” Ekonomi Gig Bukan Penyelesaian, Cara ia Beroperasi Sekarang Lebih Kepada Eksploitasi ” – Dr Nungsari Radhi

Share it

Ahli ekonomi, Dr Nungsari Radhi ketika ditemubual Ekonomi Rakyat berpandangan bahawa ekonomi gig yang beroperasi di Malaysia lebih menjurus kepada eksploitasi. Hal ini kerana individu-individu yang bekerja di sektor ini tidak dianggap sebagai pekerja sekaligus tidak mempunyai majikan.

Kaedah diantara syarikat dan orang yang terlibat ( pekerja ekonomi gig ) ini ibarat ” Awak adalah kontraktor saya, saya bukan majikan. Saya adalah pembeli perkhidmatan awak. Awak menyediakan perkhidmatan kepada saya. ” Oleh sebab itu, undang-undang buruh diantara majikan tidak terpakai.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai tahap keselamatan pekerja-pekerja ekonomi gig. Kata beliau, mereka yang terlibat di dalam ekonomi gig ini tidak mempunyai perlindungan dari segi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Kebajikan Sosial dan sebagainya.

Perkara ini ada asasnya, pelbagai berita kemalangan dilaporkan melibatkan pekerja-pekerja ekonomi gig terutamanya yang bekerja di dalam sektor penghantaran. Hal ini turut didorong oleh sistem operasi yang memberi tekanan kepada pekerja jika mereka melakukan tugasan dengan lambat sekaligus terpaksa merisikokan keselamatan bagi menghantar barangan.

Ramai pekerja yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig mengadu bahawa mereka bakal dikenakan tindakan seperti akaun digantung jika tidak menyelesaikan tugasan di dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Dr Nungsari berharap agar ekonomi gig ini diperbaiki supaya hubungan dengan pembekal perkhidmatan dan syarikat itu lebih harmoni. Beliau turut menggesa agar undang-undang buruh dan perlindungan sosial diperbaiki bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin.

Beliau turut menyatakan bahawa ekonomi gig bukanlah satu penyelesaian bagi masalah ekonomi yang dihadapi di negara ini. Walaubagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa sektor ini memberikan ruang bagi pekerja-pekerja di Malaysia untuk mendapatkan pendapatan tambahan jika mempunyai masa yang terluang.

Ketika ditanya mengenai senario politik semasa, bekas ahli parlimen Balik Pulau ini turut menyatakan sokongan terhadap usaha untuk menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun. Menurut beliau, masa depan negara ini lebih memberi kesan kepada orang muda berbanding golongan tua.

“ Saya pada prinsipnya bersetuju ( menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun ). The future of the country doesnt affect me. The future of the county affects people who are young

Langkah ini bakal memberikan sedikit suara kepada golongan muda sekaligus memberi tekanan kepada kepimpinan untuk mengambil pandangan dan masa depan orang muda.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya terhadap SPR kerana tidak melaksanakannya secepat mungkin kerana usul Undi 18 ini diluluskan sebulat suara di parlimen dengan melalui pindaan perlembagaan.

” Ia bukannya Rang Undang-Undang. Ini merupakan pindaan perlembagaan. Jadi anda harus lakukan apa yang sepatutnya ( untuk melaksanakan perkara ini ) “

Beliau juga berharap penurunan usia mengundi kepada 18 tahun ini dapat menurunkan purata umur kepimpinan negara. Hal ini kerana menurut beliau, majoriti besar penduduk di negara ini adalah terdiri daripada golongan muda namun kepimpinannya terdiri daripada mereka yang berumur 70 tahun dan ke atas.