Aset Mencecah $130 Juta — Apa Kisah di Sebalik Gerakan al-Arqam?

Share it

Dua tahun lalu, Malaysia digemparkan dengan kes pengabaian kanak-kanak dan penderaan seksual di rumah amal kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH). Pekerja atau mungkin pengikut GISBH, turut didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Sejak isu ini tercetus, nama Al-Arqam dan Abuya (setelah viral sedutan lagu Pasar Ikhwan di Putrajaya) kembali menjadi tumpuan masyarakat, walaupun pertubuhan itu telah diharamkan beberapa dekad lalu, manakala Abuya telah pun meninggal dunia hampir 16 tahun yang lalu.

Persoalannya, apakah sebenarnya kisah Al-Arqam?

Sejarah Penubuhan

Susulan pengeluaran Fatwa Ajaran Salah terhadap gerakan Haji Kahar, Al-Arqam menjadi kumpulan kedua yang diisytiharkan sesat di Selangor.

Menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Al-Arqam diasaskan pada 1968 oleh Ashaari Muhammad bersama beberapa sahabatnya. Gerakan ini pada awalnya dikenali sebagai ‘Kumpulan Rumah Putih’ di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Nama Al-Arqam dipercayai diambil sempena al-Arqam ibn Abī al-Arqam, seorang sahabat Nabi yang rumahnya menjadi tempat pertemuan dan pembelajaran umat Islam pada zaman awal kerasulan Nabi Muhammad.

Pada mulanya, gerakan ini ditubuhkan sebagai sebuah kumpulan kerohanian yang memberi tumpuan kepada amalan keagamaan dan idealisme pembentukan masyarakat Islam.

Ashaari, atau lebih dikenali sebagai ‘Abuya’, mahu mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang berdikari dan menyeru pengikutnya agar kembali kepada Islam yang dianggap ‘lebih murni’.

Gerakan ini kemudiannya dikenali sebagai Darul Arqam.

Bagaimana Al-Arqam Bergerak?

Kemajuan Darul Arqam dalam membangunkan kegiatan ekonominya menjadi antara faktor yang menyebabkan gerakan itu mendapat perhatian media massa.

Dalam tempoh 20 tahun, mereka berjaya menubuhkan kedai runcit, pasar mini, kedai buku dan barangan agama, restoran serta kilang di dalam dan luar negara.

Banyak kedai makan Melayu di luar negara suatu ketika dahulu digerakkan oleh pengikut Al-Arqam, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada GISBH. Restoran yang dikendalikan Al-Arqam juga mudah dikenal pasti kerana pengikutnya sering memakai kopiah Oman.

Perniagaan ini diusahakan sendiri oleh para pengikut gerakan tersebut. Sebahagian daripada mereka turut bekerja atas dasar ‘fisabilillah’ atau secara sukarela, dengan upah dibayar sekadar mencukupi untuk menyara kehidupan.

Bagi pengikutnya, upah yang diterima dianggap memadai kerana keperluan lain seperti tempat tinggal serta makan dan minum disediakan oleh gerakan itu sendiri.

Profesor Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid, yang mengkaji Al-Arqam sejak 1993, menjelaskan bahawa gerakan itu menggunakan pendekatan yang tidak konvensional dalam meraih kepercayaan masyarakat.

Antaranya ialah penggunaan nasyid sebagai salah satu medium dakwah.

Al-Arqam merupakan antara pelopor gerakan nasyid di Malaysia menerusi penubuhan kumpulan NadaMurni pada 1987. Susulan kejayaan album ‘Kelahiran’, NadaMurni mula menerima undangan dari luar negara, termasuk London, Turki, Uzbekistan, Thailand dan Indonesia.

Industri nasyid kemudiannya terus dikomersialkan oleh Tony Fernandes, yang ketika itu merupakan eksekutif Warner Music. Raihan menjadi antara kisah kejayaan terbesar industri nasyid apabila pernah mencatat jualan album sebanyak 800,000 unit, tertinggi sepanjang zaman.

Menurut Prof. Fauzi yang diwawancara Ekonomi Rakyat dalam rakaman Perspektif, Al-Arqam pada kemuncaknya mempunyai aset berjumlah AS$130 juta. Kekuatan ini menjadikan Al-Arqam bukan sekadar sebuah organisasi yang bergerak dalam aspek tarbiah dan dakwah, tetapi sebuah gerakan yang turut mempunyai kekuatan ekonomi.

Prof Fauzi ketika diwawancara oleh Ekonomi Rakyat

Pengasas Al-Arqam Dipanggil Majlis Agama

Pada 1979, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memanggil Ashaari untuk menjelaskan pendiriannya mengenai Aurad Muhammadiah. Beliau menafikan menyebarkannya, namun tidak menafikan bahawa beliau mengamalkan ajaran tersebut.

Ajaran beliau akhirnya diisytiharkan sesat. Satu fatwa dikeluarkan bagi mengharamkan teks utama kumpulan itu, termasuk ‘Aurad Muhammadiah Pegangan Dar Al-Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan’ dan ‘Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi’.

Permit penerbitan ‘Al-Arqam’, ‘Al-Mukminah’, ‘Al-Nasihah’ dan ‘Al-Munir’ turut ditarik balik pada 1990.

Pengharaman Al-Arqam

Pada 1994, kerajaan Malaysia secara rasmi mengharamkan Al-Arqam kerana penyimpangan gerakan itu daripada ajaran Islam yang sebenar.

Pihak berkuasa mengkritik ajaran Al-Arqam, khususnya kepercayaan bahawa Ashaari ialah Putera Bani Tamim yang dikatakan akan membantu Imam Mahdi menegakkan pemerintahan Islam yang adil.

Ashaari turut mendakwa bahawa pengasas Aurad Muhammadiah yang meninggal dunia pada 1925, Sheikh Muhammad Abdullah Al-Suhaimi, akan bangkit semula sebagai Imam Mahdi.

Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia, Shukri Ahmad, berkata ajaran Ashaari dianggap sesat kerana bercanggah dengan prinsip asas Islam.

“Sebagai contoh, dakwaan bahawa Ashaari dapat berhubung secara sedar (yaqazah) dengan Nabi Muhammad adalah sifat biasa dalam kalangan kumpulan ajaran sesat. Apabila seorang pemimpin dilihat sebagai maksum dan semua yang mereka lakukan dianggap betul, sesuatu yang jelas salah.”

Namun menurut Prof. Fauzi, kejatuhan Al-Arqam turut berkait dengan potensi ancaman politik yang dilihat boleh ditimbulkan oleh gerakan tersebut, khususnya terhadap UMNO.

“Ustaz Ashaari ialah aktivis PAS. Beliau ada komen-komen positif tentang PAS. Jadi, kalau Melayu sudah berpihak kepada Al-Arqam, di peti undi, siapa yang dia akan pangkah? PAS lah kemungkinan besar. Jadi benda ini akan merugikan UMNO.”

Beliau mendakwa bahawa faktor ini turut mendorong kerajaan mengaitkan Al-Arqam dengan sebuah gerakan militan yang dikenali sebagai Tentera Badar.

“Arqam bukannya gerakan ekstrem. Walaupun kerajaan cuba menuduh melalui beberapa bukti, Al-Arqam itu ada Tentera Badar. Pegawai pusat Islam Abdullah Fahim Abdul Rahman, dia menyebut bahawa tuduhan Tentera Badar tu adalah propaganda.”

Tambah Prof. Fauzi, sifat Al-Arqam yang tidak ekstrem juga menyebabkan gerakan itu lebih mudah ditumpaskan. Menurutnya, Ustaz Ashaari pernah memberi jaminan kepada kerajaan bahawa tiada konfrontasi akan berlaku sekiranya beliau ditangkap.

Prof. Fauzi turut menyatakan bahawa sifat Al-Arqam yang terbuka dan mudah menerima orang luar membolehkan perisik polis menyusup masuk ke dalam gerakan tersebut pada 1990-an. Keadaan itu, menurutnya, memberikan pihak berkuasa akses kepada maklumat mengenai kegiatan dalaman Al-Arqam dan memudahkan tindakan terhadap gerakan tersebut.

Pada 1994, Ashaari akhirnya ditahan pihak berkuasa di selatan Thailand sebelum dibawa pulang ke Malaysia dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau kemudiannya dibebaskan pada 2004 sebelum meninggal dunia pada 2010.

Daripada Al-Arqam kepada GISBH

Meskipun Al-Arqam telah diharamkan dan pengasasnya kemudian meninggal dunia, rangkaian yang dikaitkan dengan gerakan tersebut terus berevolusi.

Pada 1997, ketika Ashaari masih dalam tahanan, Rufaqa Corporation muncul sebagai entiti yang meneruskan sebahagian kegiatan yang sebelumnya dikaitkan dengan Al-Arqam. Pada 2008, gerakan ini sekali lagi melalui perubahan dengan kemunculan Global Ikhwan, yang kemudiannya berkembang menjadi Global Ikhwan Services and Business Holdings atau GISBH.

Hampir tiga dekad selepas pengharaman Al-Arqam, perhatian pihak berkuasa kembali tertumpu kepada rangkaian ini menerusi siri serbuan terhadap GISBH pada 2024.

Susulan operasi tersebut, puluhan pemimpin dan individu yang dikaitkan dengan GISBH ditahan polis, termasuk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Antara kesalahan yang disiasat atau dipertuduhkan terhadap individu yang dikaitkan dengan gerakan ini termasuk pengubahan wang haram, penderaan kanak-kanak serta keanggotaan pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Namun, pelbagai pertuduhan dan dakwaan terhadap GISBH turut mencetuskan persoalan dalam kalangan sesetengah pihak mengenai proses pendakwaan serta legitimasi kes yang dibawa terhadap mereka.

Antara yang menjadi perhatian ialah perubahan pertuduhan terhadap beberapa pemimpin dan pengikut GISBH. Mereka pada asalnya berdepan pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sebelum pertuduhan itu digantikan dengan pertuduhan alternatif, iaitu menjadi ahli pertubuhan yang menyalahi undang-undang, yang mempunyai hukuman yang lebih ringan.

Kesemua pemimpin dan penigkut GISBH terbabit kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif tersebut. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap 13 tertuduh lelaki. Namun, mereka dibebaskan serta merta selepas hukuman dijatuhkan kerana tempoh tahanan dibawah SOSMA yang telah dijalani sebelum itu diambil kira sebagai sebahagian daripada hukuman.

Kes terhadap GISBH bagaimanapun belum berakhir.

Pada ketika ini, bekas CEO GISBH bersama tiga bekas akauntan masih berdepan pertuduhan pengubahan wang haram selepas Pejabat Peguam Negara menolak representasi mereka untuk menggugurkan pertuduhan.

Pihak pendakwaan dijangka memanggil 20 saksi dalam perbicaraan kes tersebut yang akan berlangsung di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Tonton rakaman penuh episod Perspektif bersama Prof Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid di saluran Youtube Ekonomi Rakyat.