BilaBila Mart Mula Operasi Hanya Dua Hari Sebelum PKP – Bagaimana Mereka Bertahan?

Share it

BilaBila Mart, rangkaian kedai serbaneka tempatan kini mempunyai lebih 130 cawangan di seluruh Malaysia dan merekodkan hasil tahunan melebihi RM100 juta. Jenama ini sering ditemui di lokasi ekslusif dan premium, seiring dengan konsep perniagaannya yang memberi penekanan terhadap kemudahan (convenience) serta kepelbagaian pilihan produk.

Namun, di sebalik pertumbuhan tersebut, perjalanan enam tahun BilaBila Mart bukanlah sesuatu yang bermula dengan mudah.

Pengasas BilaBila Mart, Lee Hui Jing, dalam temu bual bersama Ekonomi Rakyat berkongsi pengalaman syarikatnya yang terpaksa berdepan dengan cabaran sukar seawal hari kedua operasinya.

Pengasas BilaBila Mart, Lee Hui Jing ketika diwawancara oleh Ekonomi Rakyat.

Dua hari selepas cawangan pertama BilaBila Mart dibuka di Mont Kiara pada tahun 2020, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid 19.

Keadaan itu memberi kesan langsung kepada operasi syarikat, lebih-lebih lagi apabila cawangan pertamanya terletak bersebelahan kawasan pejabat yang ketika itu hampir kosong. Untuk terus bertahan, BilaBila Mart terpaksa menyesuaikan perniagaannya dengan pantas mengikut keperluan pengguna ketika pandemik.

” Dua hari setelah kita buka adalah PKP. Jadi memang tidak ada orang tambahan lagi lokasi yang dibuka adalahan bersebelahan pejabat. Jadi memang kosong.

Bagaimana kita bertahan? Sebenarnya kita jual sanitizer, pelitup muka, Dettol untuk bertahan. Kita juga jadi personal shopper buat pelanggan yang mahukan bawang, pisang dan sebagainya. “

Ketika ditanya mengenai konsep perniagaan dan pemilihan nama BilaBila Mart, Jing menjelaskan bahawa idea membangunkan rangkaian tersebut antaranya diinspirasikan oleh FamilyMart, rangkaian kedai serbaneka dari Jepun yang turut memasuki pasaran Malaysia.

Namun, beliau melihat terdapat ruang untuk menawarkan sesuatu yang lebih dekat dengan cita rasa pengguna tempatan.

Menurut Jing, sebahagian rangkaian kedai serbaneka di Malaysia banyak mengetengahkan makanan dari luar negara, khususnya makanan Jepun dan Korea. BilaBila Mart pula melihat peluang untuk membawa lebih banyak makanan tempatan seperti sate celup dan keropok lekor ke dalam format kedai serbaneka moden.

Pendekatan itu turut diterjemahkan menerusi pemilihan nama BilaBila Mart. Jing mahu membangunkan sebuah jenama yang bukan sahaja mudah diingati, tetapi mempunyai identiti yang dekat dengan rakyat Malaysia serta mencerminkan aspek kemudahan yang ditawarkan oleh rangkaian tersebut.

” Saya memang nak satu nama yang boleh mewakili Malaysia. Kalau anda tengok nama di kedai serbaneka. Kebiasaannya adalah nama pengasas ataupun nombor. Jadi dia tidak ada identiti yang agak kukuh. Saya memang nak ketengahkan elemen Malaysia, sebab itu kita namakan ia BilaBila Mart. “

Sukar Bersaing Dari Sudut Harga

Dalam pasaran kedai serbaneka yang semakin kompetitif, Jing mengakui bahawa harga bukanlah kelebihan utama BilaBila Mart.

Sebahagian pesaing mempunyai lebih 2,000 cawangan di seluruh negara. Skala operasi yang jauh lebih besar membolehkan mereka berunding dengan pembekal untuk mendapatkan bekalan pada harga yang lebih rendah.

Bagi BilaBila Mart yang mempunyai skala lebih kecil, bersaing semata-mata melalui harga adalah sesuatu yang mustahil.

Sebaliknya, syarikat memilih untuk memberi penekanan kepada aspek kemudahan dan kepelbagaian produk sebagai niche yang mahu dikuasainya. Kebanyakan cawangannya beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam, memberikan pelanggan tempoh membeli belah yang lebih panjang.

Namun, waktu operasi yang panjang turut membawa kos tambahan. Menurut Jing, faktor tersebut antara sebab mengapa harga barangan di BilaBila Mart mungkin sedikit lebih tinggi berbanding rangkaian lain.

Strategi ini juga dapat dilihat dalam senarai lokasi outlet-outlet mereka. BilaBila Mart lebih memfokuskan kawasan eksklusif terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor dimana prospek pelanggan mereka rata-rata mempunyai pendapatan yang lebih tinggi.

Syarikat itu juga cuba mencari kelainan melalui pilihan produk yang lebih pelbagai, khususnya dengan memberi ruang kepada jenama tempatan.

” Kelebihan kita di sini adalah kita ada banyak jenama-jenama yang berbeza. Kita juga banyak tawarkan produk tempatan. “

Menurut Jing, sekitar 70% daripada barangan yang dijual di rangkaian BilaBila Mart merupakan produk tempatan.

Strategi ini secara tidak langsung meletakkan BilaBila Mart pada kedudukan yang berbeza daripada sebahagian pesaingnya. Jika rangkaian yang lebih besar mempunyai kelebihan dari segi skala dan harga, BilaBila Mart cuba membina kekuatannya melalui kemudahan, pengalaman pengguna, kepelbagaian produk dan identiti tempatan.

Tonton rakaman penuh temu bual di saluran Youtube Ekonomi Rakyat.