Adakah Bisnes F&B di Malaysia Masih Menguntungkan?

Share it

Membuka restoran mungkin nampak mudah. Tetapi menjadikannya sebuah perniagaan yang benar-benar menguntungkan ialah satu kisah yang berbeza.

Industri makanan dan minuman (F&B) merupakan antara sektor perniagaan yang mempunyai halangan kemasukan (barrier of entry) paling rendah di Malaysia. Lihat sahaja ketika pandemik COVID-19 melanda negara. Apabila aktiviti ekonomi terhenti dan ramai kehilangan sumber pendapatan, perniagaan makanan menjadi antara pilihan untuk menjana pendapatan sampingan.

Ini menyebabkan persaingan menjadi sengit.

Di Malaysia, sebahagian besar kedai makan diusahakan oleh pemilik individu. Pada masa yang sama, terdapat juga syarikat yang mengendalikan rangkaian restoran dengan puluhan, malah ratusan cawangan di seluruh negara.

Persoalannya, dalam pasaran yang semakin sesak, sejauh manakah perniagaan F&B masih mampu menjana keuntungan yang lumayan?

Margin Keuntungan F&B Tidaklah Setinggi Yang Disangka

Restoran Sushi Mencatat Margin Yang Lebih Tinggi

Berdasarkan prospektus Oriental Kopi Holdings Berhad, purata margin keuntungan bersih beberapa syarikat F&B terpilih, termasuk OldTown, Secret Recipe dan Dome, hanyalah sekitar 6.8%.

Data lain yang diperoleh Ekonomi Rakyat melalui prospektus Empire Sushi turut menunjukkan angka yang hampir serupa.

Purata margin keuntungan bersih beberapa pengendali restoran sushi di Malaysia, termasuk Empire Sushi, Sushi Zanmai dan Nippon Sushi, berada pada paras 8.2%.

Ini bermakna, bagi setiap RM100 jualan yang direkodkan, pengusaha hanya memperoleh sekitar RM6.80 hingga RM8.20 sebagai keuntungan bersih, selepas mengambil kira pelbagai kos perniagaan.

Angka ini mungkin mengejutkan, terutama apabila kita melihat restoran yang sentiasa dipenuhi pelanggan.

Hakikatnya, jualan yang tinggi tidak semestinya membawa keuntungan yang besar.

Di Amerika Syarikat, sektor semikonduktor mencatatkan margin keuntungan bersih sekitar 30.5%, diikuti perbankan (28.9%), perisian (25.49%) dan farmaseutikal (18.54%).

Sebaliknya, industri restoran hanya merekodkan margin sekitar 9.4%, tidak jauh berbeza daripada angka yang diperhatikan di Malaysia.

Perbandingan ini menunjukkan bahawa margin keuntungan yang rendah bukanlah sesuatu yang unik kepada pengusaha restoran tempatan. Sebaliknya, ia mencerminkan sifat industri F&B yang secara umumnya memerlukan kos operasi yang tinggi.

Daripada bahan mentah dan gaji pekerja kepada sewa premis, utiliti dan penyelenggaraan, sebahagian besar hasil jualan perlu digunakan untuk memastikan restoran terus beroperasi.

Adakah Masih Berbaloi?

Margin keuntungan merupakan salah satu ukuran penting untuk menilai keupayaan sesebuah perniagaan menjana keuntungan daripada jualannya.

Bayangkan anda mengusahakan tiga atau empat buah restoran, menggaji puluhan pekerja dan mengurus operasi setiap hari.

Selepas setahun bekerja keras, rangkaian restoran anda berjaya mencatatkan jualan RM12 juta.

Namun, keuntungan bersih yang tinggal hanyalah RM1 juta.

Pada masa yang sama, seorang rakan anda yang menjalankan perniagaan dalam industri lain mungkin mampu memperoleh keuntungan RM1 juta yang sama, tetapi dengan jumlah jualan yang jauh lebih rendah dan hanya beroperasi dari sebuah pejabat saja.

Dalam keadaan ini, perniagaan rakan anda mempunyai margin keuntungan yang lebih tinggi.

Ini tidak semestinya bermaksud perniagaannya lebih baik dalam semua aspek. Namun, ia menunjukkan bahawa model perniagaannya mampu meraih keuntungan yang lebih besar dengan menggunakan sumber yang lebih minimal.

Kelebihan F&B: Potensi Mengembangkan Perniagaan

Walaupun margin keuntungannya agak nipis, industri F&B mempunyai satu kelebihan yang tidak boleh dipandang ringan, iaitu potensi untuk mengembangkan perniagaan melalui pembukaan cawangan baharu.

Sebagai contoh, Oriental Kopi. Dalam tempoh empat tahun, syarikat ini berjaya meningkatkan hasil jualannya daripada sekitar RM5 juta kepada RM450 juta. Empire Sushi pula meningkatkan jualannya daripada RM137 juta kepada RM236 juta dalam tempoh dua tahun.

Statistik sebegini menunjukkan bagaimana sebuah jenama makanan boleh memperluas pasarannya dengan pantas.

Namun, pertumbuhan cawangan dan jualan tidak semestinya diterjemahkan kepada peningkatan keuntungan pada kadar yang sama.

Setiap cawangan baru memerlukan modal, pekerja, peralatan dan kos operasi tambahan.

Oleh itu, kejayaan mengembangkan rangkaian restoran bergantung bukan sahaja kepada permintaan pelanggan, tetapi juga keupayaan syarikat mengawal kos dan mengekalkan keuntungan di setiap cawangan.

Adakah Margin Keuntungan Semakin Nipis?

Selain persaingan yang sengit, pengusaha F&B turut berdepan tekanan kos yang boleh menjejaskan keuntungan.

Purata Margin Keuntungan Bersih Syarikat F&B Menyusut Dari 12.0% Kepada 10.8%

Berdasarkan pemerhatian terhadap dua syarikat F&B tersenarai di Malaysia yang mempunyai data bagi kedua-dua tempoh, purata margin keuntungan bersih menurun daripada 12.0% pada Jun 2025 kepada 10.8% pada Jun 2026, iaitu penyusutan sebanyak 1.2 mata peratusan.

Antara faktor yang berpotensi menyumbang kepada tekanan ini ialah kenaikan harga bahan mentah, kos tenaga kerja dan perbelanjaan operasi.

Bagi restoran, perubahan kecil dalam harga bahan mentah boleh memberikan kesan yang besar kepada keuntungan.

Pada masa yang sama, peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan pada tahun hadapan juga dijangka menjadi cabaran utama indusri F&B, dan akan memberi kesan kepada syarikat-syarikat F&B besar di Malaysia.

Ramadan Juga Menjejaskan Prestasi Jualan Restoran

Selain tekanan kos, industri F&B turut dipengaruhi oleh faktor bermusim.

Salah satunya ialah bulan Ramadan, apabila corak perbelanjaan dan waktu makan sebahagian besar pengguna berubah.

Bagi restoran yang bergantung kepada pelanggan pada waktu sarapan dan makan tengah hari, perubahan ini boleh memberikan kesan kepada jualan.

Data kewangan tiga syarikat F&B menunjukkan penyusutan margin keuntungan bersih dalam tempoh Januari hingga Mac 2026.

Ibadah Puasa Pada Bulan Ramadan Yang Bermula Pada Februari 2026 Jejaskan Margin Keuntungan Bersih Syarikat F&B

Oriental Kopi mencatatkan penurunan margin daripada 12.2% kepada 10.2%. Empire Sushi pula merekodkan penyusutan daripada 13.2% kepada 12.8%. Sementara itu, SDS Group Berhad, pengendali rangkaian bakeri dan kafe yang terkenal dengan jenama seperti Top Baker dan Daily’s, mencatatkan penurunan margin daripada 8.5% kepada 6.3%.

Bukan Mudah Buka Outlet Baru

Dengan persaingan yang tinggi dan margin keuntungan yang relatif rendah, industri F&B sememangnya bukan industri perniagaan yang mudah. Bagi pengusaha yang mahu menjana keuntungan bersih berjuta ringgit, salah satu strategi yang boleh digunakan ialah meningkatkan jumlah jualan melalui pengembangan rangkaian cawangan.

Namun, membuka lebih banyak restoran bukanlah perkara yang mudah. Malah, semakin besar sesebuah rangkaian, semakin rumit operasi yang perlu diuruskan.

Setiap cawangan perlu memastikan rasa makanan konsisten, perkhidmatan memuaskan, kebersihan terjaga dan kos dikawal. Di sinilah pentingnya prosedur operasi standard (SOP).

Tanpa sistem operasi yang kukuh, pertumbuhan yang terlalu pantas boleh memakan diri. Malah, perkara yang kelihatan kecil juga boleh mencetuskan kontroversi.

Kontroversi yang melanda Oriental Kopi baru-baru ini berhubung isu penggunaan bahasa pada menu menunjukkan bagaimana perkara yang mungkin dianggap kecil boleh menjadi isu besar di media sosial, sekaligus mewujudkan persepsi negatif di mata orang ramai terhadap sesebuah jenama.