Kekayaan Bilionair Malaysia Naik 14% Kepada RM371 Bilion

Share it

Kekayaan 50 orang terkaya di Malaysia telah meningkat 14% kepada RM371 bilion pada tahun ini menurut senarai yang dikeluarkan majalah Forbes. Taikun Robert Kuok mengekalkan dominasi beliau sebagai individu terkaya di negara ini dengan kekayaan sebanyak RM50 bilion, meningkat berbanding RM40 bilion pada tahun lalu.

Pandemik Covid-19 memberikan keuntungan luar biasa buat pemilik syarikat pengeluar sarung tangan. Kuan Kan Hong dari Hartalega kini tersenarai di tangga ketujuh individu paling kaya di Malaysia dengan kekayaan sebanyak RM15.7 bilion.

Manakala pemilik TopGlove, Lim Wee Chai berada di tangga kelapan dengan kekayaan sebanyak RM14.4 bilion, meningkat 167% berbanding kekayaannya pada tahun lalu iaitu sekitar RM5.36 bilion. Turut tersenarai adalah pemilik Supermax, Stanley Thai dengan kekayaan bernilai RM4.5 bilion.

Lima pendatang baru turut tersenarai di dalam senarai elit ini diketuai oleh Tan Yu Weh dan Yu Wei dari syarikat Mr D.I.Y yang disenaraikan di Bursa Malaysia penghujung tahun lalu. Kedua-dua individu ini berada di kedudukan ke-10 dengan kekayaan sebanyak RM11 bilion setelah saham Mr D.I.Y meningkat dari RM1.60 kepada RM4.00 selepas penyenaraiannya.

Tauke-tauke Casino iaitu Chen Lip Keong dari NagaCorp dan Lim Kok Thay dari Genting antara yang terkesan dengan krisis kesihatan ini. Kekayaan mereka masing-masing menurun dari RM20 bilion dan RM16.6 bilion pada 2019 kepada sekitar RM14 bilion dan RM10 biion pada tahun ini.

Selain itu, pemilik penerbangan AirAsia, Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun pula terkeluar dari senarai 50 orang terkaya di Malaysia apabila saham syarikat-syarikat mereka terjejas teruk susulan sekatan perjalanan akibat wabak ini.

Syed Mokhtar Al-Bukhary yang merupakan pemegang saham terbesar DRB-Hicom kekal sebagai orang Melayu terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan RM4.8 bilion.

Forbes menyatakan bahawa prestasi aset yang dimiliki bilionair-bilionair ini melangkaui prestasi pasaran saham Malaysia. Data menunjukkan bursa meningkat pada kadar yang kecil iaitu 2.5% sejak 15 bulan yang lalu namun kekayaan bilionair-bilioanair ini meningkat sebanyak 14%.

Jumlah kekayaan 50 orang terkaya ini juga bersamaan dengan 26% saiz ekonomi Malaysia. Had minimum untuk menyertai ‘kelab’ elit ini meningkat dari $255 juta pada tahun lalu kepada $315 juta pada tahun ini.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY