Kemajuan Sahaja Tidak Cukup Buat Anak-Anak Sabah

Share it

Oleh Farqani Mohd Noor, Pakar Dasar Sosial, UNICEF Malaysia

Apakah makna kesejahteraan bagi kanak-kanak di Sabah? Saya mengingati soalan yang saya kemukakan dua tahun yang lalu dalam sebuah bengkel terawal kami. Tiada statistik atau penanda. Sebaliknya, kami meminta anak-anak negeri itu melukis.

Ada yang melukis sungai dan laut. Ada juga yang melukis rumah mereka dan tempat yang mereka anggap selamat. Ramai yang melukis gambar keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga mereka.

Namun ada satu lukisan yang berbekas dalam ingatan saya sampai ke hari ini. Lukisan tersebut merupakan sebuah rumah yang sederhana, serta kanak-kanak bermain di luar. Dan di atas lukisan itu tertulis pengakuan ringkas:

“Apa yang membuat saya bahagia: Keamanan.”

Lukisan itu tidak menyebut tentang pendapatan  atau infrastruktur. Sebaliknya, wujud rasa tenteram, rasa kebersamaan serta kehadiran insan-insan yang dikasihi.

Lukisan tersebut mengingatkan kita bahawa kesejahteraan kanak-kanak bukan sekadar pendapatan atau capaian perkhidmatan.

Kesejahteraan kanak-kanak juga merangkumi aspek kesihatan, keselamatan, keterhubungan, kemampuan untuk belajar, kemampuan untuk bermain dan suara seorang kanak-kanak benar-benar didengari.

Penglibatan bersama kanak-kanak ini menjadi titik permulaan bagi Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sabah (SCWI).

Melalui tinjauan dan kerja lapangan, UNICEF mengumpul lebih daripada 4,400 cerita daripada kanak-kanak dan penjaga seluruh negeri Sabah bagi memahami bagaimana kanak-kanak di rantau ini membesar.

Usaha ini bertujuan melihat kesejahteraan kanak-kanak melangkaui aspek pendapatan, dengan mendengar suara kanak-kanak dan penjaga mereka supaya keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan pengalaman mereka dalam kehidupan harian.

Ada Kemajuan, Tetapi Tidak Saksama

Berdasarkan dapatan kami, kebanyakan kanak-kanak di Sabah mempunyai capaian penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan asas yang lain.

Terdapat bukti kukuh bahawa wujudnya sokongan sosial dan kekeluargaan merentasi komuniti di Sabah.

Malah, antara dapatan paling konsisten daripada Indeks ini ialah betapa kuatnya rasa keterikatan dalam kalangan kanak-kanak khususnya melalui hubungan mereka dengan keluarga dan komuniti.

Ini bukan calang-calang pencapaian. Ini merupakan cerminan usaha yang berterusan oleh kerajaan, masyarakat sivil, pekerja barisan hadapan, komuniti tempatan dan penjaga.

Semestinya ada kemajuan di Sabah, tetapi kemajuan semata-mata tidak menjamin setiap kanak-kanak membesar secara sejahtera.

Ramai kanak-kanak di seluruh Sabah masih membesar dengan jurang yang memberi impak terhadap kehidupan mereka seperti tidak mendapat makanan yang berkhasiat, tinggal di dalam rumah yang serba kekurangan, menjadi mangsa buli, terdedah kepada persekitaran yang tidak selamat dan tidak mempunyai capaian internet atau alat pembelajaran yang sempurna.

Cabaran ini bukan kes-kes terpencil. Lazimnya, setiap satu cabaran saling berkait antara satu sama lain. Semakin lama masalah-masalah ini bertindih, semakin sukar untuk mengatasinya. Dan bagi sesetengah kanak-kanak, jurangnya terlalu luas.

Siapakah yang Tercicir?

Bagi meliputi kanak-kanak yang sering tercicir daripada tinjauan-tinjuan kebangsaan, UNICEF telah bekerjasama dengan Organisasi Masyarakat Sivil yang aktif di Sabah dalam memastikan secara langsung kanak-kanak kurang upaya, serta kanak-kanak tanpa dokumen atau tanpa kewarganegaraan turut terlibat dalam kajian ini.

Kumpulan kanak-kanak ini secara konsisten merupakan golongan yang paling terpinggir. Mereka lebih cenderung tercicir daripada pendidikan, mempunyai akses yang terhad kepada pelbagai perkhidmatan, serta berdepan halangan yang bukan sahaja berpunca daripada faktor struktur, tetapi juga faktor sosial.

Hal ini mengingatkan saya ketika kami menjalankan kerja lapangan kami di Sandakan dan bekerjasama dengan Cahaya Society.

Di sebuah Pusat Pembelajaran Alternatif, kami menemubual tiga belas orang kanak-kanak. Kami mendapati ramai dalam kalangan mereka; ada yang pemalu dan ada juga yang berkeyakinan. Walau bagaimanapun, setiap kanak-kanak kongsikan tentang kehidupan seharian mereka dan apa yang mereka harapkan.

Apabila temubual terakhir selesai, kumpulan kanak-kanak dan penjaga mereka mula beransur pergi.

Saya teringat menoleh ke belakang dan mendapati terdapat seorang lagi kanak-kanak yang sedang berdiri di luar bilik darjah berhampiran dengan dapur. Dia sedang menunggu.

Seorang kanak-kanak lelaki yang kurang upaya.

Kanak-kanak lelaki itu tidak menyertai rakan-rakannya yang lain. Sebaliknya, dia menunggu sehingga semua sudah selesai sebelum hadir ke hadapan.

Detik kecil itu begitu mudah untuk terlepas pandang.

Ketika itu, saya masih tidak menghadam peristiwa itu sepenuhnya. Hanya apabila kami mula menganalisa data yang dikumpul, barulah saya sedar betapa pentingnya detik itu.

Keterpinggiran tidak semestinya ketara. Kadangkala, keterpinggiran dapat dilihat melalui siapa yang diberi perhatian, siapa yang dilibatkan dan siapa yang diberi ruang untuk mengambil bahagian.

Dan bagi sesetengah kanak-kanak, keterpinggiran ini datangnya berlapis-lapis. Keterpinggiran yang dihadapi mereka dibentuk oleh kekurangan keupayaan, status dokumentasi, bahkan adakala kedua-duanya dihadapi bersekali. Inilah apa yang Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sabah cuba ketengahkan.

Apakah Yang Data Ceritakan?

Sudah sekian lama di Malaysia, kita mengukur kehidupan kanak-kanak melalui penanda individu. Kita sering melihat kemajuan dengan pandangan berbeza: sama ada seorang kanak-kanak berada di bangku sekolah, berjumpa dengan doktor atau menerima sokongan.

Penanda ini secara amnya penting, namun penanda ini secara berasingan tidak memberi gambaran sepenuhnya.

Malah, kehidupan kanak-kanak tidak berlaku dalam ruang-ruang yang terasing.

Indeks ini menunjukkan bukti jelas: walaupun seorang kanak-kanak itu berada di sekolah, namun dia tidak mendapat akses digital untuk mendapatkan maklumat yang secukupnya; dia hadir ke pemeriksaan kesihatan, namun tidak mendapat khasiat yang lengkap apabila di rumah; dia mempunyai sistem kekeluargaan yang cukup, namun hidup dalam persekitaran yang berbahaya.

Bahkan, dia menjejak ke usia belia remaja tanpa peluang untuk didengari dan ruang selamat untuk dia membesar.

Data yang diperoleh memperlihatkan hakikat yang sukar diabaikan. Lebih 90 peratus kanak-kanak di Sabah mengalami pelbagai bentuk kekurangan, pada masa yang sama dengan sekurang-kurangnya dua aspek kesejahteraan mereka tidak dipenuhi.

Jika cabaran yang dihadapi kanak-kanak saling berkaitan, respons kita juga seharusnya bersepadu dan saling melengkapi.

Soal pendidikan tidak boleh ditambahbaik tanpa mendepani isu kelaparan dan kekurangan zat makanan kanak-kanak; soal kesihatan tidak boleh diperkukuhkan tanpa mendepani isu keadaan tempat tinggal dan kebersihan; soal sokongan penglibatan kanak-kanak dan kesihatan mental mereka tidak boleh dibincangkan tanpa mendepani isu keselamatan dan keterangkuman mereka.

Menggerakkan Bukti Menjadi Tindakan

Dapatan Indeks ini menyeru kita semua kepada pendekatan yang lebih bersepadu dan saling berhubung antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, masyarakat sivil, sektor perniagaan dan komuniti tempatan.

Sistem kekeluargaan dan komuniti yang kuat di Sabah menawarkan asas yang kukuh untuk membangunkan pendekatan ini. Dengan sokongan yang betul, komuniti dan pihak berkuasa tempatan dapat membantu kanak-kanak mendapatkan bantuan kesihatan, pendidikan, kebajikan dan sokongan perkhidmatan yang lain.

Tatkala perbincangan tentang Belanjawan Persekutuan sedang berlangsung, dapatan Indeks ini membantu memastikan sumber awam disalurkan kepada sektor perkhidmatan dan kumpulan kanak-kanak yang paling memerlukannya.

Pada masa hadapan, dapatan daripada Index ini juga dapat membantu mengesan sama ada pelaburan ini menghasilkan kesan yang nyata dan perubahan yang bermakna dalam kehidupan kanak-kanak di Sabah.

Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sabah juga mengingatkan kita mengapa keterangkuman data itu penting. Seringkali, kanak-kanak kurang upaya, tanpa dokumen atau tanpa kewarganegaraan kekal terpinggir dalam dapatan data dan bukti yang sepatutnya digunakan dalam pembentukan keputusan dasar.

Apabila kanak-kanak terpinggir, keperluan mereka turut terabai.

Setiap kanak-kanak di Sabah berhak memperoleh apa yang digambarkan oleh lukisan tersebut: sebuah rumah yang selamat, sebuah komuniti yang menyokong mereka dan bukan sekadar peluang untuk membesar, tetapi untuk hidup dengan sejahtera.