MyDCD Berhad (MyDCD) diunjurkan meraih jumlah hasil kasar sebanyak RM268.80 juta menerusi penerbitan dan tawaran 480 juta saham biasa pada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM0.56 sesaham.
Menurut penyedia perkhidmatan kejuruteraan itu, IPO tersebut merangkumi 335 juta saham biasa baharu (Public Issue Share) yang dijangka menjana hasil kasar sebanyak RM187.60 juta untuk syarikat, dan 145 juta saham sedia ada yang ditawarkan untuk jualan serta dijangka menghasilkan RM81.20 juta untuk disalurkan kepada pemegang saham sedia ada yang menjual pegangan mereka.
Berdasarkan modal saham terbitan syarikat yang diperbesar (enlarged share capital) sebanyak 1.794 bilion saham dan harga IPO, MyDCD dijangka mencatatkan permodalan pasaran (market capitalization) kira-kira RM1.00 bilion, iaitu RM1,004.64 juta, sebaik sahaja disenaraikan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyDCD Berhad, Chris Ow Yong berkata, syarikat itu telah lama terlibat dalam industri infrastruktur digital, termasuk dalam pembinaan pusat data yang semakin penting kepada perniagaan dan ekonomi.
Buat masa ini, operasi pusat data MyDCD tertumpu di Lembah Klang dan menyumbang kira-kira 97% hasil kumpulan.
“Skop kerja kami merangkumi proses integrasi mekanikal, elektrikal, paip dan perlindungan kebakaran (MEPF), daripada sokongan kejuruteraan, pembekalan dan pemasangan hinggalah pengujian serta pentauliahan.
“Seiring dengan peningkatan tuntutan projek, amat penting bagi kami untuk mempunyai keupayaan teknikal yang sesuai, tenaga kerja berpengalaman dan modal kerja yang mencukupi.
“Hasil daripada IPO ini akan membantu kami memenuhi keperluan tersebut dengan menyokong pelaksanaan projek, termasuk penyediaan bon pelaksanaan, di samping memperkukuh pasukan serta menambah baik sistem bagi menyokong pertumbuhan berterusan,” katanya.
Ow Yong turut berkata, MyDCD merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia yang menjalankan perniagaan integrasi MEPF khusus untuk pusat data pada masa ini.
Menurut kenyataan, sebanyak 71.43% daripada hasil kasar RM187.60 juta akan diperuntukkan bagi memenuhi keperluan modal kerja, terutamanya untuk menyokong pelaksanaan projek dan membiayai bon pelaksanaan.
Sebanyak RM39.90 juta, bersamaan 21.27% daripada hasil berkenaan, akan digunakan untuk mengembangkan operasi perniagaan melalui pengambilan kakitangan tambahan, penyewaan pejabat baharu dan latihan pekerja. Sementara itu, RM5 juta atau 2.66% akan diperuntukkan bagi menaik taraf sistem teknologi maklumat (IT).
Baki hasil tersebut akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
Ketua Pembiayaan Korporat TA Securities Holdings Berhad (TA Securities) Ku Mun Fong berkata, IPO itu merupakan langkah strategik bagi MyDCD untuk mengembangkan perniagaan.
“Selain memperkukuh profil korporat dan meningkatkan keterlihatan syarikat dalam pasaran, penyenaraian ini akan membuka akses kepada sumber modal bagi menyokong fasa pembangunan yang seterusnya.
“Pelaburan Malaysia yang semakin meningkat dalam infrastruktur digital dan pembangunan pusat data kini meletakkan keupayaan teknikal serta pengalaman MyDCD dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan perusahaan, ko-lokasi dan hiperskala pusat data pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang dalam segmen pasaran khusus yang sedang berkembang ini,” katanya.
Saham syarikat itu turut diklasifikasikan sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

