Eksport Malaysia April Naik 36.9% Dipacu Permintaan E&E Kukuh

Share it

Eksport Malaysia pada bulan April melonjak dan mencatatkan pertumbuhan paling pantas dalam lebih tiga tahun susulan sektor elektronik mendapat permintaan kukuh daripada pasaran utama.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), jumlah penghantaran keluar meningkat 36.9% mencecah paras rekod RM182.74 bilion berbanding bulan yang sama pada 2025. Angka ini jauh melebihi unjuran Bloomberg sebanyak 9.5% serta kenaikan tahun ke tahun 8.4% yang telah disemak bagi bulan Mac.

Secara bulanan, eksport meningkat 23%

“MITI akan terus memantau rapat perkembangan perdagangan global sambil kekal proaktif dalam melindungi daya tahan perdagangan Malaysia bagi mengekalkan momentum pertumbuhannya”,  kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Penghantaran produk elektrik dan elektronik (E&E), yang merangkumi hampir separuh daripada jumlah eksport meningkat 46% pada April. Menurut kementerian itu, permintaan adalah kukuh dalam segmen kecerdasan buatan (AI) dan elektronik automotif.

Sementara itu, pertumbuhan eksport produk petroleum pula melonjak 70% manakala penghantaran jentera meningkat 27% pada April.

Mengikut destinasi, eksport ke China yang merupakan rakan dagang terbesar Malaysia meningkat 39%, sekali gus mencatat pertumbuhan terpantas dalam tempoh lima tahun. Eksport ke Amerika Syarikat, satu lagi rakan dagang utama Malaysia turut naik 39%.

Jumlah import kasar pula meningkat 20% kepada RM153.99 bilion apabila peningkatan barangan penggunaan mengimbangi penguncupan dalam barangan modal dan perantaraan.

Dalam pada itu, aliran masuk barangan penggunaan naik 5.6% berikutan peningkatan import barangan tahan lama. Selain itu, import barangan modal iaitu aset fizikal dalam pengeluaran jatuh 21% pada April akibat permintaan lebih lemah bagi barangan bukan pengangkutan.

Barangan perantaraan iaitu komponen dan bahagian yang digunakan dalam pemasangan akhir turun 19% pada April.

Tambah MITI, secara bulan ke bulan, jumlah import keseluruhan meningkat 24% pada April.

Baki dagangan meningkat kepada RM28.75 bilion daripada RM5.13 bilion pada April 2025, serta melebihi RM24.5 bilion pada Mac 2026.