Industri peruncitan di Malaysia terus berkembang dengan nilai jualan meningkat daripada RM68.1 bilion pada 2020 kepada sekitar RM91.1 bilion pada 2025, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 6.0%.
Pada tahun 2022, industri ini mencatatkan pertumbuhan ketara setelah Kerajaan menarik balik sekatan pergerakan pada April 2022 akibat pandemik Covid-19.
Menurut tinjauan pasaran, industri peruncitan dijangka terus berkembang seiring dengan pertumbuhan penduduk, serta peningkatan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah.
Dalam industri ini, kedai serbaneka dilihat berpotensi menjadi yang paling pesat berkembang susulan peningkatan permintaan membeli-belah yang mudah dan pantas.
KK Mart, antara syarikat yang menjadi tumpuan dalam perkembangan ini, menerusi rangkaian jenamanya seperti KK Super Mart, KK Concept Store dan KK Signature Store. Pemain-pemain lain di dalam sub-sektor ini termasuklah 7-Eleven Malaysia, FamilyMart dan myNEWS.
Sehingga 28 Februari 2026, KK Mart memiliki 996 cawangan di seluruh negara dan merekodkan hasil sebanyak RM1.57 bilion pada 2025. KK Mart juga dikenal pasti sebagai antara peruncit yang paling pesat berkembang apabila jumlah cawangannya meningkat daripada 646 kedai pada Jun 2023 kepada 777 kedai pada 2024 dan 890 kedai pada 2025.Â
Jika dibandingkan dengan 99 Speedmart, syarikat ini lebih menumpukan kepada model kedai serbaguna yang boleh diakses pada bila-bila masa dan menawarkan pelbagai barangan asas.
KK Mart Sasar IPO Untuk Ke Bursa MalaysiaÂ
Dalam usaha memperkukuh kedudukan serta mempercepatkan pelan pengembangannya, KK Mart Retail Berhad turut merancang untuk disenaraikan dalam Bursa Malaysia dengan 840 juta saham IPO.
Langkah strategik ini dijangka meletakkan anggaran modal pasaran (valuation) syarikat pada nilai sekitar RM3 bilion melalui terbitan 210 juta saham baharu dan tawaran penjualan sehingga 630 juta saham sedia ada. Â
KK Mart Catat Hasil Sebanyak RM1.6 Bilion
Dari sudut kewangan, KK Mart menunjukkan trajektori pertumbuhan hasil yang konsisten dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Hasil syarikat meningkat daripada sekitar RM1.25 bilion pada FY2023 kepada RM1.57 bilion pada FY2025, dengan CAGR kira-kira 11.8%.
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh pertambahan bilangan cawangan serta sumbangan jualan daripada kedai baharu. Â

Prestasi Kewangan KK Mart
Namun begitu, walaupun hasil syarikat terus berkembang, keuntungan bersih KK Mart mencatatkan penurunan sebanyak 4.5% dari RM 101.6 juta pada tahun 2024 kepada RM 97 juta pada tahun 2025. Penurunan ini sebahagian besarnya berpunca daripada peningkatan kos operasi susulan pengembangan agresif rangkaian kedai syarikat.Â
Kos jualan meningkat sebanyak 6.7% kepada RM1.12 bilion seiring dengan peningkatan jualan, manakala perbelanjaan pentadbiran turut naik 12.0% kepada RM237.9 juta disebabkan peningkatan kos pekerja, utiliti dan penyelenggaraan kedai.
Secara keseluruhan, prestasi kewangan KK Mart menunjukkan syarikat masih berada dalam fasa pertumbuhan agresif yang memerlukan perbelanjaan operasi dan pembiayaan yang lebih tinggi. Walaupun strategi pengembangan berjaya meningkatkan hasil dan margin keuntungan kasar, tekanan kos yang semakin meningkat memberi kesan kepada keuntungan bersih syarikat dalam jangka pendek.Â
KK Mart Kini Antara Peneraju Convenience StoreÂ
Berdasarkan penyelidikan pasaran bebas atau Independent Market Research (IMR) berkaitan industri peruncitan di Malaysia, KK Mart merupakan antara pemain yang mencatatkan hasil tahunan yang tinggi setara dengan kedai-kedai serbaneka yang lain seperti 7-Eleven Malaysia dan myNews.Â
99 Speedmart, bagaimanapun kekal menjadi peneraju di dalam pasaran runcit, dengan hasil hampir mencecah RM10 bilion pada tahun 2025, meskipun mempunyai model perniagaan yang sedikit berbeza berbanding KK Mart.
Adakah Harga Barang di KK Mart Adalah Yang Terendah?

Salah satu aspek menarik dalam prospektus KK Mart ialah perbandingan harga produk dengan beberapa pemain utama lain dalam industri convenience retail di Malaysia seperti SUPERVALUE, BilaBila Mart, BHPetromart, Petron Treats, Shell SELECT, 7-Eleven Malaysia, Kedai Mesra, FamilyMart Malaysia dan myNEWS.
Berdasarkan analisis terhadap 52 produk terpilih setakat 20 September 2025, KK Mart didapati menawarkan harga yang lebih kompetitif bagi sebahagian besar produk berbanding purata harga pesaing lain.Â
Selain harga yang agak kompetitif, kekuatan KK Mart juga terletak pada lokasi cawangan-cawangan mereka, yang sering terdapat di lokasi-lokasi yang strategik.
Mampukah KK Mart Capai Penilaian RM3 Bilion?
Berdasarkan pencapaian syarikat-syarikat peruncitan lain seperti 99 Speedmart, myNEWS, 7-Eleven, Ecoshop dan MR DIY, adalah tidak sukar bagi KK Mart mencapai penilaian yang disasarkan mereka iaitu sebanyak RM3 bilion.
Rekod menunjukkan syarikat-syarikat runcit yang tersenarai di Bursa mempunyai purata Nisbah PE sebanyak 40x, dengan jurang yang besar dari sekitar 19x untuk myNews sehingga 72x untuk 7-Eleven Malaysia.
Nisbah PE merujuk kepada perbandingan harga saham semasa berbanding pendapatan syarikat. Lebih tinggi nisbah PE bermaksud pelabur menganggap sesuatu saham itu mempunyai potensi yang tinggi untuk terus berkembang.Â
Dengan prestasi kewangan sedia ada, jika keuntungan bersih KK Mart kekal sekitar RM100 juta, adalah tidak sukar untuk meraih penilaian mencecah RM4 bilion dengan melihat kepada sentimen pasaran ketika ini.
Walau bagaimanapun, faktor-faktor lain seperti prospek pasaran, persaingan daripada peruncit-peruncit lain serta keadaan pelabur di Bursa Malaysia tetap akan menjadi pertimbangan penting buat pelabur dalam mengukur nilai sebenar KK Mart.
Pada ketika ini, KK Mart masih tidak lagi mengumumkan secara rasmi tentang sasaran tarikh penyenaraian syarikat itu. Namun pasaran telah mengetahui untuk sekian lama, bahawa KK Mart telah merancang untuk disenaraikan sejak tahun 2023 lagi, namun terpaksa ditangguhkan gara-gara kontroversi kalimah Allah yang melanda syarikat berkenaan suatu ketika dahulu.

