Kekayaan Jeff Bezos Meningkat ke Paras Tertinggi Kepada RM736 Bilion

Kekayaan Jeff Bezos Meningkat ke Paras Tertinggi Kepada RM736 Bilion
Share it

Pemilik Amazon Inc, Jeff Bezos merekodkan peningkatan kekayaan ke paras tertinggi kepada RM736 bilion atau $171.6 bilion susulan peningkatan permintaan pembelian barangan atas talian. Rekod peribadi beliau ini dipecahkan setelah harga saham Amazon meningkat kepada $2,879 sesaham sekaligus memecahkan rekod lampau kekayaan tertinggi beliau pada $167.7 bilion.

Tahun ini saja, kekayaan beliau naik $56.7 bilion atau RM243 bilion manakala bekas isteri beliau, Mackenzie yang meraih suku ( 4% dari keseluruhan saham Amazon ) dari pegangan saham Jeff Bezos kini mempunyai kekayaan sebanyak $56.9 bilion.

Laporan oleh firma Comparisun sebelum ini mencetuskan perdebatan apabila mereka menjangkakan Jeff Bezos akan menjadi trilionaire pertama pada menjelang tahun 2026. Kekayaan mega beliau ini dikritik hebat oleh sebilangan pihak berikutan tahap keselamatan gudang mereka ketika dunia sedang menghadapi wabak Covid-19.

Untuk perbandingan, kekayaan Jeff Bezos lebih dua kali ganda lebih tinggi berbanding kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia yang mempunyai nilai keseluruhan kekayaan sebanyak RM330 bilion. Kekayaan beliau juga hampir bersamaan dengan separuh saiz ekonomi Malaysia yang bernilai RM1.51 trilion.

Amazon yang disenaraikan pada tahun 1997 mempunyai modal pasaran sebanyak $1.44 trilion dengan hasil tahunan sebanyak $280 bilion dan mencatatkan keuntungan sebanyak $11 bilion pada tahun lalu.