Bayar Hibah Melampaui Kemampuan, Antara Punca Tabung Haji Berdepan Krisis Kewangan

Share it

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 mendedahkan beberapa kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang membawa institusi itu ke dalam krisis kewangan.

Antara penemuan utama laporan ialah penglibatan ahli politik dalam pentadbiran TH, pembayaran hibah yang tidak selari dengan kemampuan kewangan serta amalan perakaunan kreatif yang secara tidak langsung memberi tekanan kepada kedudukan kewangan institusi tersebut.

Ahli Politik Dilantik Sebagai Ahli Lembaga Pengarah

RCI mendapati pelantikan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) daripada kalangan ahli politik telah mempengaruhi beberapa keputusan penting TH. Menurut laporan, unsur politik didakwa memainkan peranan dalam penetapan kadar hibah, struktur bayaran haji dan juga pelaksanaan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS).

Semakan laporan tahunan TH pada tahun 2014 menunjukkan 4 daripada 10 anggota ALP TH terdiri daripada ahli politik daripada UMNO-Barisan Nasional.

Mereka ialah Pengerusi TH ketika itu, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin (Bekas Ahli Parlimen Jerai), Tan Sri Datuk Mohamad Aziz (Bekas Ahli Parlimen Sri Gading) dan Datuk Rosni Sohar yang kini merupakan Ahli Dewan Negara (Bekas ADUN Hulu Bernam).

Bayar Hibah Melampaui Kemampuan Sebenar

Laporan turut mendedahkan bahawa pembayaran hibah yang melebihi kemampuan kewangan menjadi antara punca utama kedudukan kewangan TH merosot.

Bagi tempoh 2014 hingga 2017, TH mengagihkan hibah tahunan antara 4.25% hingga 6.25% walaupun institusi itu sebenarnya berdepan defisit aset.

Sebagai contoh, pada tahun 2014, TH membayar hibah sebanyak RM3.2 bilion walaupun jumlah asetnya hanya berjumlah RM54.8 bilion, sedangkan jumlah liabiliti kepada pendeposit mencecah RM55.1 bilion (setelah mengambil kira agihan hibah). Keadaan ini menyebabkan defisit aset sebanyak RM352 juta.

Defisit tersebut terus meningkat sehingga RM4.1 bilion pada tahun 2017, sebahagiannya akibat pembayaran hibah yang tinggi.

Tabung Haji alami defisit sebanyak RM4.1 bilion pada 2017

Secara mudah, jika semua pendeposit mengeluarkan simpanan mereka pada ketika itu, TH tidak mempunyai aset yang mencukupi untuk membayar keseluruhan simpanan pendeposit kerana nilai simpanan pendeposit melebihi nilai aset bersih yang dimiliki.

Ubah Ambang Rosot Nilai Sehingga 90%

RCI turut mendapati TH menggunakan pendekatan perakaunan yang membolehkan hibah terus dibayar walaupun prestasi kewangan semakin lemah.

Laporan menyatakan bahawa rosot nilai (impairment) bagi beberapa aset tidak direkodkan sebagaimana sepatutnya, sekali gus menyebabkan penyata kewangan tidak mencerminkan nilai sebenar aset.

Sebagai contoh, sekiranya sesuatu saham dibeli pada harga RM1.00 tetapi harganya telah susut kepada RM0.70, sesebuah institusi lazimnya perlu merekodkan rosot nilai sebanyak RM0.30, yang akan mengurangkan keuntungan sesebuah syarikat ataupun entiti.

Namun, TH dilaporkan telah menaikkan ambang had minimum rosot nilai sehingga 90% pada tahun 2017. Langkah ini mengurangkan jumlah kerugian yang direkodkan dalam penyata kewangan dan membolehkan prestasi kewangan kelihatan lebih baik daripada keadaan sebenar.

Dalam kata lain, jika harga saham telah susut dari RM1.00 kepada RM0.09, barulah rosot nilai dilakukan.

Bonus Sehingga 13 Bulan

RCI turut menegur keputusan pemberian bonus kepada pegawai dan kakitangan TH yang berlebihan.

Bagi tempoh 2010 hingga 2017, bonus yang dibayar adalah antara 2 hingga 13 bulan gaji termasuk bonus khas.

Taburan agihan bonus TH kepada kakitangan berdasarkan KPI

Bagaimanapun, trend menunjukkan bahawa selepas pentadbiran Kerajaan bertukar pada tahun 2018 dan kedudukan kewangan TH dinilai semula, bayaran bonus dikurangkan kepada sekitar sebulan gaji bagi tempoh 2018 hingga 2020.

HAFIS Dijangka Mencecah RM742 Juta Menjelang 2030

Laporan turut memberi perhatian kepada peningkatan kos Bantuan Kewangan Haji (HAFIS).

Menurut RCI, jumlah subsidi haji meningkat daripada RM106 juta pada tahun 2014 kepada RM300 juta pada tahun 2019, dan diunjurkan boleh mencecah RM742 juta menjelang 2030 sekiranya tiada pembaharuan dilaksanakan.

Peningkatan kos ini mengurangkan ruang TH untuk mengagihkan keuntungan kepada pendeposit. Dalam jangka panjang, keadaan tersebut boleh menjejaskan kedudukan kewangan TH jika pendeposit berpindah dan memilih instrumen pelaburan lain yang menawarkan pulangan lebih tinggi.

Bagaimana TH Diselamatkan?

Selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018, beberapa langkah penstrukturan semula dilaksanakan bagi memulihkan kedudukan kewangan TH.

Kerajaan menerbitkan sukuk bernilai RM19.9 bilion melalui Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) untuk mengambil alih aset bermasalah TH yang dianggarkan bernilai RM9.7 bilion.

Ini bermakna UJSB membeli aset tersebut pada nilai yang lebih tinggi daripada nilai pasaran semasa bagi membolehkan kedudukan aset TH kembali melebihi liabilitinya.

Sukuk berkenaan menawarkan pulangan sekitar 4.05% hingga 4.10% setahun sehingga matang.

Kenapa Laporan RCI Didedahkan Sekarang?

Laporan RCI setebal 252 muka surat itu sebenarnya telah disiapkan pada 30 Ogos 2022 oleh panel pesuruhjaya yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif.

Namun, laporan itu hanya pada 29 Julai 2026, hanya beberapa hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sembilan sekaligus mencetuskan persoalan dalam kalangan orang ramai akibat kelewatan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa laporan itu tidak diumumkan lebih awal bagi mengelakkan krisis keyakinan terhadap TH.

Walau bagaimanapun, beberapa orang yang dihubungi ER dan rapat dengan perkara ini tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, dan menyatakan bahawa TH tidak menghadapi masalah kritikal meskipun membayar hibah sebanyak 1.25% pada tahun 2018.

*Walau bagaimanapun, laporan RCI mendapati bahawa deposit telah turun dari RM73 bilion pada 2018 kepada RM69 bilion pada tahun 2019, namun kesannya adalah lebih kecil seperti dijangka.

Bahkan, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Sukhdave Singh melalui hantarannya di Linkedin juga memberi respons negatif, dan menyatakan bahawa keyakiann orang ramai tidak terjejas disebabkan salahlaku didedahkan, sebaliknya ia terjejas apabila salahlaku dan mereka yang bertanggungjawab tidak dibawa ke muka pengadilan.

Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan orang, mereka melihat pendedahan laporan RCI ini sebagai reaksi kepimpinan Pakatan Harapan terhadap perkembangan politik semasa.

Ini selepas Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mencapai persefahaman untuk menggunakan formula satu lawan satu dalam menentang Pakatan Harapan di Negeri Sembilan, yang mana kebanyakan dapatan-dapatan yang timbul di dalam laporan ini boleh digunakan sebagai peluru untuk menyerang Barisan Nasional.