Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 yang menjadi Belanjawan pembuka tirai dibawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Ucapan Perdana Menteri mengetengahkan angka RM470 bilion sebagai perbelanjaan awam yang merangkumi perbelanjaan dana-dana GLIC, Badan Berkanun Persekutuan serta Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Namun secara asasnya, Belanjawan tahun hadapan memperuntukkan RM419.2 bilion, merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan.
Kerajaan juga mengunjurkan RM343.1 bilion bakal dikutip tahun hadapan, meningkat hanya 2.7% berbanding RM334.1 bilion anggaran pada tahun 2025.
Melalui pelan konsolidasi fiskal, Kerajaan menjangkakan defisit fiskal bakal menurun kepada 3.5% pada tahun hadapan, lebih baik berbanding anggaran tahun ini pada 3.8%.

Ekonomi pula diunjurkan berkembang sekitar 4.0% hingga 4.5%.
Fokus 2026: Subsidi Bersasar untuk Rakyat Malaysia
Pelaksanaan Subsidi Bersasar RON95 (BUDI95) pada 2025 menjadi titik perubahan penting dalam dasar fiskal negara. Menurut Kementerian Kewangan, rasionalisasi subsidi bahan api dijangka menjimatkan RM15.5 bilion setahun.
Penjimatan ini bakal disalurkan semula baru untuk memperkukuh sektor strategik seperti TVET, kesihatan awam dan infrastruktur digital.
Dalam Belanjawan 2026, Kerajaan menekankan penyasaran subsidi kepada rakyat Malaysia yang layak, memastikan bantuan disalurkan tepat kepada golongan memerlukan.
Subsidi produk petroleum menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM33.6 bilion, hampir keseluruhan daripada RM38.4 bilion di bawah sub-sektor Bayaran Pindahan Lain dalam perbelanjaan mengurus.
Kerajaan juga dilihat sedang dalam proses percubaan untuk memberi bantuan dari sudut keperluan barangan asas.
Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bakal menerima bantuan SARA sehingga RM100 sebulan. Manakala penerima di bawah sistem e-kasih bakal menerima sehingga RM200 sebulan.
Langkah ini mungkin dilihat sebagai precursor bagi Kerajaan untuk mengapungkan secara keseluruhan harga minyak di pam, dimana Kerajaan boleh menyalurkan secara terus bantuan kepada rakyat melalui SARA ataupun bantuan tunai.
Dua Pilihan – Perlahankan Perbelanjaan Atau Tingkatkan Hasil
Secara amnya, peratusan kutipan hasil Malaysia semakin berkurang. Pada tahun 2024, Malaysia mengutip 16.8% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada tahun hadapan, Malaysia hanya bakal mengutip sekitar 16.1% daripada KDNK.
Di negara-negara maju, kutipan hasil Kerajaan adalah setinggi 30.0% daripada saiz ekonomi. Ini membolehkan lebih banyak program dan bantuan disalurkan kembali kepada rakyat.
Malaysia kelihatan berdepan dengan cabaran untuk mencari lubuk baru mendapatkan hasil. Kebarangkalian cukai-cukai baru diperkenalkan pada tahun 2027 adalah rendah, memandangkan Malaysia akan memasuki fasa akhir penggal sebelum Pilihan Raya perlu diadakan.
Alternatifnya adalah dengan memperlahankan perbelanjaan Kerajaan.
Pendekatan ini adalah apa yang dilakukan pada tahun hadapan. Pertumbuhan perbelanjaan mengurus pada tahun 2026 hanyalah 1.8%, lebih rendah berbanding pertumbuhan 3.3% pada tahun 2024 dan 2025.
*Hasil diunjurkan meningkat 2.7% pada tahun 2026.
Langkah ini mungkin dianggap low-hanging fruit buat Kerajaan dalam mencapai defisit fiskal 3.0%, namun cara ini berpotensi menyebabkan beberapa masalah struktur sukar diselesaikan, termasuklah isu kesihatan yang semakin mendesak.

Kementerian Kesihatan umpamanya hanya menerima RM46.5 bilion, ataupun 2.2% berbanding KDNK Malaysia, peningkatan RM1.3 bilion (+2.9%) pada tahun ini.
Sebagai perbandingan, peningkatan bajet yang dicatatkan pada tahun ini adalah sebanyak RM5.6 bilion (+14.1%) iaitu daripada RM39.7 bilion kepada RM45.3 bilion.
Mampukah Belanjawan 2026 Diterjemahkan Kepada Kesejahteraan Rakyat?
Sentimen rakyat terhadap Kerajaan pada ketika ini agak positif, susulan pelaksanaan lancar BUDI95 yang berjaya menurunkan harga minyak kepada RM1.99 seliter.
Pelaksanaan SARA-RM100 turut memanfaatkan hampir keseluruhan isi rumah di Malaysia.
Harga barang juga agak terkawal, inflasi yang direkodkan untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini hanyalah 1.4%. Pengangguran turun ke paras terendah iaitu pada kadar 3.0%, dimana dari perspektif ekonomi seringkali dianggap penggunaan penuh tenaga kerja di dalam sesebuah ekonomi.
Pendapatan rakyat juga meningkat pada kadar yang baik. Penengah gaji di Malaysia naik 7.3% kepada RM2,793 pada tahun 2024, lebih baik berbanding peningkatan 7.1% pada tahun sebelumnya.
Jika momentum ini dikekalkan dimana Malaysia mencapai kadar pertumbuhan yang diunjurkan, kesejahteraan rakyat mungkin akan bertambah baik dalam tahun-tahun yang mendatang. Namun jika tidak, ia bakal menjadi cabaran yang perlu ditangani menjelang akhir-akhir penggal pertama pentadbiran Anwar Ibrahim.