IMF Turunkan lagi Jangkaan Pertumbuhan Ekonomi Malaysia kepada -3.8%

Share it

Tabung Kewangan Dunia pada laporan terbaru mereka menurunkan lagi unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2020. Ekonomi Malaysia pada tahun ini dijangkakan akan menguncup kepada -3.8% susulan kesan negatif Covid-19 yang semakin buruk. Angka ini lebih rendah berbanding apa yang diunjurkan pada April lalu iaitu menguncup -2.1%.

Untuk tahun hadapan, IMF lebih optimis dengan meningkatkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 6.3% berbanding -2.7% pada laporan lalu.

Pertumbuhan ekonomi global pada 2020 pula diturunkan kepada -4.9%, 1.3% lebih rendah berbanding unjuran lalu. IMF menyatakan bahawa pandemik Covid-19 memberi kesan yang negatif untuk aktiviti pada separuh pertama 2020 dan pemulihan dijangka mengambil lebih masa.

Untuk tahun hadapan, pertumbuhan ekonomi global dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu 5.4%. Unjuran ini lebih 1.9% lebih rendah berbanding jangkaan awal.

IMF turut menyatakan bahawa hampir kesemua negara telah melepasi kemuncak Covid-19.

Menurut mereka, Keluaran Dalam Negara Kasar untuk suku pertama secara amnya lebih teruk dari yang dijangkakan. Meskipun begitu, terdapat negara yang mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik dari apa yang dijangkakan seperti Chile, China, Thailand dan Malaysia.

Pembukaan sektor ekonomi telah meningkatkan lagi mobiliti namun kekal rendah berbanding situasi sebelum kawalan pergerakan. Dagangan global turut dijangka menguncup -11.9% disebabkan permintaan yang lemah untuk barangan dan perkhidmatan serta sektor pelancongan.

Laporan IMF sebelum ini dikritik hebat kerana dilihat agak optimis terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi.