Jurang Kekayaan Antara Cina, Bumiputera Semakin Melebar Selepas Satu Dekad

Share it

Setelah satu dekad, jurang kekayaan antara golongan Bumiputera dan Cina masih melebar  dengan dengan kaum Cina menerima gaji penengah, pendapatan daripada harta dan pelaburan serta simpanan persaraan lebih tinggi berbanding Bumiputera. 

Menurut LEGASI Research, isi rumah Bumiputera menjana purata pendapatan daripada aset dan pelaburan sebanyak RM851 sebulan pada 2024, berbanding kaum Cina sebanyak RM1,629 sebulan.  

Dalam laporan Jurang Kekayaan Antara Etnik di Malaysia (Siri 1, jurang tersebut diwakili nisbah pendapatan daripada harta dan pelaburan antara Bumiputera dan Cina sebanyak 0.52:1.  

Dalam erti kata lain, tahap pendapatan isi rumah kaum Bumiputera daripada aset dan pelaburan hanya 52% daripada golongan Cina pada tahun 2024.  

Sedangkan pada tahun 2014, jurang itu telah mengecil di mana pendapatan hasil pemilikan harta dan pelaburan golongan Bumiputera adalah 54% daripada golongan Cina, iaitu masing-masing sebanyak RM571dan RM1,050 sebulan. 

Pendapatan Hasil Daripada Pemilikan Harta dan Pelaburan Bumiputera Hampir 50% Lebih Rendah Berbanding Kaum Cina

Selain pendapatan melalui pemilikan aset dan pelaburan, corak yang sama turut berlaku merentas gaji dan pendapatan bulanan antara Bumiputera dan Cina. 

Walaupun dianggap masih kecil dan terkawal, nisbah pendapatan penengah isi rumah Bumiputera baru mencapai 74% pendapatan penengah isi rumah bagi kaum Cina pada tahun 2024. 

Trend yang lebih kurang sama dapat dilihat bagi gaji penengah Bumiputera dan Cina di mana gaji Bumiputera baru mencecah kira-kira 81% gaji kaum Cina pada tahun 2025. 

Berdasarkan unjuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), kedua-dua pendapatan penengah bulanan isi rumah dan gaji penengah Bumiputera dianggarkan untuk mencapai 90% kepada Cina pada tahun 2035. 

Namun, keadaan yang lebih kritikal dapat dilihat antara simpanan persaraan golongan Bumiputera dan Cina khususnya susulan pandemik COVID-19. 

Simpanan KWSP Kaum Cina Meningkat Sebanyak 22% Pada Tahun 2025 Berbanding Tahun 2020

LEGASI Research berkata, simpanan persaraan Bumiputera berumur 55 tahun ke bawah di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara purata hanya mencecah RM12,879 iaitu jumlah yang jauh lebih rendah berbanding etnik Cina dan India. 

Etnik Cina misalnya, mempunyai simpanan penengah yang jauh lebih tinggi iaitu sebanyak RM55,698 atau lebih empat kali ganda lebih tinggi berbanding simpanan penengah Bumiputera.  

Keadaan itu menjadikan simpanan penengah KWSP Bumiputera hanya 23% daripada simpanan KWSP kaum Cina, iaitu jurang yang jauh lebih buruk daripada segi pendapatan (0.74), gaji (0.81) dan pendapatan daripada harta dan pelaburan (0.52).  

“Jika dibandingkan dengan keadaan sebelum pandemik, nilai simpanan Bumiputera semakin menurun dan masih belum pulih. Pada April 2020, simpanan penengah ahli KWSP Bumiputera berumur bawah 55 tahun adalah sebanyak RM15,500.  

“Selepas beberapa tahun pandemik berakhir, simpanan median Bumiputera pada tahun 2025 masih belum pulih dengan nilai simpanan sebanyak RM12,879, iaitu 17% lebih rendah daripada paras sebelum pandemik. 

“Sebaliknya, simpanan penengah etnik Cina telah melonjak 22% melepasi paras sebelum pandemik daripada RM45,800 (April 2020) kepada RM55,698 (2025), sekali gus memburukkan nisbah simpanan penengah antara Bumiputera dan Cina daripada 0.34:1 (April 2020) kepada 0.23:1 (2025),” kata LEGASI Research. 

Jelas firma penyelidikan itu, selagi jurang pemilikan kekayaan terus melebar, ukuran kejayaan dasar pembangunan sosioekonomi negara tidak boleh disandarkan kepada pengurangan jurang pendapatan dan gaji bulanan semata-mata.  

Tanpa dasar sokongan yang lebih kukuh dan efektif, jurang kekayaan antara etnik berisiko terus melebar, menyebabkan keadilan dalam memberi akses serta kapasiti penciptaan kekayaan khususnya bagi Bumiputera diketepikan. 

Pada masa sama, laporan Jurang Kekayaan (Siri 2) akan diteruskan dan merangkumi anggaran nilai stok harta dan kekayaan per kapita mengikut kumpulan etnik di Malaysia. 

Untuk dapatkan laporan penuh, sila layari www.legasiresearch.com.