Roti merupakan antara makanan ruji rakyat Malaysia. Selain menjadi sumber tenaga yang murah, roti juga mudah didapati dan boleh dimakan pada bila-bila masa.
Namun, di sebalik permintaan yang berterusan, industri pembuatan roti bukanlah perniagaan yang mudah. Margin keuntungannya amat nipis.
Tidak seperti kebanyakan produk makanan lain, roti mempunyai jangka hayat yang singkat. Pengeluar perlu memastikan bekalan sampai ke kedai tepat pada masanya. Roti yang tidak terjual dan telah tamat tempoh pula perlu diambil kembali daripada peruncit.
Keadaan ini menjadikan pengurusan logistik antara cabaran terbesar dalam industri roti.
Aspek keselamatan makanan juga tidak kurang pentingnya.
Baru-baru ini, timbul isu mengenai tahap keselamatan produk Gardenia susulan aduan seorang pengguna yang mendakwa mengalami keracunan selepas memakan roti keluaran syarikat tersebut.
Bagaimanapun, Gardenia memaklumkan bahawa ujian bebas yang dijalankannya mendapati produk berkenaan memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, syarikat itu masih menunggu hasil siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Di sebalik pelbagai cabaran ini, dua jenama terus mendominasi pasaran roti komersial Malaysia, iaitu Gardenia dan Massimo.
Gardenia dan Massimo Menguasai Pasaran
Sejak sekian lama, Gardenia dan Massimo berjaya mengekalkan kedudukan sebagai dua jenama utama dalam pasaran roti komersial Malaysia, meskipun berdepan persaingan daripada jenama lain seperti Sunshine Bakeries dan Mighty White.
Kedua-dua jenama dikatakan menguasai hampir 80% pasaran roti komersial tempatan.
Penguasaan tersebut menunjukkan bertapa sukar pemain baru untuk menembusi pasaran yang sudah lama dikuasai oleh syarikat besar.
Malah, sejarah industri roti Malaysia menunjukkan ada jenama yang kecundang di dalam arena ini.
High-5 – Jenama Roti Yang Telah Berakhir
Sebelum kemunculan Massimo, High-5 yang dikendalikan oleh Silver Bird Group pernah menjadi pengeluar roti kedua terbesar di Malaysia selepas Gardenia, dengan penguasaan pasaran mencecah 18%.
Sepanjang tahun 2000-an, jenama High-5 cukup dikenali menerusi rangkaian kedai serbaneka, pasar mini dan pembekalan makanan ke sekolah.
Malah, syarikat itu pernah membangunkan sebuah kilang roti moden berserta muzium yang dikenali sebagai High 5 Bread Town di Shah Alam.
Namun, kedudukan High-5 mula tergugat apabila syarikat tersebut berdepan beberapa kontroversi, termasuk isu pensijilan halal pada pertengahan tahun 2000-an.

Masalahnya bertambah serius pada 2012 apabila terbongkar skandal kewangan bernilai sehingga RM297 juta yang melibatkan penyata kewangan palsu.
Krisis kewangan tersebut memaksa syarikat mengurangkan pengeluaran dan mengecilkan rangkaian pengedarannya. Akibatnya, penguasaan pasaran High-5 merosot daripada 18% kepada hanya sekitar 8%-10%.
Silver Bird kemudiannya diklasifikasikan di bawah Practice Note 17 (PN17) sebelum dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 2014, dengan kerugian melebihi RM37.23 juta.
Menjelang Jun 2016, High-5 akhirnya menghentikan operasi dan menutup kilangnya susulan perintah mahkamah.
Mengapa Harga Roti Massimo Lebih Murah daripada Gardenia?
Setakat Oktober 2026, sebuku roti putih Massimo seberat 400 gram dijual pada harga RM2.80, berbanding RM3.00 bagi roti putih Gardenia dengan berat yang sama.
Persoalannya, bagaimana Massimo mampu menawarkan harga lebih rendah meskipun beroperasi pada skala yang lebih kecil?
Salah satu kelebihan Massimo terletak pada rantaian bekalannya yang lebih tersusun.
Massimo dikeluarkan oleh The Italian Baker Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Federal Flour Mills (FFM). Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada Kumpulan PPB Berhad yang dimiliki oleh bilionair Malaysia, Robert Kuok.
FFM sendiri merupakan pengeluar tepung gandum, termasuk jenama Tepung Cap Sauh.
Hubungan ini membolehkan Massimo memperoleh bekalan tepung secara langsung daripada syarikat induknya, sekali gus memberikan kelebihan dari segi pengurusan rantaian bekalan.
Malah, kilang roti automatik berskala besar milik The Italian Baker di Pulau Indah, Selangor dibina bersebelahan dengan kilang FFM.
Kedudukan ini membolehkan bahan mentah seperti tepung gandum disalurkan secara terus ke kilang roti, sekali gus mengurangkan kos logistik, serta meningkatkan kecekapan operasi.
Sebaliknya, Gardenia mendapatkan bekalan tepung daripada Malayan Flour Mills Berhad (MFM), sebuah syarikat yang dimiliki oleh keluarga Teh Wee Chye.
Walau bagaimanapun, Gardenia kelihatan tidak tertekan dengan persaingan harga, mungkin disebabkan kekuatan jenama yang telah wujud untuk sekian lama. Apatah lagi tabiat manusia secara amnya sukar berubah, meskipun terdapat alternatif yang lebih murah.
Apabila Persaingan Roti Menjadi Isu Perkauman
Persaingan antara Gardenia dan Massimo juga pernah mencetuskan sentimen perkauman.
Sekitar 2012, muncul kempen dalam talian yang menggesa pengguna memboikot Gardenia.
Antara dakwaan yang tersebar ketika itu ialah Robert Kuok menubuhkan Massimo sebagai tindak balas terhadap keputusan Gardenia untuk menghentikan pembelian tepung daripada FFM.
Gardenia bagaimanapun menjelaskan bahawa syarikat itu pernah mendapatkan bekalan tepung daripada FFM sebelum tahun 1998, lebih lama berbanding penubuhan Massimo pada tahun 2011.
Menurut Gardenia, hubungan tersebut ditamatkan selepas FFM menjalinkan kerjasama dengan sebuah kilang roti lain, yang dilihat Gardenia sebagai risiko terhadap kerahsiaan resipi dan formulasi produknya.
Lebih membimbangkan, persaingan antara kedua-dua jenama turut dikaitkan dengan sentimen kaum.
Laporan media ketika itu menggambarkan wujudnya persepsi bahawa Massimo mendapat sokongan lebih kuat dalam kalangan pengguna Cina, manakala Gardenia terus mendapat sokongan pengguna Melayu.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut menyuarakan bantahan terhadap kempen memboikot Gardenia kerana menganggapnya tidak berasaskan fakta yang tepat dan berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum.
Setiausaha PPIM ketika itu, Datuk Nadzim Johan, mendakwa bahawa kempen tersebut digerakkan dalam kalangan masyarakat Cina atas alasan Gardenia dimiliki oleh tokoh korporat Melayu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
“Syed Mokhtar cuma beli saham 30 peratus sahaja. Mengapa mereka buat kempen melampau? Bisnes sudah menjadi politik. Apa akan jadi jika kami buat kempen roti Massimo itu pula tidak halal?”
Untuk rekod, Gardenia Bakeries KL dimiliki secara bersama (50:50) oleh QAF Limited yang berpangkalan di Singapura dan Tradewinds (M) Berhad yang dimiliki oleh Syed Mokhtar.
Adakah Perniagaan Roti Sebenarnya Menguntungkan?
Industri roti bukanlah sesuatu perniagaan yang seksi.
Permintaan yang tinggi dan konsisten tidak semestinya menjamin keuntungan yang besar. Ini kerana pengeluar tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya, memandangkan pengguna begitu sensitif dengan sebarang kenaikan harga, sekaligus menyebabkan margin keuntungan yang diterima amat nipis.

Bagi tahun kewangan 2025, Gardenia yang menerajui industri roti Malaysia mencatatkan hasil sebanyak RM1.42 bilion.
Daripada jumlah tersebut, syarikat itu merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM55.7 juta.
Ini bermakna bagi setiap RM100 hasil jualan, Gardenia hanya memperoleh keuntungan bersih sekitar RM3.90, bersamaan margin keuntungan 3.9%.
Keadaan lebih mencabar bagi Massimo.
Pada tahun yang sama, The Italian Baker mencatatkan hasil sebanyak RM197.1 juta, tetapi keuntungan selepas cukainya hanya berjumlah RM3.6 juta bersamaan dengan margin keuntungan bersih sebanyak 1.8%.
Pertumbuhan hasil jualan juga agak perlahan.
Antara 2023 hingga 2025, hasil Gardenia meningkat daripada RM1.36 bilion kepada RM1.42 bilion.
Peningkatan tersebut bersamaan pertumbuhan purata sekitar 1.8% setahun, jauh lebih perlahan berbanding kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.6% setahun.
Prestasi Massimo pula lebih suram.
Dalam tempoh yang sama, hasil The Italian Baker merosot daripada RM204.3 juta kepada RM197.1 juta.
Data-data kewangan ini menunjukkan betapa sukarnya beroperasi di dalam industri roti, yang mempunyai potensi pertumbuhan yang begitu minimal.

