Dasar Satu China – Adakah Kenyataan Perdana Menteri Berkenaan Taiwan Terlalu Kontroversi?

Share it

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Taiwan dalam wawancara bersama Al-Jazeera menarik perhatian ramai susulan pendirian Malaysia dalam isu yang semakin sensitif antara Beijing dan Taipei.

Anwar membandingkan persoalan Taiwan dengan keadaan sekiranya sebuah negeri di Malaysia cuba memisahkan diri daripada Persekutuan. Dalam keadaan sedemikian katanya, kerajaan tentunya akan mempertahankan kesatuan sesebuah wilayah negara.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia berpegang kepada Dasar Satu China, pendirian yang menjadi asas hubungan diplomatik Kuala Lumpur dan Beijing sejak 1974.

Kenyataan itu mendapat sambutan positif daripada Beijing. Taipei pula membantah perbandingan tersebut dan menegaskan bahawa Taiwan tidak boleh disamakan dengan sebuah wilayah yang cuba memisahkan diri daripada sesebuah negara.

Reaksi berbeza daripada kedua-dua pihak menunjukkan betapa sensitifnya isu Taiwan dalam percaturan geopolitik Asia.

Bagi Malaysia, persoalannya bukan sama ada negara perlu meninggalkan Dasar Satu China. Dasar itu telah menjadi pendirian rasmi Malaysia selama lebih lima dekad. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana Malaysia boleh mempertahankan pendirian tersebut tanpa mengabaikan kepentingan ekonomi dan hubungan tidak rasminya dengan Taiwan.

Apatah lagi, pada tahun lalu Malaysia mengeksport barangan bernilai RM88 bilion ke Taiwan, rekod tertinggi yang pernah dicatatkan negara.

Bagaimana China dan Taiwan Terpisah?

Untuk memahami pertikaian hari ini, sejarah hubungan China dan Taiwan perlu ditelusuri sejak puluhan tahun lalu.

Taiwan ialah sebuah pulau yang terletak kira kira 160 kilometer dari pantai tenggara tanah besar China. Selepas kekalahan Dinasti Qing dalam Perang China Jepun Pertama, Taiwan diserahkan kepada Jepun pada 1895 dan kekal di bawah pemerintahan Jepun sehingga berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1945.

Di tanah besar China pula, persaingan antara Kuomintang yang dipimpin Chiang Kai-shek dengan Parti Komunis China pimpinan Mao Zedong akhirnya membawa kepada perang saudara.

Pada 1949, kemenangan Parti Komunis membolehkan Mao menubuhkan Republik Rakyat China (PRC) di Beijing. Kerajaan Kuomintang pimpinan Chiang pula berundur ke Taiwan dan meneruskan pemerintahan atas nama Republik China (ROC).

Sejak itu, wujud dua pemerintahan di kedua dua belah Selat Taiwan. Beijing menganggap Taiwan sebahagian daripada China dan menegaskan penyatuan mesti berlaku pada satu masa kelak. Kerajaan di Taipei pula mentadbir Taiwan secara berasingan dengan institusi kerajaan, angkatan tentera, mata wang dan sistem politiknya sendiri.

Keadaan ini menjadikan status Taiwan sesuatu yang luar biasa. Taiwan berfungsi seperti sebuah negara dalam banyak aspek, tetapi hanya mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan sebilangan kecil negara.

Kedudukan antarabangsa Taiwan berubah dengan ketara pada 1971 apabila Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan Resolusi 2758. Resolusi itu mengiktiraf wakil Republik Rakyat China (PRC) sebagai wakil China yang sah di PBB, sekali gus menggantikan wakil Republik China (ROC).

Sejak itu, semakin banyak negara memindahkan pengiktirafan diplomatik daripada Taipei kepada Beijing.

Malaysia juga berbuat demikian pada 1974.

Pertikaian mengenai status Taiwan turut dapat dilihat di pentas sukan antarabangsa seperti Sukan Olimpik. Taiwan tidak bertanding menggunakan nama rasminya, Republic of China, sebaliknya menggunakan nama Chinese Taipei.

Di Malaysia umpamanya, laman web Malaysia Airlines meletakkan destinasi ke Taipei sebagai salah satu laluannya ke China.

Mengapa China dan Taiwan Masih Bertelagah?

Pertikaian hari ini bukan sekadar tinggalan perang saudara. Ia melibatkan hak dan kedaulatan China itu sendiri.

Beijing berpegang bahawa Taiwan merupakan sebahagian daripada China. Beijing juga tidak menolak penggunaan kekerasan sekiranya dianggap perlu untuk mencapai penyatuan, khususnya jika Taiwan bergerak ke arah kemerdekaan secara rasmi.

Namun keadaan politik di Taiwan telah banyak berubah sejak era Chiang Kai-shek. Taiwan kini merupakan sebuah demokrasi dengan pilihan raya sendiri dan masyarakat yang mempunyai pandangan berbeza mengenai hubungan masa depan dengan China.

Tekanan Beijing terhadap Taiwan juga semakin ketara melalui latihan ketenteraan, penerbangan pesawat tentera dan operasi laut di sekitar pulau itu.

Amerika Syarikat pula menjadi faktor penting dalam mengimbangi pengaruh China.

Washington menamatkan hubungan diplomatik rasmi dengan Republik China pada 1979 dan mengiktiraf Republik Rakyat China sebagai kerajaan China. Namun pada tahun yang sama, Kongres Amerika Syarikat meluluskan Taiwan Relations Act yang menjadi asas kepada hubungan tidak rasmi Washington dengan Taipei, termasuk penyediaan keupayaan pertahanan kepada Taiwan.

Aturannya agak kompleks. Washington mengiktiraf Beijing secara diplomatik, tetapi pada masa yang sama mempunyai kepentingan untuk memastikan masa depan Taiwan sebagai sebuah wilayah berautonomi kekal terjamin.

Kedudukan Taiwan yang strategik turut menjadi sebahagian daripada percaturan geopolitik Amerika Syarikat dalam mengimbangi pengaruh China di rantau ini.

Mengapa Taiwan Penting Kepada Dunia?

Taiwan bukan sekadar pertikaian wilayah antara Beijing dengan Taipei. Pulau itu mempunyai kedudukan penting dalam ekonomi dunia, khususnya dalam industri semikonduktor.

Semikonduktor ialah komponen asas kepada hampir semua ekonomi moden. Telefon pintar, komputer, kereta, pusat data dan pelbagai teknologi kecerdasan buatan bergantung kepadanya.

Taiwan mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam rantaian bekalan industri ini, khususnya dalam pengeluaran cip paling maju.

Oleh sebab itu, konflik di Selat Taiwan tidak akan terhad kepada China dan Taiwan sahaja. Sebarang gangguan besar terhadap pengeluaran atau perdagangan di kawasan tersebut boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan global, kos pengeluaran dan pertumbuhan ekonomi negara lain.

Malaysia juga tidak terkecuali.

Malaysia mempunyai industri elektrik dan elektronik yang besar serta hubungan perdagangan dan pelaburan yang penting dengan kedua dua China dan Taiwan. China merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia, manakala syarikat Taiwan turut mempunyai kepentingan dalam sektor pembuatan dan teknologi negara.

Dengan kata lain, kestabilan Selat Taiwan bukan sekadar isu diplomatik bagi Malaysia. Ia juga melibatkan kepentingan ekonomi global termasuklah Malaysia.

Adakah Kenyataan Perdana Menteri Cukup Kontroversi?

Sokongan Malaysia terhadap Dasar Satu China bukan sesuatu yang baharu. Ia telah menjadi asas hubungan Kuala Lumpur dengan Beijing sejak hubungan diplomatik kedua dua negara diwujudkan pada 1974.

Malaysia juga bukan satu satunya negara yang mengambil pendekatan sedemikian. Sebahagian besar negara di dunia mengiktiraf Republik Rakyat China secara diplomatik dan tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan.

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun turut mendapat reaksi negatif dalam kalangan pembangkang di Malaysia. Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, misalnya menyifatkan kenyataan tersebut berpotensi menjejaskan hubungan Malaysia dengan Taiwan.

Beliau turut menggesa Perdana Menteri supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutama kerana kata-kata seorang ketua kerajaan boleh ditafsirkan sebagai mencerminkan pendirian rasmi negara.

Meskipun kenyataan tersebut meraih pelbagai reaksi, setakat ini sukar untuk melihat kesan signifikan yang boleh menjejaskan hubungan antara Malaysia dan Taiwan. Tak dinafikan, kenyataan tersebut menimbulkan ‘cakap-cakap’ di pentas antarabangsa, namun ia bukanlah satu krisis buat diplomasi negara.

Tambahan pula, Dasar Satu China sememangnya merupakan pendirian rasmi Malaysia sejak sekian lama.

Namun dalam diplomasi antarabangsa, isu persepsi dan optik sentiasa perlu diberi perhatian, bagi mengelakkan sebarang kontroversi atau ‘cakap-cakap’ yang tidak diingini daripada berlaku.