Ketagihan merokok bukan perkara baharu dalam masyarakat Malaysia. Selama beberapa dekad, rokok menjadi sebahagian daripada norma masyarakat yang sukar dibendung, meskipun pelbagai kempen kesihatan awam dan langkah percukaian telah dilaksanakan oleh kerajaan.
Namun, tabiat mengambil nikotin sedang berubah. Rokok konvensional tidak lagi menjadi satu satunya pilihan pengguna. Vape atau rokok elektronik semakin mendapat tempat, khususnya dalam kalangan pengguna muda.
Perubahan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan awam. Ia turut mengubah landskap perniagaan industri tembakau.
Syarikat rokok yang selama berdekad-dekad menguasai pasaran kini berdepan dua tekanan serentak. Pada satu sisi ialah penggunaan vape. Pada sudut yang lain pula ialah lambakan rokok haram yang dijual pada harga jauh lebih rendah.
Kesan perubahan tersebut dapat dilihat pada prestasi salah sebuah syarikat tembakau terbesar di Malaysia, British American Tobacco (Malaysia) Berhad.
BAT Tidak Lagi Seperti Dahulu
British American Tobacco (Malaysia) Berhad, atau BAT, merupakan antara nama terbesar dalam industri tembakau tempatan. Syarikat ini memasarkan beberapa jenama rokok terkenal seperti Dunhill, Lucky Strike dan Kent.
Kedudukannya suatu ketika dahulu amat kukuh.
Pada 2014, hasil BAT mencecah sekitar RM4.8 bilion. Namun menjelang 2025, hasil syarikat menyusut kepada sekitar RM2.2 bilion. Ini bermakna lebih separuh daripada hasil tahunannya telah terhakis dalam tempoh kira-kira 10 tahun.
Kemerosotan yang lebih ketara dapat dilihat melalui nilai saham mereka.
Sekitar 2014 hingga 2015, saham BAT pernah diniagakan menghampiri RM70 seunit. Menjelang 2025, harganya jatuh sehingga sekitar RM4.75.
Secara kasar, kejatuhan tersebut melebihi 90%.
Kemerosotan harga saham BAT mencerminkan prospek industri tembakau yang semakin mencabar, seiring dengan perubahan tingkah laku pengguna yang mula beralih kepada alternatif lain.
Dalam kalangan golongan muda berumur 18 hingga 25 tahun, penggunaan vape dilaporkan mencapai 15%, berbanding 6.2% bagi rokok konvensional.
Data kesihatan awam pula menunjukkan perkembangan yang kelihatan positif. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), kadar merokok dilaporkan menurun daripada 22.8% pada 2019 kepada 19% pada 2022.
Namun, penurunan penggunaan rokok konvensional tidak semestinya bermaksud permintaan terhadap nikotin berkurang pada kadar yang sama.
Rokok Seludup – Alternatif Yang Lebih Murah
Salah satu cabaran terbesar kepada industri rokok ialah pasaran gelap.
Rokok haram atau rokok seludup boleh dijual pada harga sekitar RM4 hingga RM8 sekotak, jauh lebih murah berbanding rokok sah yang pada kebiasaannya berharga sekitar RM13 dan boleh mencecah RM18 bagi kategori rokok premium.
Menurut Illicit Cigarettes Study (ICS) in Malaysia, anggaran menunjukkan peratusan penggunaan rokok haram meningkat daripada 54.4% pada 2025 kepada 56.2% pada Mei 2026.
Ini bermakna lebih separuh daripada pasaran rokok di Malaysia kini berada dalam segmen rokok haram.
Keadaan ini mewujudkan tekanan besar terhadap syarikat seperti BAT dan Japan Tobacco International, yang terkenal dengan jenama rokok seperti Winston dan Mevius. Mereka bukan sahaja bersaing dengan pengeluar rokok lain, malah perlu bersaing dengan produk seludup yang dijual pada harga jauh lebih rendah.
Vape Sedang Merebut Pasaran
Jika rokok haram menawarkan harga lebih rendah, vape pula menawarkan sensasi yang berbeza.
Pilihan perisa, reka bentuk produk, kemudahan penggunaan serta persepsi bahawa vape kurang berbahaya berbanding rokok konvensional menjadikannya semakin menarik kepada sesetengah pengguna.
Persepsi tersebut tidak semestinya bermaksud vape bebas daripada risiko kesihatan. Namun dari sudut ekonomi, apa yang dipercayai pengguna tetap mempunyai kesan terhadap permintaan.
Menurut Malaysian Vape Industry Insight, jumlah pengguna rokok elektronik di Malaysia meningkat daripada sekitar 1.1 juta orang pada 2019 kepada 1.4 juta orang pada 2022, peningkatan kira kira 27%.
Pada masa yang sama, nilai industri vape Malaysia dianggarkan bernilai RM2.7 bilion pada 2019 dan dijangka terus berkembang dalam dekad ini.
Malah, sebuah syarikat vape tempatan dilaporkan mampu merekodkan hasil melebihi RM100 juta setahun.
Perubahan ini juga dapat diperhatikan melalui Smoore International, antara pengeluar teknologi dan produk vape terbesar dunia yang terkenal dengan jenama Vaporesso.

Hasil syarikat itu dilaporkan meningkat daripada sekitar RM424.4 juta pada 2015 kepada kira kira RM8.6 bilion menjelang 2025.
Meskipun segmen vape meraih pertumbuhan yang pantas, industri ini tidak terlepas daripada cabaran. Perniagaan vape turut berdepan pelbagai kekangan dalam penjualannya.
Johor, sebagai contoh, telah mengharamkan penjualan vape di negeri tersebut. Di negeri lain, penjualan dan promosi produk vape juga tertakluk kepada pelbagai sekatan seperti larangan promosi dan pengiklanan.
Kerajaan dilihat cuba mengekang peluasan penggunaan vape kepada lebih ramai pengguna. Namun, perkara ini bukan sekadar tentang dasar, tetapi juga sejauh mana undang undang tersebut dapat dikuatkuasakan.

