Mengapa Pengintipan Ekonomi Berlaku?

Share it

Dalam dunia hari ini, persaingan antara negara tidak lagi terhad kepada aspek ketenteraan atau politik semata-mata. Pertarungan kini semakin tertumpu pada teknologi dan ekonomi. Ketegangan antara Amerika Syarikat dan China, misalnya, memperlihatkan bagaimana pengintipan ekonomi (economic espionage) muncul sebagai alat strategik dalam persaingan global.

Pengintipan ekonomi merujuk kepada usaha mendapatkan maklumat sulit seperti teknologi canggih, rahsia perdagangan dan pengetahuan industri. Maklumat ini lazimnya dimiliki oleh syarikat atau negara tertentu dan mempunyai nilai yang tinggi kerana mampu memberikan kelebihan kompetitif yang besar.

Amalan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejarah menunjukkan bahawa pengintipan ekonomi telah berlaku sejak berabad-abad lamanya. Antara contoh terawal ialah usaha mencuri rahsia pembuatan sutera dari China.

China pernah memonopoli pengeluaran sutera selama ratusan tahun. Pada abad ke-6, ketika Empayar Rom Timur berdepan krisis, dua sami Nestorian merancang satu misi berani ke Constantinople.

Mereka menyeludup telur ulat sutera keluar dari China dan memperkenalkannya kepada Empayar Byzantine. Hasilnya, Byzantium berjaya membangunkan industri sutera sendiri, sekali gus menamatkan monopoli China dan mengurangkan kebergantungan terhadapnya.

Warga China Mengintip di Amerika Syarikat

Dalam konteks semasa, kes yang melibatkan Ji Chaoqun merupakan satu contoh pengintipan ekonomi moden. Ji, seorang warganegara China yang menetap di Amerika Syarikat dan menuntut dalam bidang kejuruteraan penerbangan, telah direkrut oleh agensi perisikan China melalui Ministry of State Security (MSS).

Beliau ditugaskan untuk mengenal pasti individu dalam industri aeroangkasa Amerika Syarikat, di samping membina hubungan bagi mendapatkan akses kepada teknologi enjin jet secara sulit.

Matlamatnya adalah untuk membantu China membangunkan teknologi penerbangan sendiri, memandangkan teknologi ini sebahagian besarnya dimonopoli oleh Boeing dan Airbus dalam pasaran kapal terbang komersial.

Dengan mendapatkan maklumat daripada pihak luar, proses pembangunan ini dapat dipercepatkan, sekali gus membantu China memperkukuh industri penerbangannya.

Bukan Seperti di Televisyen

Perisikan moden tidak semestinya melibatkan ejen rahsia seperti yang digambarkan dalam filem. Sebaliknya, ia sering berlaku melalui saluran yang lebih halus seperti pelajar antarabangsa, penyelidik, ahli akademik atau profesional dalam syarikat teknologi.

Industri yang menjadi sasaran lazimnya melibatkan sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, semikonduktor dan perkilangan. Antara syarikat yang pernah menjadi mangsa pengintipan ekonomi ialah Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC).

TSMC menjadi sasaran kerana teknologi yang dimilikinya merupakan antara yang paling maju dalam industri semikonduktor global. Tambahan pula, Taiwan menggunakan TSMC sebagai salah satu “perisai” strategik dalam mengekang tekanan geopolitik, khususnya daripada China.

Walaupun kes ini sering dikaitkan dengan China, amalan pengintipan ekonomi bukanlah terhad kepada satu negara sahaja. Banyak negara lain turut terlibat, sama ada untuk melindungi kepentingan strategik atau memperkukuh kedudukan ekonomi masing-masing.

Adakah Malaysia Turut Terjejas?

Tidak dapat dipastikan sama ada pengintipan ekonomi pernah berlaku di Malaysia. Namun begitu, kes pengintipan korporat pernah dilaporkan, di mana seorang bekas pekerja PETRONAS didakwa mendedahkan dokumen sulit berkaitan rundingan dengan Petros.

Malaysia mungkin dianggap kurang berisiko kerana secara umumnya negara ini tidak mempunyai kepakaran khusus yang eksklusif berbanding negara lain. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud pengintipan ekonomi tidak pernah berlaku atau tidak akan berlaku pada masa hadapan.