Bagaimana F&N Berkembang Daripada Perniagaan Percetakan Kepada Empayar Minuman?

Share it

Nama Fraser & Neave (F&N) bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia. Daripada minuman berkarbonat kepada produk tenusu, jenama ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian pengguna sejak beberapa generasi.

Namun, di sebalik penguasaan F&N dalam industri makanan dan minuman, tidak ramai yang mengetahui bahawa syarikat ini sebenarnya bermula sebagai sebuah perniagaan percetakan di Singapura pada abad ke-19.

Sepanjang lebih 140 tahun penubuhannya, F&N telah melalui pelbagai fasa perkembangan, termasuk peluasan perniagaan ke pasaran serantau, peperangan dunia dan perubahan landskap ekonomi.

Bagaimanakah sebuah syarikat percetakan kecil akhirnya berkembang menjadi antara pemain utama industri makanan dan minuman di Malaysia?

Sejarah Awal Penubuhan F&N

Sejarah F&N bermula dengan seorang pemuda kelahiran Scotland, John Fraser, yang memulakan kerjayanya dalam sektor perbankan.

Fraser pada mulanya bekerja di National Bank di Newton Stewart, Scotland, sebelum dipindahkan ke Manchester, England.

Pada tahun 1865, beliau berhijrah ke Singapura untuk bekerja di Chartered Mercantile Bank. Beliau kemudiannya berpindah ke Shanghai sebelum kembali menetap di Singapura beberapa tahun kemudian.

Titik perubahan dalam perjalanan kerjaya Fraser berlaku pada tahun 1875 apabila beliau menjalin hubungan perniagaan dengan David Chalmers Neave, seorang pencetak yang bekerja di Singapore Straits Printing Company.

Kedua-duanya mengambil keputusan untuk bergabung dan membeli Mission Press, sebuah syarikat percetakan milik Reverend Benjamin Keasberry.

Susulan kematian isteri Keasberry pada tahun yang sama, perniagaan percetakan tersebut kemudiannya dikenali sebagai Fraser & Neave.

Bagaimanapun, penglibatan kedua-dua usahawan ini tidak terhenti dalam industri percetakan.

Pada penghujung abad ke-19, permintaan terhadap minuman berkarbonat semakin meningkat di Amerika Syarikat dan Eropah. Perkembangan ini membuka peluang kepada Fraser dan Neave untuk meneroka sebuah industri baharu yang berpotensi berkembang di Asia Tenggara.

Pada tahun 1883, mereka menubuhkan Singapore and Straits Aerated Water Company, yang dikenali sebagai antara pengeluar minuman berkarbonat pertama di rantau ini.

Langkah tersebut menandakan permulaan transformasi F&N daripada sebuah syarikat percetakan kepada pengeluar minuman.

Pada peringkat awal, operasi pengeluaran minuman F&N hanya melibatkan sekitar 20 orang pekerja. Penghantaran produk pula dilakukan menggunakan kereta kuda ke hotel, kelab dan kediaman di sekitar Singapura.

Antara produk terawal yang dihasilkan termasuk air soda, air limau, air tonik dan minuman halia berkarbonat (ginger ale).

Pada tahun 1898, perniagaan minuman berkarbonat dan percetakan tersebut digabungkan di bawah sebuah entiti korporat yang dikenali sebagai Fraser & Neave Ltd.

Penyatuan ini menjadi asas kepada perkembangan perniagaan F&N yang kemudiannya meluaskan operasi ke Tanah Melayu dan Thailand.

Perkembangan dan Transformasi Perniagaan F&N

Selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama, F&N meneruskan strategi pengembangan serantaunya dengan membuka beberapa kilang baharu, termasuk di Indonesia.

Pada tahun 1931, syarikat ini mengambil langkah mempelbagaikan sumber pendapatan dengan memasuki industri pembuatan bir menerusi kerjasama dengan Heineken, sebuah syarikat pengeluar bir dari Belanda.

Kerjasama tersebut membawa kepada penubuhan Malayan Breweries Limited, yang kemudiannya memperkenalkan Tiger Beer, jenama bir yang berasal dari Singapura.

Sepanjang dekad 1930-an, F&N terus memperkukuh kedudukannya dalam industri minuman. Antara perkembangan penting ketika itu ialah pemerolehan hak francais untuk memasarkan Coca-Cola di Singapura, Tanah Melayu dan Brunei.

Perkembangan ini memperlihatkan bagaimana F&N tidak lagi bergantung sepenuhnya pada produk keluaran sendiri, sebaliknya turut memanfaatkan kerjasama dengan jenama antarabangsa untuk memperluas penguasaan pasarannya.

Namun, bisnes F&N terganggu apabila Perang Dunia Kedua tercetus.

Pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu dan Singapura menyebabkan operasi perniagaan F&N terhenti apabila kilang dan aset syarikat dirampas.

Selepas perang dunia berakhir pada Ogos 1945, F&N kembali membangunkan perniagaannya setelah memperoleh semula aset yang sebelum itu berada di bawah penguasaan tentera Jepun.

Pemulihan ekonomi pascaperang dan peningkatan permintaan pengguna mendorong syarikat ini membuka kilang baharu yang dilengkapi teknologi pengeluaran lebih moden di Singapura dan Tanah Melayu.

Strategi pengembangan F&N turut merangkumi pelaburan dalam industri yang berkait rapat dengan operasi utamanya.

Pada tahun 1972, F&N membeli 42% kepentingan ekuiti dalam Malaya Glass Berhad, sebuah syarikat pengeluar kaca di Malaysia.

Pelaburan ini mempunyai kepentingan strategik memandangkan botol kaca merupakan antara bahan pembungkusan utama bagi industri minuman pada ketika itu.

Satu lagi pencapaian penting berlaku pada tahun 1983, bersempena ulang tahun ke-100 penglibatan F&N dalam industri minuman. Syarikat ini memperkenalkan 100PLUS, yang menjadi antara jenama perintis minuman isotonik di Malaysia.

Ketika pasaran minuman ringan masih banyak tertumpu pada produk berkarbonat, pengenalan 100PLUS membuka ruang kepada kategori minuman yang dikaitkan dengan aktiviti sukan, kecergasan dan gaya hidup aktif.

Kejayaan ini mencerminkan keupayaan F&N mengenal pasti perubahan cita rasa pengguna dan membangunkan produk untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin pelbagai.

Pada tahun 1996, F&N melaksanakan penyusunan semula operasi perniagaannya di Malaysia dengan menyatukan perniagaan minuman ringan, produk tenusu dan kaca di bawah Malaya Glass Berhad.

Langkah tersebut meningkatkan pegangan ekuiti F&N dalam syarikat berkenaan kepada 90%, sebelum namanya ditukar kepada Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB).

Penyusunan semula ini membentuk asas kepada struktur korporat F&NHB yang terus beroperasi dalam industri makanan dan minuman di Malaysia sehingga hari ini.

Sehingga November 2025, Fraser & Neave Limited yang berpangkalan di Singapura dan dimiliki oleh taikun F&B Thailand, Charoen Sirivadhanabhakdi kekal sebagai pemegang saham terbesar F&NHB, dengan pegangan ekuiti sebanyak 55.5%.

Selain itu, GLIC-GLIC seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) tempatan juga menguasai ekuiti yang signifikan di dalam F&NHB. PNB memegang sebanyak 6.97%  ekuiti, manakala KWSP dan KWAP masing-masing  memegang ekuiti sebanyak 13.21% dan 3.23%.

Kepelbagaian Produk dan Perniagaan F&N

Walaupun F&N lebih dikenali sebagai pengeluar minuman dan produk tenusu, perniagaan percetakan yang menjadi titik permulaan sejarah syarikat ini masih mempunyai tempat dalam kumpulan perniagaannya.

Melalui entiti seperti Marshall Cavendish, Times Printers dan Print Lab, kumpulan F&N mengekalkan penglibatan dalam industri penerbitan dan percetakan.

Namun, di Malaysia, perniagaan F&NHB lebih tertumpu pada pengeluaran dan pemasaran makanan serta minuman melalui pelbagai jenama yang menyasarkan keperluan pengguna berbeza.

Dalam kategori minuman teh, F&N SEASONS menawarkan pelbagai pilihan minuman berasaskan teh hitam, termasuk teh lemon ais, teh pic ais dan teh epal ais, selain teh hijau lemon ais.

Jenama yang sama turut menawarkan minuman bercirikan cita rasa Asia seperti teh bunga kekwa putih, minuman barli, teh kundur, minuman sengkuang dan cincau.

Bagi kategori air minuman, F&N Ice Mountain menawarkan produk air minuman tulen dan air berkarbonat.

Sementara itu, F&N NutriSoy memberi tumpuan kepada minuman berasaskan kacang soya, manakala F&N Fruit Tree Fresh memenuhi permintaan terhadap minuman jus buah-buahan.

Dalam segmen tenusu pula, F&NHB mempunyai rangkaian produk di bawah jenama F&N FARMHOUSE, F&N Magnolia dan F&N Canned Milk.

Syarikat ini turut terlibat dalam pasaran aiskrim melalui jenama F&N Magnolia Ice Cream dan F&N King’s.

Kepelbagaian jenama ini membolehkan F&NHB memenuhi permintaan pengguna merentasi pelbagai kategori, daripada minuman harian dan produk tenusu kepada pencuci mulut.

Dari sudut perniagaan, strategi kepelbagaian produk juga membantu mengurangkan kebergantungan syarikat pada satu kategori jualan sahaja.

Namun, memiliki portfolio produk yang luas tidak semestinya menjamin peningkatan keuntungan secara berterusan. Prestasi syarikat masih dipengaruhi kos pengeluaran, perubahan permintaan pengguna, persaingan pasaran dan pelaburan untuk mengembangkan kapasiti perniagaan.

F&NHB Catat Pertumbuhan Sebelum Keuntungan Terjejas pada 2025

F&N Holdings Bhd Catat Hasil RM5.2 Bilion, Dengan Keuntungan Selepas Cukai Sebanyak RM514.7 Juta Pada Tahun 2025

Walaupun telah beroperasi selama lebih satu abad, F&NHB terus mengekalkan kedudukan sebagai antara pemain utama industri makanan dan minuman di Malaysia.

Pada tahun kewangan 2022, syarikat ini merekodkan hasil sebanyak RM4.5 bilion dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM382.3 juta. Prestasi hasil kemudiannya terus meningkat sehingga tahun kewangan 2024 kepada RM5.2 bilion, dengan untung naik kepada RM544 juta.

Bagaimanapun, momentum pertumbuhan tersebut mula menghadapi tekanan pada tahun kewangan 2025 apabila F&NHB mencatatkan hasil yang lebih rendah, dengan keuntungan merosot kepada RM515 juta.

Menurut Laporan Tahunan F&NHB 2025, antara faktor yang menjejaskan keuntungan syarikat ialah peningkatan perbelanjaan cukai pendapatan.

Keadaan ini sebahagiannya berpunca daripada sebuah anak syarikat F&N di Thailand yang telah menggunakan sepenuhnya manfaat insentif cukai pada tahun kewangan sebelumnya.

Apabila manfaat tersebut berakhir, tanggungan cukai syarikat meningkat dan seterusnya memberi tekanan kepada keuntungan selepas cukai.

Pada masa yang sama, F&NHB turut menanggung kos permulaan yang tinggi bagi beberapa projek pelaburan berskala besar. Antaranya termasuk pembangunan ladang tenusu F&N AgriValley dan kemudahan pemprosesan baharu di Kemboja.

Selepas lebih 140 tahun melalui pelbagai perubahan ekonomi, perjalanan F&N memperlihatkan bagaimana sebuah perniagaan mampu berkembang melalui kepelbagaian produk, kerjasama strategik dan penyesuaian terhadap perubahan pasaran.

Daripada sebuah syarikat percetakan kecil di Singapura kepada pengeluar makanan dan minuman serantau, perkembangan F&N membuktikan bahawa kelangsungan perniagaan bukan sekadar bergantung pada kekuatan jenama, tetapi juga keupayaan untuk terus berubah mengikut keperluan ekonomi dan pengguna.

Bagi F&NHB, cabaran seterusnya bukan hanya untuk meningkatkan jualan, tetapi memastikan pelaburan besar yang sedang dilaksanakan mampu diterjemahkan kepada pertumbuhan keuntungan yang mampan.