Letupan paip gas milik PETRONAS di Putra Heights pada hari kedua Syawal tahun ini menggemparkan negara. Timeline media sosial yang kebiasaannya dipenuhi dengan gambar OOTD raya, tiba-tiba bertukar apabila dipenuhi rakaman langsung api marak menjulang tinggi yang disiarkan oleh ‘wartawan’ tidak rasmi dari segenap sudut.
Kejadian yang jarang berlaku ini turut menarik perhatian antarabangsa. Walaupun tiada kehilangan jiwa dilaporkan, kesannya amat besar. 81 rumah musnah sepenuhnya, manakala 138 rumah lagi terjejas dengan pelbagai tahap kerosakan akibat bahang api yang berterusan selama lebih tiga jam.
Saham PETRONAS Gas Berhad (PGB) merosot sebanyak 9%, daripada RM16.88 kepada RM15.36 sesaham, menghapuskan kira-kira RM3 bilion nilai pasaran syarikat tersebut dalam tempoh singkat.
Sesi Tuding-Menuding Bermula
Tanggungjawab terhadap insiden ini menjadi medan pertikaian. Ada pihak yang berpendapat PGB perlu bertanggungjawab penuh sebagai pemilik dan pengendali saluran paip gas utama di Semenanjung Malaysia. Sebaliknya, ada yang menuding jari kepada pemaju projek komersial bersebelahan kawasan insiden, di mana kerja-kerja pembinaan giat dijalankan pada masa kejadian.
Pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), turut menerima kecaman. Persoalan yang dibangkitkan adalah sama ada kelulusan projek tersebut melalui proses penilaian yang sewajarnya atau sebaliknya.
Enam Bulan Berlalu: Siapa Bertanggungjawab?
Enam bulan selepas insiden, persoalan utama masih belum terjawab.
Laporan awal daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendedahkan bahawa perubahan fizikal pada lapisan tanah bawah permukaan telah menyebabkan ketidakstabilan struktur bumi, dipercayai berpunca daripada aktiviti antropogenik, iaitu gangguan akibat aktiviti manusia.
Namun, tiada mana-mana pihak yang secara rasmi dipertanggungjawabkan. Identiti pemaju dan kontraktor projek komersial berkenaan juga masih misteri buat khalayak ramai.
Implikasi Kewangan Terhadap PGB
Dari segi kewangan, insiden ini dianggarkan memberi impak sebanyak RM170 juta kepada PGB untuk kerja-kerja pemulihan saluran paip. Selain itu, syarikat turut menyalurkan bantuan serta sokongan dalam jumlah besar kepada penduduk terjejas.
Setakat ini, RM3 juta telah disalurkan sebagai bantuan awal, manakala RM25 juta lagi diperuntukkan untuk membaik pulih kediaman mangsa.
Sumbangan ini bagaimanapun tidak dihebahkan secara meluas, dipercayai bagi mengelakkan tanggapan bahawa PGB bersalah sepenuhnya dan untuk memastikan pihak lain yang mungkin turut terlibat tidak ‘lepas tangan’.
PGB juga dilaporkan menubuhkan beberapa inisiatif baharu termasuk program Claim & Connect, yang memudahkan penduduk membuat tuntutan kerosakan, selain mengadakan sesi townhall bagi mendengar maklum balas mangsa. PGB turut menyediakan sokongan kesihatan mental untuk penduduk yang mengalami trauma akibat kejadian tersebut.
Kesan Terhadap Pasaran dan Prestasi PGB
Menariknya, meskipun berdepan krisis ini, saham PGB kini diniagakan pada RM18.94 sesaham, 12.2% lebih tinggi berbanding paras sebelum letupan.
Dari segi prestasi kewangan, impaknya juga agak terhad. Keuntungan bersih suku kedua 2025 hanya susut 2.3%, daripada RM490.9 juta kepada RM479.6 juta.
Firma penyelidikan seperti MIDF Research dan TA Securities masih mengekalkan saranan ‘Pegang’ atau ‘Beli’ terhadap saham PGB, mencerminkan keyakinan bahawa insiden ini tidak akan memberi kesan jangka panjang terhadap asas kewangan dan reputasi PGB sebagai salah satu pengendali saluran paip gas di negara ini.