan hasil keseluruhan RM8.5 bilion bagi tahun kewangan 2024, berdasarkan penerbitan Malaysia Top 100 Startups: 2026 Edition oleh Cradle Fund.

Daripada jumlah tersebut, 36 syarikat mencatatkan keuntungan bersih tahunan melebihi RM1 juta, manakala 58 syarikat yang berada di dalam senarai telah mengembangkan operasi mereka ke luar Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Norman Matthieu berkata penerbitan itu bertujuan memberikan lebih banyak pendedahan kepada syarikat pemula tempatan, khususnya dalam mengetengahkan pencapaian dan potensi pertumbuhan mereka.

Menurut beliau, kira-kira satu pertiga daripada 100 syarikat yang tersenarai turut menerima sokongan Cradle menerusi geran dan pelaburan.

Dari kiri: Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI, YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri MOSTI dan Norman Matthieu, CEO Kumpulan Cradle

Antara nama besar yang disenaraikan di dalam penerbitan ini termasuklah Bateriku, CARSOME, Lapasar, Loob Holding dan ZUS Coffee.

Berdasarkan penerbitan tersebut, hanya dua syarikat merekodkan hasil tahunan melebihi RM500 juta, iaitu CARSOME dan Loob Holding.

CARSOME merupakan platform perdagangan kereta terpakai yang menggunakan teknologi untuk meningkatkan ketelusan jual beli kereta, manakala Loob Holding ialah syarikat makanan dan minuman (F&B) yang mengendalikan jenama seperti Tealive, Bask Bear dan SodaXpress.

Sembilan lagi syarikat merekodkan hasil tahunan antara RM100 juta hingga RM500 juta, iaitu Exabytes, Bateriku, EasyParcel, Borong, CompAsia, Lapasar, ZUS Coffee, Aonic dan Etherscan.

Apakah Kriteria Sesebuah Startup?

Kebiasaannya, startup atau syarikat pemula sering dikaitkan dengan syarikat yang menggunakan teknologi sebagai asas untuk membangunkan produk, perkhidmatan atau model perniagaan baharu.

Namun, penggunaan istilah tersebut kini semakin meluas, termasuk dalam kalangan perniagaan yang tidak semestinya berasaskan teknologi.

Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai kriteria yang digunakan Cradle dalam memilih 100 syarikat berkenaan, memandangkan sebahagian syarikat yang tersenarai menjalankan perniagaan dalam sektor konvensional seperti makanan dan minuman serta perdagangan.

Ketika perkara ini dibangkitkan dalam sesi meja bulat bersama media, wakil Cradle menjelaskan bahawa penilaian syarikat mengambil kira beberapa kriteria utama, termasuk penggunaan teknologi, keupayaan membawa perubahan kepada pasaran (disruptive), potensi untuk berkembang pada skala lebih besar (scalable) dan kelangsungan perniagaan (sustainable).

Ini bermakna syarikat yang tidak sepenuhnya berasaskan teknologi masih boleh dikategorikan sebagai syarikat pemula sekiranya model perniagaan mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Kejayaan Syarikat Pemula Bukan Hanya Semata-mata Tentang Penilaian

Ketika melancarkan penerbitan tersebut, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang, menegaskan bahawa kerajaan komited untuk menyokong syarikat yang mampu memberikan impak ekonomi berterusan, dan bukannya sekadar mengejar penilaian syarikat (valuation) yang tinggi.

“Bagi MOSTI, ekosistem startup yang baik adalah tentang mewujudkan syarikat yang boleh berkembang, menjana hasil dan mewujudkan peluang pekerjaan” katanya.

Dalam sesi meja bulat yang sama, Norman turut ditanya mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) yang digunakan Cradle untuk mengukur kejayaan syarikat pemula yang menerima sokongan agensi tersebut.

Menurut beliau, Cradle memberikan tumpuan kepada penciptaan nilai oleh syarikat pemula, selain kemampuan mereka untuk berkembang ke peringkat seterusnya.

Aspek kelangsungan perniagaan juga menjadi antara perkara yang diberikan perhatian, khususnya bagi memastikan syarikat yang dibangunkan mampu terus beroperasi dalam jangka panjang.

Pelaburan Syarikat Pemula dan Risiko Dana Kerajaan

Pelaburan dalam industri syarikat pemula sering menarik perhatian, khususnya apabila melibatkan dana daripada institusi berkaitan kerajaan.

Ini kerana pelaburan dalam syarikat pemula lazimnya mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding perniagaan yang telah mempunyai rekod kewangan dan operasi yang stabil.

Sebelum ini, pelaburan Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet, serta pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery, telah mencetuskan polemik mengenai risiko pelaburan syarikat pemula.

Kedua-dua isu tersebut turut mendapat perhatian di Parlimen, khususnya berkaitan penggunaan dana syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan dan proses penilaian pelaburan.

Isu ini dilaporkan telah menyebabkan berlaku perubahan dalam kaedah pelaburan syarikat pemula bagi sebilangan entiti milik Kerajaan.

Antara pendekatan yang digunakan dalam pelaburan syarikat pemula ialah penyaluran pelaburan melalui general partner (GP), iaitu pengurus dana yang bertanggungjawab mengendalikan pelaburan bagi pihak penyumbang modal.

Melalui pendekatan ini, institusi yang menyediakan dana tidak semestinya membuat keputusan pelaburan secara langsung, sebaliknya menyerahkan pengurusan kepada pihak yang mempunyai kepakaran dalam industri modal teroka (Venture Capital).

Bagaimanapun, risiko pelaburan tetap wujud, memandangkan tidak semua syarikat pemula yang menerima pembiayaan akan berjaya berkembang atau memberikan pulangan kepada pelabur.

Grab dan Foodie Media Antara Kisah Kejayaan Yang Disebut

Di sebalik risiko yang dihadapi industri syarikat pemula, Malaysia turut mempunyai beberapa syarikat yang berjaya mengembangkan perniagaan sehingga ke pasaran antarabangsa.

Antaranya ialah Grab, yang bermula sebagai platform tempahan pengangkutan sebelum berkembang menjadi syarikat teknologi serantau dan disenaraikan di bursa Nasdaq, Amerika Syarikat.

Grab turut menerima pengiktirafan khas (honourable mention) dalam penerbitan Cradle tersebut.

Selain Grab, Foodie Media, sebuah syarikat media digital yang diasaskan oleh Pinn Yang, turut disenaraikan dalam kategori pengiktirafan khas. Syarikat berkenaan juga telah disenaraikan di Bursa Malaysia dan kini bernilai RM275 juta.

Pelancaran penerbitan ini pada 1 Oktober lalu dianggap prelude kepada Cradle Summit 2026 yang dijadual berlangsung selama dua hari pada 5-6 November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).