
Malaysia kini menilai tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan bagi mempelbagaikan sumber tenaga negara seiring usaha mencapai bekalan elektrik yang lebih mampan serta sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.Ā
Pertumbuhan ekonomi, pembangunan teknologi serta permintaan tinggi daripada pusat data menjadikan tenaga nuklear dilihat sebagai sumber tenaga rendah karbon yang berpotensi melengkapkan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Menurut Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), lebih 70% penjanaan elektrik Malaysia masih bergantung kepada bahan api fosil, khususnya arang batu dan gas asli.Ā
Pada 2024, hanya 18.9% bekalan elektrik negara dijana daripada sumber rendah karbon, jauh dibawah purata global sebanyak 41%.Ā
Adakah Malaysia bersedia untuk melaksanakan program tenaga nuklear?
Malaysia Perlu Pertimbang Guna Tenaga Nuklear
Penyelidik Khazanah Research Institute (KRI), Azfar Hanif Azizi memaklumkan wujud gesaan oleh sesetengah pihak agar negara melaksanakan penggunaan tenaga nuklear di masa depan.Ā
Menurut Azfar, Malaysia wajar mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear kerana ia mampu membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau berbanding bahan api fosil.
Namun jelasnya, isu pelupusan sisa radioaktif yang sukar diurus perlu dititikberatkan sebelum beralih ke arah tenaga nuklear
āDi beberapa negara Barat, tenaga nuklear juga tidak diklasifikasikan sebagai tenaga bersih meskipun pelepasan karbonnya rendahā
āJusteru, sebelum tenaga nuklear dilaksanakan, kerajaan perlu mempunyai penyelesaian yang jelas terhadap pengurusan dan pelupusan sisa radioaktifā
āSelain itu, negara juga perlu memastikan mereka memiliki kepakaran serta keupayaan teknikal untuk mengendalikan teknologi tersebut dengan selamat,ā katanya.Ā
Tambahnya, jika cabaran itu dapat ditangani, tenaga nuklear wajar dipertimbangkan, terutama ketika permintaan elektrik negara dijangka terus meningkat susulan pertumbuhan pesat pembinaan pusat data yang memerlukan bekalan tenaga yang besar.
Malaysia Perlu Lebih Cekap Guna Tenaga
Permintaan elektrik daripada pusat data sahaja dijangka meningkat kepada 12.9 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 20.9 GW pada 2040.Ā
Pada masa sama, bekalan tenaga boleh diperbaharui masih berdepan cabaran seperti pengeluaran yang tidak konsisten serta kekangan kawasan bagi pembangunan projek solar dan hidro.
Ini sekali gus menjadikan tenaga nuklear semakin mendapat perhatian sebagai pilihan untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan kestabilan grid elektrik negara.
Pengerusi KRI, Dr Nungsari Ahmad Radhi turut menjelaskan selain menumpukan kepada kepelbagaian sumber tenaga, Malaysia juga perlu meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, sama ada yang dihasilkan dalam negara mahupun yang diimport.

Menurutnya, bekalan tenaga yang mencukupi ketika ini mungkin menyebabkan aspek kecekapan penggunaan kurang diberi perhatian, sedangkan ia memainkan peranan penting dalam menjamin daya tahan sistem tenaga negara.
āContohi Jepun ketika krisis minyak pada sekitar 1973 hingga 1974 yang berdepan kekurangan sumber bahan api domestikā
āWalaupun negara itu mempunyai sumber tenaga yang terhad, Jepun berjaya memperkukuh keselamatan tenaga melalui pengurusan penggunaan tenaga yang cekap, di samping membangunkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang,ā ujarnya.
Katanya, pengalaman Jepun menunjukkan bahawa keselamatan tenaga bukan hanya bergantung kepada kedaulatan sumber tenaga semata-mata.
Tetapi juga kepada keupayaan negara mengurus penggunaan tenaga secara cekap dan memastikan sistem penjanaan elektrik kekal berdaya tahan.
Malaysia Kaji Potensi Tenaga Nuklear
Dalam pada itu, Malaysia masih berdepan cabaran seperti kos permulaan yang tinggi diperlukan untuk membina dan menyiapkan loji janakuasa nuklear baharu.
Kos operasi yang besar turut diperlukan bagi memastikan loji nuklear beroperasi dengan selamat, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan dan pematuhan kepada keperluan kawal selia.
Malah, masyarakat juga masih mempunyai persepsi negatif terhadap tenaga nuklear yang dikaitkan dengan risiko keselamatan, kemalangan dan implikasi buruk terhadap alam sekitar, sekali gus menimbulkan tentangan terhadap penggunaannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbadanan MyPOWER Malaysia sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap potensi pelaksanaan program tenaga nuklear di negara ini.
Katanya, kajian itu melibatkan aspek pembangunan dasar, perundangan dan kawal selia, kebolehlaksanaan projek, penyertaan industri, penglibatan pihak berkepentingan serta pembangunan modal insan.
āKeperluan untuk menilai kebolehlaksanaan tenaga nuklear semakin penting ketika landskap tenaga global berdepan ketidaktentuan geopolitik serta turun naik bekalan dan harga bahan apiā katanya.Ā
Tambah Fadillah, usaha meneroka penggunaan tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik merupakan langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga negara dalam jangka panjang, di samping menyokong peralihan Malaysia ke arah penggunaan tenaga bersih.
Tonton rakaman penuh podcast di saluran YouTube Khazanah Research Institute.
