Netflix Bakal Belanja RM76 Bilion Untuk Kandungan Kreatif

Share it

 

Una mattina, mi sono alzato. O bella ciao, bella ciao, bella ciao, ciao, ciao. Itu antara lirik lagu yang menjadi nyanyian orang ramai setelah Netflix menerbitkan drama bersiri, Money Heist beberapa tahun lalu.

Netflix yang membawa pawagam ke rumah anda telah meninggalkan kesan yang besar kepada orang ramai. Impak dari drama The Queen’s Gambit yang dibintangi Anya Taylor-Joy sebagai contoh telah mengakibatkan jualan set catur meningkat 87% manakala jualan buku mengenai catur meningkat 503%.

Penyedia perkhidmatan kandungan video ini telah berbelanja besar dalam mengukuhkan kedudukannya berbanding pesaing-pesaing yang lain seperti AppleTV dan Disney Plus. Pada tahun ini, Netflix dijangka bakal membelanjakan kira-kira $19 bilion ( RM76 bilion ) untuk kandungan video.

Liputan akses internet yang meluas selain tahap kelajuan semakin internet yang meningkat di seluruh dunia memberi manfaat buat syarikat Amerika ini. Sehingga kini, Netflix mempunyai 195 juta pelanggan di seluruh dunia dengan hasil dijangka sekitar $25 bilion untuk tahun 2020.

Pandemik Covid-19 juga memberikan manfaat bagi Netflix dalam memberikan pilihan hiburan tanpa perlu keluar dari rumah. Untuk sembilan bulan pertama tahun 2020, Netflix telah berjaya menambah 28.1 juta pelanggan. Angka ini jauh lebih tertinggi berbanding tahun 2019 dimana untuk keseluruhan tahun, Netflix hanya berjaya menambah 27.8 juta pelanggan.

Netflix Janjikan Kandungan Original Tempatan

” Kita akan melabur dengan banyak di dalam kandungan berbahasa tempatan kerana kita percaya bahawa cerita yang hebat adalah universal. Ia boleh datang dari mana-mana dan akan diminati dimana-mana. “

Itu antara penjelasan Netflix terhadap pemegang saham mereka sejurus laporan suku ketiga 2020 dikeluarkan. Netflix dilaporkan akan memberi fokus kepada pasaran Asia kerana rantau ini memberikan pertumbuhan tertinggi dalam penambahan pelanggan Netflix. Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu, Netflix telah berjaya menambah sebanyak 7.2 juta pelanggan di rantau Asia Pasifik.

Tidak hairanlah, laporan Bloomberg pada Disember lalu menjangkakan Netflix bakal membelanjakan sekurang-kurangnya RM4 bilion untuk kandungan tempatan di Asia.

Netflix Kacau Penyedia TV Berbayar Tempatan

Di Malaysia, impak Netflix sememangnya memberi tekanan kepada syarikat Astro yang merupakan penyedia TV berbayar yang memonopoli pasaran rangkaian televisyen di Malaysia sejak sekian lama. Hasil dari langganan televisyen berbayar ini telah menurun saban tahun.

Menurut Laporan Tahunan 2020, hasil daripada langganan orang ramai telah menurun hampir 14% pada 2020 kepada RM3.9 bilion berbanding RM4.5 bilion yang dicatatkan pada tahun 2018.

Sehingga kini, terdapat beberapa syarikat lain yang ingin bersaing dalam menyediakan kandungan digital di Malaysia. Iflix antara yang pemain-pemain kecil yang menawarkan perkhidmatan serupa selain Viu yang berpangkalan di Hong Kong. Bagi golongan yang warak pula, Nurflix mungkin menjadi pilihan utama.

Leave a Reply

Your email address will not be published.