Kuala Lumpur, 11 Jun – Pengeluar biomas tempatan, Weng Yat Resources Sdn Bhd, memeterai perjanjian bagi membangunkan platform bekalan biomas untuk pasaran Jepun dengan hasil tahunan dijangka melebihi RM60 juta apabila eksport komersial dilaksanakan sepenuhnya.
Syarikat itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Jepun, Daya Synergy Borneo Co Ltd (DSB) bagi memperkukuh rantaian bekalan bahan api biomas untuk menyokong dasar tenaga boleh diperbaharui dan penyahkarbonan Jepun.
Menurut Pengarah Eksekutif Weng Yat Resources, Sunderaj Nagalingam, perjanjian bekalan jangka panjang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini, dengan penghantaran komersial bermula pada Januari 2027.
“Penghantaran percubaan awal 10,000 tan metrik pelet kayu yang akan dilaksanakan tahun ini, syarikat menyasarkan untuk menguasai 5% daripada pasaran import biomas Jepun dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
Jelasnya, sasaran itu sudah dianggap besar memandangkan saiz pasaran Jepun yang amat luas.
Inisiatif itu dijangka menyokong sektor penjanaan tenaga biomas Jepun yang bergantung kepada import bahan api biomas termasuk pelet kayu, tempurung isirung sawit (PKS) dan pelet Tandan Kosong Kelapa Sawit (EFB).
Permintaan biomas di Jepun dianggarkan mencecah kira-kira tujuh juta tan PKS dan sembilan juta tan pelet kayu setahun, manakala pelet EFB pula dilihat sebagai segmen yang semakin berkembang didorong oleh faktor kos serta ketersediaan bahan mentah.
Menerusi kerjasama itu, DSB akan membantu memudah cara akses pasaran Jepun bagi Weng Yat Resources dengan memanfaatkan rangkaian hubungan sedia ada syarikat itu bersama pedagang biomas dan pengeluar tenaga yang dibangunkan menerusi aktiviti eksport PKS dari Sabah.
DSB turut terlibat dalam beberapa projek pembangunan tenaga termasuk cadangan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 megawatt (MW) di Hokkaido, Jepun, yang dianggarkan bernilai $300 juta.
Tambah Sunderaj, perjanjian itu mencerminkan usaha syarikat menukarkan bahan biomas kepada produk bahan api yang mempunyai nilai eksport.
“Pelbagai projek sedang dilaksanakan pada peringkat berbeza, daripada pembinaan hingga pemasangan peralatan. Tumpuan kami kekal kepada usaha menjadikan bahan biomas yang sebelum ini dianggap sisa sebagai produk bernilai tambah,” ujarnya.
Sementara itu, Wakil Pengarah DSB, Hideki Takizawa berkata perjanjian itu membuka ruang kepada kerjasama jangka panjang antara pembekal Malaysia dan pembeli Jepun dalam sektor biomas.
“MoU ini permulaan kepada hubungan baharu yang dibina atas kepercayaan, saling menghormati dan visi bersama.
“Kami yakin DSB mampu menjadi jambatan antara Weng Yat Resources dan pasaran Jepun, bukan sahaja dalam perdagangan PKS, pelet kayu dan EFB, malah mencipta peluang perniagaan pada masa depan,” tambahnya.
