Kos MyKiosk RM25,000, Tapi Berbaloi Ke?

Share it

Bagi bakal usahawan yang ingin memulakan perniagaan atau runcit kecil-kecilan, terdapat pilihan sama ada melabur dalam model perniagaan francais atau menyertai inisiatif kerajaan seperti MyKiosk. Mana satu sebenarnya lebih berbaloi?

Terdapat pelbagai francais terkenal di Malaysia yang menawarkan model perniagaan yang telah terbukti berkesan, selain memiliki kekuatan jenama dalam kalangan pengguna.

Antara francais yang popular di Malaysia termasuk KFC, Big Apple, FamilyMart, Tealive, Subway dan Boost. Jika ingin memulakan perniagaan, modal permulaan untuk membuka francais di negara ini juga berbeza-beza.

Bermula daripada sekitar RM15,000 sehingga RM1 juta, kos untuk memulakan perniagaan francais bergantung kepada jenis industri dan jenama yang dipilih.

Jika berhasrat untuk berniaga kecil-kecilan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut memperkenalkan inisiatif MyKiosk yang dilancarkan pada tahun 2023.

Dengan kos sewa lebih rendah, MyKiosk bertujuan membantu menyediakan ruang niaga asas untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Tetapi, dengan dakwaan bahawa sebahagian kiosk kurang mendapat sambutan dan tidak ditempatkan di lokasi yang strategik, sejauh manakah MyKiosk mampu membantu golongan peniaga tempatan?

Kos Unit MyKiosk 2.0 Naik Ke RM25,000? 

Model yang diperlukan bagi bisnes francais yang melibatkan kiosk minuman atau makanan ringan bermula dari RM15,000 hingga RM80,000, manakala restoran dan kafe pula boleh mencecah RM150,000 hingga lebih RM1 juta.

Kafe seperti OLDTOWN White Coffee dan Kenny Rogers Roasters mencecah antara RM700,000 hingga RM1 juta, manakala tealive pula bermula dari RM250,000.

Jika memiliki modal yang lebih kecil, Winner’s Fried Chicken antara bisnes francais dengan modal permulaan lebih rendah iaitu di bawah RM5,000.

Antara kelebihan menyertai francais antaranya usahawan memperoleh model perniagaan yang telah berjaya, sekali gus mengurangkan risiko memulakan perniagaan dari awal.

Selain itu, francais turut menyediakan bimbingan dan sokongan daripada pemilik francais, di samping mendapat manfaat daripada jenama yang sudah dikenali dan dipercayai pengguna.

Sementara itu, MyKiosk menawarkan kadar sewa rendah iaitu tidak melebihi RM300 sebulan, selain peniaga turut menikmati pengecualian sewa selama enam bulan.

Namun, pelaksanaan MyKiosk 2.0 pada tahun 2024 menerima kritikan susulan kos untuk setiap unit MyKiosk mengalami kenaikan dari RM15,000 seunit kepada RM25,000.

Menurut KPKT, kenaikan kos setiap unit MyKiosk 2.0 kepada RM25,000 berpunca daripada penambahbaikan reka bentuk bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan peniaga kecil.

Jelas KPKT, MyKiosk 2.0 dilengkapi kapasiti tenaga solar yang lebih besar, sistem elektrik dipertingkat termasuk lampu LED serta reka bentuk lebih mesra pengguna bagi menyokong aktiviti perniagaan mikro secara mampan.

Kadar Penggunaan MyKiosk Menurun 

Jumlah Unit MyKiosk & Peratus Pengisian Peniaga

Di samping itu, KPKT turut meningkatkan jumlah MyKiosk daripada 2,926 unit pada 2023, kepada 3,518 unit pada 2024.

Namun begitu, kadar penghunian peniaga mencatatkan penurunan daripada 91.8% kepada 86.8% dalam tempoh yang sama.

Susulan itu, Pemuda MCA menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh dan telus terhadap inisiatif MyKiosk susulan kebimbangan awam berhubung kos pelaksanaan projek berkenaan.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong berkata, tindakan MCA bukan bertujuan mencetuskan kekacauan, sebaliknya menyuarakan kebimbangan yang dibangkitkan oleh rakyat.

Menurutnya, semakan terhadap harga yang ditawarkan oleh vendor dalam talian mendapati kerajaan didakwa membayar kos yang jauh lebih tinggi bagi pembinaan kiosk tersebut berbanding harga pasaran.

Tiada Kajian Awal Untuk Projek MyKiosk

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan KPKT gagal menjalankan penilaian keperluan yang sewajarnya sebelum melaksanakan inisiatif MyKiosk.

Menurut SPRM, kelemahan itu merupakan antara beberapa isu yang dikenal pasti dalam pelaksanaan projek berkenaan, yang turut disifatkan sebagai projek ‘gajah putih’ kerana gagal mencapai objektif kerajaan.

Selain itu, didakwa menimbulkan kesulitan kepada orang ramai akibat penempatan kiosk di lokasi yang tidak strategik.

SPRM turut menyatakan bahawa ketiadaan penilaian keperluan serta mekanisme pemantauan hasil yang komprehensif, termasuk petunjuk prestasi utama (KPI), telah menyukarkan penilaian terhadap impak sebenar projek itu di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Menteri KPKT, Nga Kor Ming tampil menjelaskan bahawa majoriti iaitu lebih 91% MyKiosk di seluruh negara telah dibuat pengisian, aktif beroperasi dan memberikan impak ekonomi positif kepada komuniti peniaga setempat.

Jelasnya, status unit MyKiosk yang dilaporkan mengalami kerosakan adalah sebanyak 105 unit di tujuh negeri, manakala tiada laporan berkaitan MyKiosk yang mengalami vandalisme atau terbiar.

Jika dibandingkan dengan membuka perniagaan francais, konsep MyKiosk berdepan cabaran yang sama iaitu memastikan lokasi, permintaan pengguna dan potensi pasaran wajar dinilai terlebih dahulu.

Dalam isu MyKiosk, penyediaan kemudahan fizikal sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disokong oleh kajian mengenai keperluan sebenar peniaga, kesesuaian lokasi, aliran pelanggan serta jenis perniagaan yang berpotensi berjaya.