68% Isi Rumah di PPR Kuala Lumpur Tidak Mempunyai Sebarang Simpanan Wang – UNICEF Malaysia

Share it

Laporan edisi kedua ‘ Families on The Edge ‘ oleh UNICEF Malaysia dan UNFPA mendedahkan bahawa 68% isi rumah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat ( PPR ) Kuala Lumpur tidak mempunyai sebarang simpanan kewangan. Peratusan ini meningkat 5% dari 63% pada tahun lalu ( sebelum pandemik Covid-19 ) kepada 68% pada September 2020.

Berbanding Mei lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dilaksanakan, angka ini  jatuh dari 72% kepada 68% pada September.

Keadaan isi rumah berpendapatan rendah ini mengalami sedikit pemulihan semenjak PKP ditamatkan namun keadaan tidak kembali normal seperti tahun lalu

Seminar Saham

Pendapatan bulanan penengah isi rumah mula meningkat dari RM1,819 pada Mei lalu kepada RM2,233 pada September. Meskipun begitu, pendapatan mereka masih lagi 9% lebih rendah berbanding tahun lalu dimana mereka mencatatkan pendapatan RM2,457 sebulan.

Antara kumpulan yang paling terkesan sekali dengan krisis kesihatan ini adalah isi rumah yang diketuai oleh Ketua Isi Rumah Kurang Upaya. Pendapatan penengah mereka jatuh dari RM1,300 tahun lalu kepada RM990 iaitu jauh dibawah pendapatan garis kemiskinan.

Data menunjukkan 1 dari 2 ( 50% ) daripada isi rumah di PPR Kuala Lumpur berada di dalam kemiskinan mutlak manakala hampir 97% hidup dalam kemiskinan relatif iaitu meraih pendapatan kurang dari RM2,987 sebulan.

Harus diingat, kadar kemiskinan mutlak bagi komuniti ini sudah sedia tinggi pada tahun lepas, iaitu pada kadar 44%. Ianya jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan kadar kemiskinan Mutlak di Kuala Lumpur pada tahun 2019, iaitu pada kadar hampir 0% (0.2%). Peratusan isi rumah PPR ini yang hidup dalam keadaan miskin tegar juga membimbangkan, iaitu pada kadar 17%. Ini bermaksud isi rumah ini tidak dapat akses yang cukup kepada makanan yang sihat.

Penyelidikan ini juga mendedahkan keadaan kesihatan isi rumah dimana majoriti daripada mereka mempunyai seorang ahli keluarga yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis ( 46% )  atau darah tinggi ( 35% ).

Kanak-kanak juga berdepan tekanan yang tinggi selepas PKP dimana 7% pelajar sekolah menengah tidak hadir ke sekolah manakala satu per lima ketua isi rumah melaporkan anak-anak mereka mula kehilangan minat untuk pergi ke sekolah.

Ibu bapa turut mempunyai cabaran mereka yang tersendiri dalam menyediakan pendidikan buat kanak-kanak. Separuh daripada ketua isi rumah melaporkan mereka mempunyai kesukaran untuk menyediakan duit poket buat anak-anak ke sekolah dan keadaan ini lebih teruk dalam kalangan isi rumah yang diketuai oleh wanita iaitu setinggi 65%.

Tidak seperti tanggapan orang ramai, pendidikan atas talian bukan mudah untuk semua terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah. Laporan ini menunjukkan hampir 80% pelajar tidak mempunyai komputer. Kebanyakkan pelajar menggunakan telefon pintar untuk mengikuti pengajian atas talian di mana mereka harus berkongsi telefon tersebut dengan adik beradik mereka yang lain.

Majoriti ibu bapa juga tidak gemar dengan pengajian atas talian. Antara sebab utama adalah kerana anak-anak tidak mempunyai tempat untuk belajar yang kondusif. Kebanyakkan mereka terpaksa belajar di ruang tamu yang mungkin terdedah dengan pelbagai gangguan. Selain itu, akses terhadap internet turut menjadi cabaran utama pengajian atas talian ini.

Penyelidik laporan ini mencadangkan untuk kerajaan terus-menerus memberikan bantuan kepada mereka yang terkesan selain meluaskan liputan bantuan. Sebagai contoh, hanya 2% mereka yang bekerja sendiri memperoleh Geran Khas Prihatin dan hampir separuh (48%) daripada mereka yang sepatutnya menerima BPN, tidak menerima bantuan tersebut.

Bantuan-bantuan seperti moratorium bayaran balik pinjaman bank dan pengeluaran wang persaraan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) juga kelihatan tidak banyak membantu golongan ini. Menurut mereka, bantuan yang banyak membantu menghadapi krisis ini adalah bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Nasional serta pengecualian bayaran sewa rumah.

Zouhair Rosli, salah seorang penyelidik yang menyediakan laporan ini turut menyuarakan kebimbangan beliau terhadap situasi isi rumah berpendapatan rendah ini;

” Perkataan ‘normal’ bagi isi rumah ini tidak seharusnya dirujuk kepada keadaan yang “pulih seperti sedia kala”. Keadaan mereka sudah sedia teruk sebelum pandemik. Justeru, tindakan yang sewajarnya daripada kerajaan adalah diperlukan dengan kadar yang segera. “

Seramai 500 isi rumah di PPR sekitar Kuala Lumpur telah ditemuramah bagi menyiapkan laporan ini melibatkan 2,832 ahli isi rumah. Walaupun purata saiz isi rumah agak besar iaitu sekitar 5.7 orang, namun purata bilangan anak hanyalah 2.3 orang. Selebihnya ialah emak atau ayah yang tinggal bersama. Ini juga menunjukkan persepsi masyarakat tentang orang miskin yang dikatakan mempunyai anak yang ramai adalah tidak benar.

Laporan ini disediakan oleh DM Analytics yang diketuai oleh Dr Muhammed Abdul Khalid dan dibiayai oleh UNICEF Malaysia dan UNFPA dengan sokongan kerajaan Denmark.

Laporan penuh boleh diakses di https://www.unicef.org/malaysia/families-edge

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *