” AS Tersilap Langkah, Jadikan Iran Kuasa Besar ” – Bekas Duta Besar Malaysia Ke Lubnan

Share it

Bekas Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Dato’ Dr Ilango Karuppannan berpandangan bahawa tindakan Washington menyerang Iran bukan sahaja gagal melemahkan kedudukan Tehran, malah memberikan negara itu pengaruh strategik yang lebih besar terhadap ekonomi dunia.

Keputusan Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran merupakan satu kesilapan strategik yang akhirnya mengukuhkan kedudukan Tehran sebagai kuasa utama di Asia Barat, menurut bekas Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Dato’ Dr Ilango Karuppannan.

Beliau berpandangan bahawa meskipun hubungan antara Washington dengan Tehran sekian lama tegang, Iran bukanlah musuh utama AS yang memerlukan tindakan ketenteraan secara langsung.

Sebaliknya, tindakan Washington menyerang Iran, yang menurut beliau didorong oleh tekanan Israel, telah membuka ruang kepada Tehran untuk menggunakan kedudukan geografinya sebagai senjata strategik.

Antara perkembangan paling penting ialah tindakan Iran menyekat laluan di Selat Hormuz, sebuah perairan strategik yang menjadi laluan utama eksport minyak dan gas dari negara Teluk ke pasaran antarabangsa.

” Saya rasa tidak wajar dicuba (serangan terhadap Iran). Sebab Iran itu bukan seteru kepada Amerika Syarikat. Masalahnya dengan Israel yang mencucuk AS untuk melakukan peperangan ke atas Iran. Iran bukan macam negara lain di Teluk. Iran adalah satu kuasa yang besar. Jadi apabila dia (AS) serang Iran, lihat apa yang berlaku sekarang. “

Menurut Ilango, keupayaan Iran mengganggu aliran tenaga dunia melalui Selat Hormuz memberikan Tehran satu bentuk pengaruh geopolitik yang dalam keadaan tertentu boleh menjadi lebih berkesan berbanding pemilikan senjata nuklear.

Ini kerana sebarang gangguan terhadap laluan tersebut berpotensi mencetuskan kenaikan harga minyak, mengganggu rantaian bekalan dan memberikan tekanan kepada ekonomi negara pengimport tenaga.

Ilango berpendapat bahawa kawalan Iran terhadap Selat Hormuz ini lambat laun akan diiktiraf oleh dunia sebagai hak semula jadi Iran.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Selat Hormuz merupakan antara laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia, dengan kira kira satu perlima penggunaan minyak global melalui perairan tersebut.

Dato Dr Ilango ketika diwawancara oleh Ekonomi Rakyat

Pandangan itu dikongsikan Ilango dalam wawancara bersama Luqman Al-Hakim bagi program Perspektif, terbitan Ekonomi Rakyat.

Ilango merupakan bekas diplomat kanan Malaysia yang pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Lubnan dari 2010 hingga 2014, sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dari 2016 hingga 2017.

Kenyataan Anwar Mengenai Taiwan: Betul Pada Asasnya, Tetapi Penggunaan Perumpamaan Tak Sesuai

Selain konflik Asia Barat, Ilango turut mengulas kontroversi yang tercetus susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam wawancara bersama Al Jazeera berkait hubungan China dan Taiwan.

Kontroversi itu timbul apabila Anwar menggunakan contoh sebuah negeri di Malaysia yang mahu memisahkan diri bagi menjelaskan pendiriannya ketika ditanya mengenai kemungkinan China menggunakan kekerasan untuk menyatukan Taiwan.

Anwar menyatakan bahawa Malaysia juga akan mengambil tindakan sekiranya terdapat negeri yang cuba memisahkan diri daripada Persekutuan.

Bagaimanapun, Ilango berpandangan bahawa meskipun kenyataan Perdana Menteri mempunyai asas dari sudut dasar luar Malaysia, perumpamaan yang digunakan kurang tepat kerana kedudukan Taiwan tidak boleh disamakan secara langsung dengan hubungan antara negeri dalam Persekutuan Malaysia.

” Saya rasa asasnya betul. Kita memang iktiraf Dasar Satu China (One China Policy). Namun contoh yang diberikan agak kurang sesuai. Dia (Perdana Menteri) menyatakan sekiranya sebahagian daripada negeri kita mahu berpisah, kita akan menggunakan kekerasan. Tapi hubungan China dengan Taiwan berbeza. Taiwan bukan satu bahagian daripada China sekarang ini. “

Ilango turut menekankan satu aspek penting dalam pendirian diplomatik Malaysia yang menurutnya kurang diberikan perhatian dalam perbincangan awam.

Malaysia sememangnya mengiktiraf dasar Satu China dan menjalin hubungan diplomatik dengan Beijing sejak 1974. Namun, menurut beliau, proses penyatuan wilayah yang dituntut China, termasuk Taiwan, perlu dilaksanakan secara aman.

Pendekatan Malaysia Terhadap Myanmar: Mengulangi Kesilapan 1997?

Dalam wawancara sama, Ilango turut mempersoalkan keberkesanan pendekatan diplomatik Malaysia terhadap Myanmar, khususnya usaha melibatkan pemimpin junta tentera, Min Aung Hlaing, dalam rundingan bagi menangani krisis negara itu.

Menurutnya, pendekatan tersebut mengingatkan beliau kepada keputusan ASEAN menerima Myanmar sebagai anggota pada 1997, ketika Malaysia merupakan antara negara yang menyokong usaha membawa Myanmar ke dalam kerangka kerjasama serantau.

Pada waktu itu, penglibatan Myanmar dalam ASEAN dilihat sebagai satu jalan untuk menggalakkan perubahan politik dan membuka ruang kepada proses pendemokrasian negara berkenaan.

Namun, hampir tiga dekad kemudian, Myanmar masih bergelut dengan pemerintahan tentera, konflik bersenjata dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

Ilango menjelaskan bahawa Perdana Menteri memahami dengan mendalam sejarah berkait isu Myanmar ini, kerana beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1997.

Bagaimanapun, beliau tetap skeptikal terhadap keberkesanan pendekatan inclusive dialogue dan constructive engagement, dalam membawa perubahan terhadap politik dalaman Myanmar.

” Sekarang kita berada di titik yang sama seperti pada tahun 1997. Kita sekali lagi berfikiran bahawa dengan mengintegrasikan Myanmar, kita berharap akan ada perubahan. “

Kehadiran Min Aung Hlaing ke negara ini mencetuskan pertikaian dari beberapa pihak memandangkan pemimpin junta itu merampas kuasa pada tahun 2021, setelah parti pimpinan Aung San Suu Kyi menang besar dalam dalam Pilihan Raya Umum.

Krisis Rohingya dan Dilema Diplomatik Malaysia

Walaupun mempersoalkan keberkesanan pendekatan terhadap Myanmar, Ilango mengakui bahawa kerajaan Malaysia berdepan dilema yang rumit, khususnya dalam menangani isu pelarian Rohingya.

Menurut beliau, kehadiran pelarian Rohingya di Malaysia bukan sekadar persoalan kemanusiaan, tetapi turut membawa implikasi sosial dan politik yang perlu diuruskan secara berhati hati.

Beliau menyatakan bahawa kegagalan menangani isu pelarian Rohingya ini secara berkesan boleh menjejaskan hubungan antara masyarakat di Malaysia.

Namun, Ilango berpandangan bahawa penyelesaian terhadap krisis Rohingya tidak seharusnya bergantung semata mata kepada rundingan dua hala antara Malaysia dengan kerajaan Myanmar.

Sebaliknya, beliau menegaskan keperluan melibatkan badan antarabangsa, khususnya Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dalam sebarang usaha mencari penyelesaian jangka panjang.

Menurutnya, hubungan yang tegang dan persepsi negatif terhadap UNHCR di Malaysia telah menyukarkan kerjasama yang lebih menyeluruh dalam pengurusan pelarian.

” Apa tindakan dan pandangan kita terhadap UNHCR di Malaysia? Kita pandang UNHCR sebagai satu musuh. Jadi apabila kita tidak berhubung dengan mereka, kita berhubung terus dengan Myanmar. Inilah masalahnya. “

Ilango turut mempersoalkan kemampuan Malaysia mendapatkan jaminan keselamatan yang boleh dipercayai sekiranya pelarian Rohingya dihantar pulang ke Myanmar.

Beliau menjelaskan bahawa UNHCR berkemungkinan membantah sebarang usaha penghantaran pulang sekiranya keselamatan pelarian tidak dapat dipastikan.

” Dia (UNHCR) akan kata, macam mana hendak menjamin bahawa orang yang dihantar balik itu tidak akan dibunuh oleh pemerintah di Myanmar? Kita kena ada satu kepastian, dan kepastian itu tidak boleh dijamin secara bilateral. Kita dengan Min Aung, siapa kita? “

Menurut beliau, jaminan keselamatan tidak boleh hanya bersandarkan persetujuan diplomatik atau janji yang diberikan oleh kepimpinan Myanmar.

Sebaliknya, mekanisme pemantauan yang melibatkan pihak antarabangsa diperlukan bagi memastikan pelarian yang pulang tidak berdepan ancaman keganasan atau penganiayaan.

Ilango turut mengingatkan bahawa kerajaan Malaysia berisiko dipertanggungjawabkan sekiranya pelarian yang dihantar pulang menjadi mangsa kekerasan selepas kembali ke Myanmar.

” Sekarang ini, kita tidak ada apa apa jaminan daripada Myanmar. Kita dengar cakap dia dan terima bulat bulat. Katakanlah tiga bulan lagi, ada laporan bahawa pelarian yang dihantar pulang dari Malaysia diancam di Myanmar. Apa kita hendak jawab? Kita tak boleh jawab. “

Wawancara penuh bersama Dato’ Dr Ilango Karuppannan dalam program Perspektif boleh ditonton menerusi saluran YouTube Ekonomi Rakyat.