Tatkala Krisis Melanda, Kanak-Kanak Yang Paling Terasa

Share it

Oleh Juanita Vasquez-Escallon, Ketua Dasar Sosial, UNICEF Malaysia

Krisis ekonomi bukan sekadar statistik bagi seorang kanak-kanak yang pergi ke sekolah dalam keadaan perut kosong. Bagi si kecil itu, krisis ekonomi bermaksud kelaparan, keletihan dan kehilangan peluang dalam hidup.  

Dewasa kini, Malaysia sedang mengharungi salah satu kejutan ekonomi paling sukar yang berlaku dalam sebuah generasi. Makin ramai isi rumah di seluruh negeri sedang terhimpit oleh realiti hidup tatkala tekanan ekonomi kian meruncing. 

Sejak daripada ketegangan di Asia Barat yang telah mencetuskan sekatan Selat Hormuz pada penghujung bulan Februari tahun ini, harga bekalan minyak telah meningkat secara mendadak. Kesan daripada hal ini menyaksikan peningkatan dalam kos harga makanan. Kehilangan pekerjaan dalam sektor formal pada suku pertama tahun 2026 telah mencecah seramai 24,100 orang—melonjak sebanyak 47 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025. 

Kerajaan Persekutuan telah melindungi rakyat Malaysia daripada peningkatan kos bekalan minyak melalui subsidi BUDI 95. Pada masa yang sama, subsidi diesel turut disalurkan kepada kumpulan utama, termasuk petani, pemegang taruh kecil, pengendali pengangkutan awam terpilih, serta kenderaan-kenderaan barangan dan logistik. Di peringkat negeri, Selangor telah memperkenalkan satu pakej pengukuhan daya tahan ekonomi sebanyak RM 130 juta yang merangkumi sarapan percuma untuk kanak-kanak di setiap 873 sekolah kebangsaan, manakala Sarawak telah memperluaskan bantuan keperluan asas dan menyalurkan subsidi tenaga elektrik kepada lebih 700,000 isi rumah. 

Kemahuan politik bermakna yang membantu rakyat dalam kesusahan merupakan usaha yang wajar mendapat pengiktirafan. 

Walau bagaimanapun, usaha sebegini mengetengahkan satu realiti yang kritikal: Kanak-kanak merupakan golongan yang menanggung beban paling besar dalam krisis ini dan kesannya berlarutan jauh melebihi tempoh ketegangan tersebut. 

Data di Malaysia menunjukkan isi rumah yang mempunyai kanak-kanak lebih cenderung berada dalam kemiskinan berbanding isi rumah yang tidak mempunyai kanak-kanak. Tatkala harga makanan meningkat—didorong oleh kos yang mendadak naik di seluruh rantaian bekalan, termasuk baja dan pengangkutan—pendapatan isi rumah mendepani kesannya secara langsung. Tanpa sebarang persiapan untuk waktu-waktu cemas, keterdesakan—contohnya keputusan untuk mengurangkan keperluan asas seperti makanan—menjadi realiti kehidupan. 

Dalam erti kata lain, seorang kanak-kanak kini kurang mendapat sarapan sepatutnya sebelum ke sekolah—bahkan, mungkin tidak bersarapan langsung. 

Dalam erti kata lain, seorang penunggang Grab tidak boleh membaiki rantai motosikalnya yang terputus dan kehilangan beberapa hari untuk bekerja. 

Dalam erti kata lain, seorang petani atau penjual buah di Kedah atau di Sabah bergelut dengan peningkatan kos baja yang meniriskan keuntungan mereka untuk menyara keluarga masing-masing. 

Dan hal yang paling membimbangkan ialah kesan jangka masa panjang terhadap sebuah generasi kanak-kanak serta apakah kesannya terhadap masa depan negara. 

Mari kita lihat satu kesan yang paling kritikal: makanan semakin kurang dan semakin tidak berkhasiat—sesuatu yang sangat membimbangkan di Malaysia, apabila 1 daripada 5 kanak-kanak terbantut tumbesarannya. 

Golongan yang paling terkesan apabila sebuah isi rumah mengurangkan makanan ialah kanak-kanak. Kekurangan zat makanan melemahkan imuniti dan tumbesaran dalam jangka masa pendek. Selain itu, perkembangan otak dan pembelajaran turut terjejas dalam jangka masa panjang, akhirnya mengurangkan pencapaian pendidikan, daya pengeluaran dan memberi kesan terhadap kesihatan sepanjang hayat. 

Jika perkara ini berlaku pada peringkat awal—khususnya dalam 1,000 hari pertama—kesannya sukar dipulihkan, lalu generasi demi generasi terperangkap dalam kitaran kesihatan yang teruk, kemiskinan dan kemunduran, menjadikan jurang ketidaksamaan semakin luas sejak dari usia muda. 

Risiko berikut bukan andaian semata. Kajian UNICEF Malaysia berjudul Living on the Edge yang berdasarkan penyelidikan tentang Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur mendokumentasikan bagaimana isi rumah mendepani  kenaikan kos sara hidup dengan mengurangkan makanan dan keperluan asas lain sebelum krisis minyak bermula. 

Malaysia mempunyai sistem perlindungan sosial yang kukuh seperti STR, SARA, program pemakanan sekolah, penjagaan kesihatan sejagat dan sistem insurans PERKESO sebagai benteng pertahanan. 

Namun, kanak-kanak belum lagi menjadi tonggak utama dalam pembangunan sistem berikut. 

Sebagai contoh, skim bantuan pekerjaan menyediakan elaun yang sama kepada individu yang mempunyai tiga orang anak di bawah tanggungannya sepertimana individu yang tidak mempunyai sebarang tanggungan. Selain itu, sistem SARA mengecualikan sayuran dan buah-buahan segar yang penting bagi tumbesaran sihat anak-anak. Bahkan, versi sekali sahaja (one-off) langsung mengecualikan kanak-kanak. Dan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang melibatkan seramai 870,000 kanak-kanak tidak tidak mengambil kira inflasi sejak tahun 2022. Malah, program ini tidak diperluas untuk merangkumi lebih ramai kanak-kanak di luar kategori kemiskinan tegar, walhal ramai di antara mereka masih memerlukan bantuan. 

Kelemahan sebegini memerlukan perhatian segera—bukan melancarkan program baharu, mahupun agensi baharu. Sebaliknya, sistem yang sedia ada perlu dirombak semula secara menyeluruh bagi lebih peka dengan kehendak dan keperluan kanak-kanak. Hal ini bermaksud garis panduan sedia ada, tahap manfaat diterima, kelayakan barangan dan golongan penerima perlu diperhalusi bagi mencerminkan kos sebenar dan kerentanan dalam membesarkan kanak-kanak, serta melindungi pemakanan dan perkembangan mereka ketika berdepan dengan kejutan ekonomi. 

Dalam masa yang sama, amalan baik sudah pun dilaksanakan. Contoh yang baik ialah program Bantuan Makanan Prasekolah yang memastikan pelajar tadika di bawah Kementerian Pendidikan dan tadika KEMAS menerima bantuan pemakanan tanpa mengira pendapatan isi rumah. Inisiatif ini diambil supaya setiap kanak-kanak memulakan hari mereka dengan bersarapan—walaupun ketika krisis melanda—agar mereka bersedia untuk belajar. 

Inisiatif sarapan sekolah percuma di Selangor juga mengambil pendekatan yang betul. Pujian wajar diberikan kepada kerajaan negeri yang bertindak pantas. Komitmen berterusan Sarawak terhadap manfaat sejagat untuk bayi baharu lahir dan sokongan kepada ibu menunjukkan bahawa kerajaan negeri mampu menerajui kebajikan kanak-kanak. Sistem perlindungan sosial yang responsif terhadap keperluan kanak-kanak boleh direalisasikan apabila diberikan keutamaan. 

Kerajaan Persekutuan kini sedang berhadapan dengan kekangan fiskal yang nyata. Memilih antara mengekalkan subsidi minyak untuk semua dan melindungi golongan paling terjejas bukan sesuatu yang mudah. Akan tetapi, secara konsisten bukti menunjukkan pelaburan terhadap kanak-kanak—melalui program pemakanan sekolah, penjagaan kesihatan kanak-kanak dan bantuan kewangan untuk isi rumah—antara bentuk pelaburan sosial paling berkesan dari segi kos yang boleh diambil oleh kerajaan. Laporan Nutrisi Global (GNR) menganggarkan setiap ringgit yang dilaburkan bagi mencegah pembantutan kanak-kanak mampu menjana pulangan hingga 16 ringgit melalui kesihatan yang lebih baik, produktiviti yang lebih tinggi dan pendapatan sepanjang hayat yang meningkat. 

Namun, struktur subsidi BUDI 95 yang sedia ada bersifat regresif, kerana sistem itu lebih banyak memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan tinggi, memandangkan mereka cenderung memandu dan memiliki kenderaan besar. 

Analisis awal mengenai kemiskinan membuktikan bahawa penarikan subsidi dan penggantian bantuan tunai kepada 80 peratus populasi akan lebih berkesan dalam mengurangkan kemiskinan, pada masa yang sama menelan kos yang jauh lebih rendah. Pada paras harga minyak yang tinggi ketika ini, menggantikan subsidi BUDI 95 dengan bantuan tunai bulanan sebanyak RM300 akan meningkatkan kesejahteraan isi rumah B40, mengurangkan ketidaksamaan, serta mewujudkan ruang fiskal untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial yang lebih peka terhadap keperluan kanak-kanak. 

Bukan semua terkesan dengan kejutan ekonomi secara sama rata. Golongan paling terjejas ialah mereka yang paling kurang berupaya untuk menanggungnya. Maka, dalam kelompok itu, golongan kanak-kanak paling terjejas. Mereka tidak ada sebarang tanggungjawab, namun yang paling lama menanggung akibatnya. 

Melalui Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), pihak kerajaan beriltizam untuk membangunkan modal insan sejak dari usia awal dan meningkatkan paras taraf kehidupan setiap isi rumah. Tatkala Malaysia mendepani krisis, pada masa yang sama ketika  kerajaan negeri dan persekutuan menentukan keutamaan dalam pengagihan sumber yang terhad, satu persoalan harus terus menjadi teras: Bagaimanakah kanak-kanak mendapat manfaat daripada hal tersebut? 

Persidangan belanjawan persekutuan akan datang merupakan detik yang genting. Persoalan sama ada untuk memperkenalkan elaun kanak-kanak sejagat, menyertakan komponen tambahan kanak-kanak ke dalam SIP atau memperkukuhkan STR dan SARA agar lebih responsif terhadap keperluan kanak-kanak akan menentukan bagaimana impak krisis ini akan menjejaskan seluruh isi rumah di Malaysia. 

Perkara ini bukan pilihan teknikal. Pilihan inilah yang akan menentukan sama ada kanak-kanak dilindungi atau dipinggirkan. Di sinilah Ekonomi Madani perlu melaksanakan tanggungjawabnya melindungi kanak-kanak dan keluarga mereka.Â