Parti Pimpinan Jacinda Ardern Menang Besar PRU New Zealand, Apa Resipi Kejayaan Beliau?

Share it

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berjaya mengekalkan tampuk pemerintahan buat penggal kedua apabila Parti Buruh pimpinan beliau berjaya memenangi kira-kira 64 kerusi parlimen sekaligus mampu memerintah New Zealand secara solo.

Pada penggal sudah, Parti Buruh hanya memenangi 46 kerusi parlimen menyebabkan mereka terpaksa bekerjasama dengan Parti New Zealand First dan Parti Hijau yang masing-masing mempunyai sembilan dan lapan kerusi parlimen.

New Zealand mengamalkan sistem Mixed-Member Proportional Representation ( Sistem Campuran Perwakilan Berkadar ) dimana sekitar 70 kerusi parlimen dipertandingkan dengan mewakili sesebuah kawasan manakala 50 kerusi lagi melalui peratusan undi yang diterima oleh parti politik.

Mana-mana parti politik yang memperoleh lebih 5% undi popular di dalam kategori undian parti akan mempunyai wakil rakyat mereka di parlimen. Sistem ini membolehkan parti-parti kecil seperti Parti Hijau ( 9+1 kerusi ) dan Parti ACT ( 10 kerusi ) untuk mempunyai wakil di parlimen meskipun tidak memenangi sebarang kawasan.

Seteru utama Parti Buruh, Parti Nasional mengalami kekalahan teruk pada PRU 2020 ini dengan kehilangan 19 kerusi parlimen. Parti berhaluan kanan, New Zealand First yang diterajui Timbalan Perdana Menteri Winston Peters hanya memperoleh 2.67% undi popular sekaligus gagal ke parlimen kerana tidak melepasi had 5% yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihanraya New Zealand.

Gambar oleh Aiman Amerul Muner

Kenapa Parti Buruh Menang Besar?

Pemimpin Parti Buruh, Jacinda Ardern sememangnya mempunyai populariti yang tinggi dalam kalangan rakyat New Zealand. Beliau meraih 52% sokongan dalam kalangan rakyat New Zealand sebagai Perdana Menteri pilihan dan diikuti Judith Collins dengan 18% dalam bancian yang dilakukan oleh media New Zealand.

Fenomena yang dinamakan Jacindamania ini bermula tiga tahun lalu apabila beliau dilantik sebagai Perdana Menteri New Zealand pada usia 37 tahun sekaligus mendapat liputan media antarabangsa yang luas. Beliau terus menjadi tumpuan apabila menjadi wanita kedua selepas Benazir Bhutto untuk melahirkan anak ketika memegang tampuk pemerintahan.

Reaksi pantas beliau susulan serangan ngeri masjid di Christchurch sekali lagi mendapat perhatian dunia. Gambar beliau berselendang ketika menziarahi ahli keluarga mangsa serangan telah tersebar di seluruh dunia. Dalam tempoh kurang setahun, kerajaan pimpinan beliau berjaya meluluskan pindaan untuk undang-undang senjata yang melarang pemilikan senjata semi-automatik dengan sokongan tidak berbelah bahagi dari hampir seluruh ahli parlimen New Zealand.

Gambar oleh Aiman Amerul Muner

Beliau terus mengecapi populariti luar biasa apabila pandemik Covid-19 melanda New Zealand. Melalui pendekatan ” Go Early and Go Hard ” New Zealand telah berjaya membendung penularan Covid melalui lockdown pada Mac dan April 2020.

Pakej Rangsangan bernilai $12.1 bilion segera diagihkan kepada rakyat sekaligus membantu meringankan beban mereka yang terkesan akibat Covid terutamanya mereka yang bekerja di sektor pelancongan, pendidikan dan sektor-sektor berkaitan.

Meskipun New Zealand dilanda gelombang kedua setelah lebih 100 hari tiada penularan komuniti pada September lalu yang menyebabkan pilihanraya ditangguhkan, namun langkah pantas kerajaan New Zealand telah berjaya sekali lagi menewaskan virus ini.

Keupayaan kerajaan pimpinan Parti Buruh ini diterjemahkan melalui sokongan besar pengundi buat Parti Buruh dalam PRU 2020 New Zealand. Menurut Jacinda, kemenangan tahun ini merupakan kemenangan terbesar Parti Buruh dalam tempoh 50 tahun.

Masalah dalaman yang dialami oleh Parti Nasional turut memberikan kelebihan besar buat Parti Buruh. Krisis kepimpinan di dalam Parti Nasional bermula apabila Simon Bridges kalah dalam kaukus Parti Nasional kepada Todd Muller pada Mei lalu.

Todd Muller yang menerajui Parti Nasional untuk ke Pilihanraya pula secara tidak semena-mena meletak jawatan pada Julai dan menyatakan beliau bukan individu terbaik untuk menerajui Parti Nasional dalam mengharungi krisis Covid-19 ini.

Kepimpinan Parti Nasional bertukar sekali lagi. Todd Muller digantikan dengan ahli politik veteran, Judith Collins yang terpaksa mengambilalih kepimpinan kurang tiga bulan sebelum PRU New Zealand.

Krisis kepimpinan yang berlarutan sebelum PRU New Zealand ini sememangnya memberi kesan yang besar buat Parti Nasional apabila mencatatkan kejatuhan undi popular dari 44% kepada hanya 27%.

Gambar oleh Aiman Amerul Muner

Adakah Parti Buruh akan Memerintah Secara Solo?

Inilah persoalan yang masih bermain di minda rakyat New Zealand. Parti Buruh mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan tanpa kerjasama dengan mana parti-parti lain.

Walaubagaimanapun, respons pemimpin Parti Hijau, James Shaw membayangkan bahawa mereka bakal mempunyai tempat di dalam kabinet yang akan datang. Jacinda pula tidak menyebut apa-apa mengenai Parti Hijau di dalam ucapan kemenangan beliau kepada pekerja kempen Parti Buruh.

Parti Hijau meraih kemenangan bergaya pada PRU kali ini apabila pemimpin muda mereka, Chloe Swarbrick berjaya memenangi kerusi di kawasan Auckland Central pada usia 26 tahun.

Parti-parti politik di New Zealand dijangka akan meneruskan rundingan politik dalam tempoh dua tiga minggu yang akan. Ura-ura berkeliaran mengatakan Menteri Kewangan, Grant Robertson bakal menggantikan tempat Winston Peters sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Gambar oleh Aiman Amerul Muner

Cabaran Seterusnya……

Parti Buruh pimpinan Jacinda Ardern kini berhadapan dengan impak pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan. Ini memberikan tekanan terhadap ekonomi New Zealand yang bergantung tinggi terhadap industri pelancongan.

Selain isu ekonomi, ancaman populisme merupakan isu besar yang bakal dihadapi oleh Jacinda. Meskipun rakyat New Zealand memilih untuk menjadi ‘Kiri’ pada kali ini, gerakan populisme dan nasionalisme mungkin menjadi isu utama dalam PRU yang akan datang.

Jacinda sememangnya kini menerima layanan superstar oleh media antarabangsa dan rakyatnya sendiri. Persoalannya, adakah beliau mampu meneruskan momentum ini pada penggal yang akan datang?

Dan persoalan kepada rakyat Malaysia… Siapakah Jacinda Malaysia?

Ribuan terima kasih kepada Aiman Amerul Muner atas kesudian berkongsi gambar-gambar di New Zealand. Laman Instagram beliau boleh diakses di @aimanamerul

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *