Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendesak kerajaan agar mengenakan cukai keuntungan luar biasa kepada syarikat pengeluar sarung tangan. Menurut beliau, syarikat-syarikat ini telah meraih keuntungan lumayan berikutan permintaan sarung tangan yang tinggi akibat pandemik Covid-19.
Cukai keuntungan luar biasa bukanlah perkara baru di Malaysia, ia telah dilaksanakan terhadap industri minyak kelapa sawit dan Penjana Tenaga Bebas. Syarikat pengeluar minyak kelapa sawit misalnya dikenakan cukai sehingga 3% apabila harga minyak sawit mentah meningkat melebihi RM2,500 setan.
Manakala pada 2008, kerajaan telah mengenakan cukai keuntungan luar biasa sebanyak 30% secara one-off untuk aset yang memberikan pulangan melebihi 9% setahun kepada syarikat penjana tenaga bebas.
Kiraan Ekonomi Rakyat menunjukkan setakat 6 Mei 2021, keuntungan empat pengeluar sarung tangan terbesar di Malaysia telah meningkat hampir 12 kali ganda. Pada tahun 2019, keuntungan syarikat-syarikat ini hanyalah sekitar RM1.1 bilion. Namun pada tahun 2020, syarikat-syarikat ini telah meraih keuntungan terkumpul sebanyak RM13.3 bilion.
Pemilik utama syarikat-syarikat ini turut menerima dividen bernilai ratusan juta ringgit. Pemilik Top Glove misalnya telah menerima sekitar RM460 juta dan RM707 juta dividen pada Januari dan April lalu.
Bukan itu saja, syarikat-syarikat ini juga telah melakukan aktiviti membeli balik saham mereka secara besar-besaran untuk tempoh beberapa bulan yang lalu. Top Glove umpamanya telah membeli balik RM1.1 bilion saham mereka.
Manakala Supermax telah membeli lebih 50 juta unit saham mereka yang dianggarkan kini bernilai melebihi RM200 juta sejak tahun lalu.
Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan ini turut berharap agar sistem cukai di Malaysia distrukturkan semula kerana beliau berpendapat bahawa sistem sedia ada lebih menekan kepada golongan pertengahan berbanding golongan kaya.
” Kalau kita lihat sekarang memang jelas sistem percukaian di Malaysia tidak mengenakan cukai yang adil khususnya kepada golongan pertengahan kerana kita tidak berani ataupun mempunyai keberanian politik ataupun moral untuk mengenakan sistem percukaian yang lebih adil kepada orang yang kaya raya “
Syed Saddiq yang diwawancara secara atas talian pada 6 Mei lalu mengatakan cukai keuntungan modal dan cukai warisan perlu diperkenalkan bagi mengurangkan jurang ketidaksamaan di negara ini selain menjadikan ia sebagai salah satu punca pendapatan kerajaan.
Di Malaysia, keuntungan yang diperoleh daripada penjualan saham tidak dikenakan cukai. Keuntungan-keuntungan seperti ini seringkali dinikmati oleh golongan elit yang mana sebahagian besar sumber pendapatan mereka bukanlah datang daripada gaji tetapi dividen dan jual beli saham.
Manakala cukai warisan pula pernah dilaksanakan di Malaysia pada ketika dahulu namun telah dimansuhkan pada tahun 1988 ketika era pentadbiran Dr Mahathir.
Beliau juga menyuarakan kebimbangannya mengenai jurang ketidaksamaan yang semakin melebar tatkala krisis kesihatan ini sedang berlaku.
” Masa pandemik, orang yang maha kaya terus maha kaya. Mereka dapat tambahkan aset dan personal income and net worth. Tapi sambil kita bincangkan perkara ini, realitinya, bila saya ke Muar, lebih ramai orang hilang kerja. Yang tak hilang kerja kena potong gaji. Yang baru masuk landskap pekerjaan, gaji mereka turun dari RM500 hingga RM1,000 sebulan. Where is our compassion and humanity? “
Pelbagai kajian menunjukkan jurang ketidaksamaan yang besar akan memberikan impak negatif kepada negara. Laporan OECD pada 2014 menyatakan bahawa peningkatan jurang pendapatan yang berlarutan akan mengekang pertumbuhan ekonomi secara signifikan.
Manakala dari sudut sosial, ketidaksamaan yang melebar mungkin akan membawa kepada konflik ganas dalam kalangan penduduk. Malaysia juga tidak terlepas dari risiko ini, apatahlagi sebahagian besar populasi negara ini mempunyai latar belakang etnik yang berbeza.
Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY
One thought on “Syed Saddiq Desak Kenakan Cukai Keuntungan Luar Biasa Kepada Syarikat Pengeluar Sarung Tangan”
Comments are closed.