Bola Sepak Malaysia – Bolehkah MFL Capai 1 Juta Langganan?

Share it

Presiden Liga Bolasepak Malaysia MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dilaporkan sedang meneliti satu kertas cadangan bagi membantu memperkukuh pembiayaan kelab bola sepak tempatan. Cadangan tersebut dikemukakan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu sesi meja bulat bersama wakil persatuan bola sepak Malaysia.

Kertas tersebut mengemukakan cadangan agar MFL mewujudkan satu sistem penyiaran perlawanan bola sepak dibawah kawalan mereka. Hasil yang dijana daripada penyiaran tersebut kemudiannya akan diagihkan semula kepada kelab yang bertanding.

Model ini bertujuan membantu kewangan kelab bola sepak di Malaysia, yang sekian lama bergelut dengan isu kewangan yang tak berkesudahan.

Berdasarkan unjuran awal, setiap pasukan berpotensi menerima antara RM7 juta hingga RM10 juta setahun daripada hasil penyiaran.

Satu Juta Langganan – Terlalu Optimistik?

Screenshot kertas kerja model langganan MFL yang tersebar di media sosial

Cadangan tersebut bersandarkan kepada model langganan digital. Dengan andaian satu juta pengguna membayar RM15 sebulan, MFL berpotensi menjana sekitar RM180 juta setahun.

Daripada jumlah itu, RM60 juta diperuntukkan bagi kos penyiaran dan pengadilan, manakala baki RM120 juta akan diagihkan kepada kelab.

Namun persoalan utama kekal, sejauh mana realistiknya sasaran satu juta langganan dalam konteks Malaysia hari ini?

Cabaran terbesar ialah budaya penstriman haram yang masih berleluasa. Isu ini bukan sahaja menjejaskan industri tempatan, malah sebelum ini turut memberi kesan ketara kepada penyiar seperti Astro, terutamanya dalam siaran liga antarabangsa.

Dalam masa yang sama, landskap penggunaan media telah berubah dengan pantas. Platform percuma seperti TikTok, YouTube dan Facebook semakin mendominasi masa pengguna.

Kandungan pendek, mudah diakses dan tanpa kos telah mengurangkan kecenderungan pengguna untuk membayar bagi kandungan premium, lebih-lebih lagi bagi produk tempatan.

Kesan peralihan ini menjejaskan prestasi kewangan Astro dengan begitu teruk sekali, sehinggakan syarikat itu terpaksa mengharungi proses penstrukturan semula tenaga kerja berkali-kali.

Pendapatan langganan Astro susut 42% kepada RM2.3 bilion

Pendapatan langganan Astro merosot hampir 42%, daripada RM3.9 bilion pada tahun kewangan 2020 kepada sekitar RM2.3 bilion pada 2026. Trend ini menunjukkan model langganan tradisional semakin ditinggalkan pengguna.

Walaupun terdapat contoh kejayaan global seperti Netflix, pencapaian tersebut bergantung kepada akses pasaran yang besar, kekuatan kandungan yang original, serta ekosistem digital yang matang. Faktor ini sukar ditiru dalam pasaran Malaysia yang lebih kecil serta pendapatan rata-rata rakyat Malaysia yang rendah.

Ketika ini, hampir separuh pekerja di Malaysia bergaji kurang RM3,000 sebulan. Mahukah mereka membayar tambahan RM15 sebulan untuk menonton perlawanan bola sepak Liga Malaysia?

MFL Boleh Uji Keberkesanan Dengan Astro

Berdasarkan sentimen semasa, sasaran satu juta langganan kelihatan agak optimistik

Bagi menguji sama ada model ini boleh dilakukan, MFL dalam langkah awal boleh mempertimbangkan kerjasama strategik dengan platform sedia ada seperti Sooka oleh Astro ataupun Unifi untuk menguji kesanggupan pengguna membayar.

Tanpa tinjauan awal seperti ini, risiko kerugian besar adalah tinggi buat MFL, kerana model ini jika dilaksanakan serta merta oleh mereka bakal menelan belanja RM60 juta.