Adakah Inflasi 1.4% Mengambarkan Realiti Sebenar Rakyat Malaysia?

Share it

Inflasi Malaysia pada Februari 2026 merekodkan peningkatan 1.4%, antara yang terendah di ASEAN berbanding Indonesia (4.8%), Vietnam (3.4%) dan Filipina (2.4%). Bank Negara Malaysia pula menyifatkan tekanan kenaikan harga ketika ini sebagai sederhana.

Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur purata perubahan harga berdasarkan komponen-komponen seperti makanan dan minuman (29.8%), perumahan (23.2%) serta pengangkutan (14.1%).

Persoalannya, sejauh mana purata ini benar-benar mencerminkan pengalaman isi rumah dalam membelanjakan pendapatan mereka?

Persepsi vs Realiti

Walaupun kadar inflasi bagi isi rumah rendah, namun angka itu tidak menggambarkan tekanan kewangan sebenar yang dihadapi. Sebahagian besar isi rumah membelanjakan hampir 60% pendapatan mereka untuk tujuan makanan dan perumahan.

Sebagai contoh, harga sepinggan nasi lemak meningkat daripada RM3.63 pada Februari 2025 kepada RM3.73 pada Februari 2026, iaitu kenaikan 2.75%. Peningkatan ini mungkin kelihatan kecil, tetapi apabila dicampur dengan kenaikan ratusan item harian lain, kesannya besar terhadap belanjawan bulanan isi rumah terutamanya isi rumah yang berpendapatan rendah.

Laporan Tahunan BNM 2025 menjelaskan fenomena ini melalui frequency bias dan memory bias. Pengguna lebih peka dan terkesan terhadap kenaikan harga barangan yang kerap dibeli.

Penggunaan Indeks Harga Harian (EPI) dan Indeks Harga Tanggapan (PePI) turut menunjukkan jurang itu.

Walaupun inflasi rasmi hanya naik sekitar 1.4%-2.5% dari tahun 2023-2025, PePI kekal tinggi antara 2.5%-5%. Ini bermakna memori terhadap kenaikan harga lalu lebih dominan dalam fikiran pengguna berbanding penurunan harga. Akibatnya, ramai merasakan inflasi jauh lebih tinggi daripada angka rasmi.

Antara barangan yang mengalami penurunan adalah sayur-sayuran (-4.4%), elektrik (-3.4%) dan petrol (-0.9%).

Meskipun barangan ini mengalami penurunan, namun orang ramai lebih terkesan dengan peningkatan kos seperti makan di luar (+4.1%) dan pembayaran bil air (5.5%).

Perbezaan inflasi rasmi di atas kertas dan inflasi di meja makan menunjukkan terdapat jurang terhadap statistik ekonomi dan pengalaman orang ramai, yang terus bergelut dengan kos sara hidup.

Bekerja Lebih Lama Untuk Tampung Keperluan Asas

Hakisan kuasa beli paling jelas dapat dilihat melalui jumlah jam kerja yang diperlukan untuk menampung keperluan asas. Mengikut kajian BNM bagi tempoh 2019 hingga 2024, kumpulan B80 kini perlu bekerja 48 jam berbanding 44 jam sebelum ini untuk menampung perbelanjaan makanan bulanan.

Ini bersamaan empat jam tambahan, atau lebih setengah hari bekerja. Bagi T20, tempoh itu meningkat daripada 28 jam kepada 30 jam.

Jurang antara B80 dan T20 juga semakin melebar. Pada 2019, B80 perlu bekerja 16 jam lebih lama berbanding T20 untuk keperluan makanan. Menjelang 2024, jurang itu meningkat kepada 18 jam.

Perbezaan ini juga mencerminkan struktur perbelanjaan yang berbeza.

B40 memperuntukkan 30% pendapatan kepada makanan, berbanding 22% bagi M40 dan 16% bagi T20. Maka, setiap kenaikan harga terutamanya harga makanan, ia memberi kesan yang jauh lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah.