Mampukah MMC Ports Menjadi Operator Pelabuhan Di Peringkat Global?

Share it

MMC Ports mula mencuri perhatian pasaran pada pertengahan tahun lalu apabila syarikat itu memfailkan prospektus penyenaraian awam permulaan (IPO) kepada Suruhanjaya Sekuriti. Dengan anggaran penilaian sekitar RM35 bilion, ia berpotensi pada ketika itu menjadi penyenaraian terbesar di Bursa Malaysia.

Namun, rancangan tersebut ditangguhkan oleh pengurusan MMC Ports, yang dikatakan mahu impak semakan semula tarif pelabuhan yang diumumkan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) turut dapat diterjemahkan ke dalam prestasi kewangan terbaru syarikat itu, dan secara tak langsung memperkukuhkan lagi angka penilaian yang dimahukan mereka.

Pada Jun tahun lalu, PKA telah mewartakan struktur tarif kontena baru yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa. Fasa pertama bermula pada 15 Julai 2025 dengan kenaikan tarif sebanyak 15%, diikuti fasa kedua pada 1 Januari 2026 dengan kenaikan tambahan 10%, dan fasa ketiga pada 1 Januari 2027 dengan kenaikan sebanyak 5%.

Kini, MMC Ports kembali menjadi perhatian selepas Reuters melaporkan syarikat itu melantik bekas Pengerusi DP World, Sultan Ahmed Sulayem, sebagai Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa pada 1 Julai 2026.

Pelantikan itu turut mencetuskan kontroversi dan protes dalam kalangan NGO susulan kaitan nama beliau dalam “Epstein Files”. Berikutan isu yang sama juga, beliau melepaskan jawatan di DP World pada Februari lalu.

Siapa Sultan Ahmed Bin Sulayem?

Sultan Ahmed merupakan bilionair dari UAE dan arkitek utama di sebalik pembangunan Jebel Ali Free Zone (JAFZA), yang kini menjadi antara pemacu utama ekonomi Dubai. Kawasan perdagangan bebas itu dilaporkan menyumbang 36% kepada ekonomi Dubai.

Di bawah pengurusannya, Pelabuhan Jebel Ali muncul sebagai pelabuhan utama di UAE dengan mengendalikan 15.5 juta TEU, sekali gus menjadi pelabuhan kesembilan terbesar di dunia.

TEU merujuk kepada unit bersamaan kontena 20 kaki (Twenty-foot Equivalent Unit), iaitu ukuran standard yang digunakan untuk mengukur kapasiti pengendalian kontena di pelabuhan.

Sultan Ahmed yang kini berusia 71 tahun dilahirkan dalam keluarga berpengaruh di UAE. Bapanya merupakan penasihat politik kepada pemerintah Dubai. Anaknya pula, Ahmed bin Sulayem kini memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Dubai Multi Commodities Centre (DMCC), yang berperanan sebagai hab perdagangan komoditi global.

Majalah Amerika Syarikat, Newsweek, melaporkan bahawa beliau mempunyai kekayaan yang dianggarkan mencecah RM34 bilion.

Pelantikan Sultan Ahmed ke MMC Ports sedikit sebanyak memberi bayangan tentang hala tuju baru syarikat itu, khususnya selepas membawa masuk kepakaran tokoh yang berasal dari Timur Tengah tersebut.

Di Mana MMC Ports Sekarang?

MMC Ports yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary merupakan operator pelabuhan utama di Malaysia dengan lebih 11,000 pekerja di seluruh negara.

Syarikat itu mengendalikan lima pelabuhan strategik di sepanjang Selat Melaka, iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor, Pelabuhan Tanjung Bruas, Northport (Pelabuhan Klang) dan Pelabuhan Pulau Pinang.

MMC Ports merupakan pengendali pelabuhan ketiga terbesar di Asia Tenggara

Pelabuhan Tanjung Pelepas merupakan aset terpenting MMC Ports dengan 12.3 juta TEU dikendalikan pada tahun 2024, manakala Northport menguruskan sekitar 3.7 juta TEU.

Secara keseluruhan, MMC Ports mengendalikan sekitar 16.1 juta TEU setahun, menjadikannya operator pelabuhan ketiga terbesar di Asia Tenggara selepas PSA International dari Singapura dan PT Pelindo Terminal Petikemas dari Indonesia.

Pelabuhan – Semuanya Tentang Kecekapan Operasi

Pada tahun 2024, MMC Ports merekodkan hasil sebanyak RM4.4 bilion, meningkat hampir 10% berbanding tahun sebelumnya.

Namun, keuntungan selepas cukai (berdasarkan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat) susut 5.5% kepada RM637 juta, bersamaan margin keuntungan sekitar 15%.

MMC Ports catat hasil RM4.4 bilion pada 2024, dengan keuntungan sebanyak RM637 juta

Sebagai perbandingan, Westports Holdings Berhad merekodkan hasil sekitar RM2.3 bilion, hampir separuh daripada MMC Ports, tetapi menjana keuntungan selepas cukai sebanyak RM898 juta dengan margin keuntungan sekitar 38%.

Perbandingan ini sering menjadi perhatian penganalisis pelaburan kerana menunjukkan bahawa MMC Ports mempunyai skala operasi yang besar, namun belum mampu menterjemahkannya kepada margin keuntungan yang lebih tinggi.

Isu ini juga dikatakan menjadi antara persoalan utama yang membayangi penilaian IPO MMC Ports sebelum ini.

Menurut penganalisis industri logistik, salah satu faktor yang membolehkan Westports menjana keuntungan lebih tinggi adalah kerana operasinya tertumpu di sebuah pelabuhan sahaja. Keadaan ini membolehkan keseluruhan sumber difokuskan bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Selain itu, operasi Westports juga lebih tertumpu kepada pengendalian kontena yang secara amnya menawarkan margin keuntungan lebih tinggi.

Sebaliknya, MMC Ports perlu menguruskan beberapa pelabuhan yang mengendalikan pelbagai jenis kargo lain, yang pada kebiasaannya mempunyai margin keuntungan lebih rendah.

MMC Ports Perlu Pelabuhan Baru Untuk Berkembang

Industri pelabuhan tidak berkembang secara organik seperti kebanyakan sektor lain.

Pembinaan pelabuhan baru memerlukan konsesi kerajaan, pelaburan modal yang besar serta lokasi strategik yang terhad. Pengoperasian terminal-terminal baru pula sering dicapai melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A) pelabuhan di seluruh dunia.

Operator pelabuhan global seperti PSA International, DP World dan Hutchison Ports berkembang menggunakan strategi tersebut.

Dibawah kepimpinan Peter Voser dari Switzerland, PSA International sekarang mengendalikan 105 juta TEU di 70 terminal di seluruh dunia. DP World juga menggunakan kepakaran asing dalam menguruskan pelabuhan-pelabuhan mereka. Gergasi logistik itu melantik Yuvraj Narayan dari India, untuk menerajui DP World sebagai CEO Kumpulan bagi mengendalikan 78 pelabuhan yang menguruskan 50 juta TEU setahun.

Hutchison Ports milik bilionair Hong Kong, Li Ka-Shing pula mengendalikan 53 terminal pelabuhan di seluruh dunia dengan jumlah pengendalian sebanyak 90.1 juta TEU.

Di Malaysia, Westports merupakan salah satu pelabuhan yang turut dimiliki oleh Hutchison Ports melalui pegangan sebanyak 23.55% dalam syarikat itu, berbeza dengan MMC Ports yang dimiliki sepenuhnya oleh taikun Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

MMC Ports dimiliki sepenuhnya oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary

Jika MMC Ports ingin terus berkembang menjadi pemain global, syarikat ini perlu melakukan M&A bagi meningkatkan keberadaan mereka di lokasi-lokasi yang lain. Mekanisme ini juga merupakan langkah yang sering dilakukan oleh operator-operator pelabuhan yang lain dalam memperkukuhkan operasi mereka di peringkat antarabangsa.

Mampukah MMC Ports Mengulangi Kejayaan DP World?

Pada tahun 2025, DP World dibawah pengurusan Sultan Ahmed merekodkan pendapatan sebanyak RM105.0 bilion dengan keuntungan selepas cukai berjumlah RM4.6 bilion.

Pertumbuhan syarikat itu meningkat dengan begitu ketara. Dari tahun 2021 hingga 2025, hasil meningkat daripada RM44.2 bilion kepada RM105.0 bilion.

Hasil DP World Naik Dari RM44 Bilion Pada 2021 Kepada RM105 Bilion Pada 2025

Walaupun keuntungan kekal sekitar RM4.5 bilion dalam tempoh yang sama, EBITDA DP World meningkat hampir dua kali ganda daripada RM15.7 bilion kepada RM27.6 bilion. Ini menunjukkan aliran tunai operasi DP World berada di kedudukan yang lebih baik.

Dengan pelantikan Sultan Ahmed yang mempunyai hubungan luas dalam sektor logistik global, tumpuan kini beralih kepada sama ada beliau mampu mengulangi kejayaan tersebut di MMC Ports. Pelantikan itu juga memberi isyarat bahawa MMC Ports sedang merancang untuk meluaskan operasinya di peringkat global.

Persoalannya kini ialah sama ada beliau benar-benar mampu menerajui pengambilalihan pelabuhan baru, meningkatkan kecekapan operasi serta mengukuhkan hubungan MMC Ports dengan pemain logistik antarabangsa.

Selat Melaka – ‘Aset’ Paling Penting MMC Ports

Kelebihan terbesar MMC Ports bukan sekadar terletak pada aset yang dimilikinya, tetapi juga lokasi aset tersebut.

Semua pelabuhan utama MMC Ports terletak di sepanjang Selat Melaka, antara laluan perdagangan paling sibuk di dunia yang menghubungkan Asia Timur, Timur Tengah dan Eropah.

Pelabuhan utama di Semenanjung Malaysia

Namun, kelebihan geografi sahaja sebenarnya tidak mencukupi.

Persaingan utama masih datang daripada Pelabuhan Singapura yang mengendalikan lebih 40 juta TEU setahun. Kejayaan PSA International membuktikan bagaimana sebuah pengendali pelabuhan boleh berkembang daripada mengurus pelabuhan domestik kepada membina rangkaian operasi di pelabuhan-pelabuhan seluruh dunia.

Pada tahun 2023, PSA International menguruskan lebih 100 juta TEU melalui puluhan pelabuhan yang dikendalikan mereka.

Bagi mencabar penguasaan PSA International, MMC Ports perlu menawarkan operasi dan kos yang lebih cekap, masa pemprosesan yang lebih singkat serta ekosistem logistik yang lebih menarik kepada syarikat perkapalan antarabangsa.

Jika perkara ini dapat direalisasikan, ia akan memperkukuhkan lagi kedudukan strategik negara di dalam sektor maritim, yang secara tak langsung boleh merungsingkan jiran kita di seberang Tambak Johor, dimana sektor logistiknya menyumbang sekitar 9% kepada ekonomi Singapura.

Tetapi, persoalannya tetap sama. Adakah dengan membawa masuk kepakaran Sultan Ahmed Sulayem dari DP World, MMC Ports mampu beralih menjadi pemain global, atau sekadar kekal sebagai jaguh tempatan? Jawapannya hanya akan terungkai melalui prestasi dan pencapaian MMC Ports dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang.