Pasaran runcit merupakan antara industri yang paling kompetitif di dunia. Di Malaysia, industri ini bernilai RM91 bilion dan dianggarkan berkembang pada kadar 6.3% setahun untuk tempoh lima tahun akan datang.
Walaupun kelihatan seperti pasaran yang menarik, realitinya berbeza. Angka Frost & Sullivan pada tahun kewangan 2024 dan 2025 bagi beberapa pemain utama pasaran runcit negara menunjukkan purata keuntungan sebelum cukai syarikat-syarikat peruncitan hanyalah 3.2%.
Malah, terdapat beberapa syarikat peruncitan di Malaysia yang kini beroperasi dalam kerugian.

Pengasas BilaBila Mart, Lee Hui Jing, ketika diwawancara oleh Ekonomi Rakyat mengakui cabaran yang dihadapi dalam pasaran runcit. Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kos menjalankan perniagaan runcit begitu tinggi, antaranya sewa kedai, kos pekerja dan kos bekalan barangan.
Katanya, rangkaian kedai BilaBila Mart terpaksa menetapkan harga yang lebih tinggi berbanding sesetengah kedai lain bagi menampung kos operasinya.
Walaupun mempunyai 130 cawangan di seluruh negara, BilaBila Mart masih berhadapan dengan cabaran dalam berunding dengan pembekal. Menurut Jing, sebilangan gergasi peruncitan lain mempunyai lebih 2,000 kedai di seluruh Malaysia, sekali gus membolehkan mereka berunding dengan pembekal untuk mendapatkan terma yang lebih baik.
” Memang saya terus terang, kita bukan yang paling murah. Saya tidak mempunyai kelebihan untuk membeli stok pada kuantiti yang lebih banyak. Sebab itu pelanggan selalu bertanya, kenapa harga lagi tinggi dari kedai lain. “
Selain isu rundingan dengan pembekal, beliau menjelaskan bahawa kes kecurian serta pekerja yang mengambil kesempatan turut menjadi antara punca margin perniagaan runcit begitu nipis.
Kes kecurian berlaku hampir setiap minggu dan kebanyakannya bukan melibatkan barangan keperluan.
” Kebanyakan masa, mereka mencuri bukan barangan terdesak ataupun barang keperluan. Dia tak curi gula atau tepung. Dia curi barang yang tak diperlukan. “
Ada kalanya, staf yang bertugas menyedari perkara tersebut, namun bimbang untuk menegur secara terang-terangan atas pelbagai faktor termasuk keselamatan.
Selain kecurian oleh pelanggan, perniagaan runcit juga berdepan kebocoran tunai dan stok apabila terdapat staf yang mengambil kesempatan. Namun, isu ini lebih mudah dikesan kerana pihak pengurusan boleh mengenal pasti sekiranya terdapat transaksi yang tiba tiba dibatalkan dalam sistem.
Bagi menangani masalah ini, BilaBila Mart mewujudkan pasukan Loss Prevention and Security yang bertanggungjawab mengenal pasti sebarang isu dalam operasi perniagaannya.
Kenapa Ada Kedai Runcit Yang Boleh Menjual Pada Harga Sangat Murah?
Kebiasaannya, kedai runcit meraih keuntungan melalui front margin, iaitu perbezaan antara harga kos dengan harga jualan. Sebagai contoh, jika harga kos sebotol air mineral ialah RM0.70, kedai runcit boleh menjualnya pada harga RM1.00, dengan perbezaan RM0.30 dikira sebagai keuntungan kasar.
Namun, Jing mendedahkan bahawa sesetengah pemain runcit mempunyai cara lain untuk meraih pendapatan. Menariknya, pendapatan ini bukan diperoleh daripada pelanggan, sebaliknya daripada pembekal. Ia dikenali sebagai back margin.
Salah satu daripadanya ialah listing fee atau caj penyenaraian barangan di kedai kerana kemasukan sesuatu produk memerlukan perubahan dalam sistem pengiraan stok yang digunakan.
” Harga biasanya RM50 sehingga RM100 untuk satu SKU (jenis produk) bagi setiap satu cawangan. Dan jika syarikat itu mempunyai 2,000 cawangan, serta mempunyai lima SKU. Jadi sudah berapa mereka dapat di situ. “
Beliau turut berkata terdapat pelbagai caj lain yang boleh dikenakan kepada pembekal seperti placement fee atau caj mempamerkan barangan, caj pemasaran serta rebat jualan. Bayaran ini membolehkan sebilangan pemain runcit menjual produk pada harga yang sangat rendah, sekaligus menjadikan rangkaian mereka sebagai pilihan utama pelanggan.
Sebuah syarikat runcit gergasi di negara ini umpamanya, meraih lebih RM500 juta setahun daripada pembekal melalui caj-caj ini.
Adakah Produk Boleh ‘Ditendang’ Keluar Daripada Rak?
Jing turut menjelaskan bahawa barangan yang dipamerkan di rak kedai runcit boleh dikeluarkan sekiranya prestasi jualannya tidak memuaskan. Menurutnya, produk yang dipamerkan mestilah mempunyai pembeli kerana jika tidak, ia akan dianggap sebagai dead stock.
Dead stock merujuk kepada barangan yang tidak terjual. Keadaan ini merugikan peruncit kerana ruang rak tersebut boleh digantikan dengan barangan yang mempunyai permintaan lebih tinggi, sekali gus membantu menjana aliran tunai kepada perniagaan.
Beliau berkata jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil sesetengah produk akan dikeluarkan daripada rak.
“ Dalam masa tiga bulan sehingga enam bulan, kita akan tengok barang anda laku atau tidak. Jika laku, kita akan kekalkan. Tetapi jika dalam tempoh masa tersebut jualan masih teruk walaupun pengeluar sudah buat pemasaran dan promosi , kami akan menurunkan barang produk tersebut daripada rak. ”
Bagi pemilik perniagaan yang ingin meletakkan produk mereka dalam pasaran runcit, Jing berkata sampling atau memberikan sampel percubaan bagi produk makanan merupakan perkara paling asas yang perlu dilakukan untuk menarik pelanggan.
Selain itu, promosi seperti ‘beli satu percuma satu’ atau pemberian diskaun juga boleh digunakan bagi memperkenalkan produk baharu.
Rakaman penuh wawancara boleh ditonton melalui saluran YouTube Ekonomi Rakyat.
