Kerajaan Terima 2.3 Juta Permohonan Kerja Pada 2019, Hanya 24,500 Orang Dilantik

Kerajaan Terima 2.3 Juta Permohonan Kerja Pada 2019, Hanya 24,500 Orang Dilantik
Share it

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ( SPA ) menerima hampir 2.3 juta permohonan pekerjaan pada tahun 2019, meningkat berbanding 2 juta permohonan pada tahun 2018. Seramai 1.4 juta calon memohon pekerjaan di kumpulan jawatan pelaksana dengan kelayakan akademik sijil, SPM dan PMR manakala 488,000 orang lagi memohon jawatan dengan kelayakan akademik diploma.

SPA juga menerima sekitar 357,000 permohonan untuk jawatan gred 41 dimana pemohon memerlukan sekurang-kurangnya ijazah untuk mengisi jawatan tersebut.

Meskipun SPA menerima jutaan permohonan pekerjaan, badan yang bertanggungjawab melantik penjawat awam ini hanya memanggil lebih kurang 225,000 orang pemohon untuk ditemuduga. Ini bermaksud hanya sekitar 10% daripada keseluruhan pemohon ditemuduga oleh SPA.

Daripada 225,000 orang yang dipanggil untuk ditemuduga, statistik menunjukkan hanya 177,000  calon hadir temuduga.

92 Orang Mohon Untuk Setiap Satu Jawatan

Gaji permulaan yang tinggi, masa depan yang terjamin serta manfaat-manfaat lain seperti mudah mendapat pinjaman merupakan antara faktor yang menjadi sebab mengapa sektor awam menjadi idaman sebilangan pencari kerja.

Bagi pemohon yang memohon jawatan dengan kelayakan ijazah, pendapatan kasar yang diperoleh adalah sekitar RM2,800 termasuk dengan elaun dan manfaat-manfaat yang lain. Jumlah ini jauh lebih besar berbanding tawaran gaji di sektor swasta dimana rata-rata hanya ditawarkan sekitar RM2,000 untuk pemegang ijazah.

Selain itu, skim saraan yang ditawarkan kepada penjawat awam juga begitu mengiurkan. Pencen akan diberikan secara bulanan kepada penjawat awam yang bersara sehingga ke penghujung hayat. Selain itu, kerajaan juga memberikan ex-gratia ataupun hadiah secara one-off kepada penjawat awam yang bersara.

Dengan manfaat yang pelbagai, tidak hairanlah jutaan permohonan diterima untuk berkhidmat sebagai penjawat awam. Pada tahun 2019, kerajaan hanya melantik 24,515 orang untuk jawatan tetap dan kontrak. Dalam kata lain, bagi setiap satu pekerjaan yang dilantik, kerajaan menerima 92 permohonan bagi mengisi kekosongan tersebut.

Di peringkat jawatan yang memerlukan kelayakan ijazah, kerajaan menerima 357,167 permohonan bagi mengisi 5,821 kekosongan. Ini bermaksud kerajaan menerima 61 permohonan bagi setiap satu kekosongan jawatan.

Pada tahun 2019 juga, kerajaan telah melantik 16,568 orang pegawai perubatan gred 41 yang dilantik secara kontrak.

Hanya 24,000 Pemohon Berketurunan Cina

Statistik ini turut menunjukkan bahawa sejumlah besar pemohon terdiri daripada kaum Melayu dengan SPA menerima 1.2 juta permohonan. 125,000 pemohon terdiri dari Bumiputera Sabah diikuti Bumiputera Sarawak dengan 84,000 pemohon.

Hanya terdapat 24,000 pemohon dari kaum Cina, iaitu lebih kecil berbanding pemohon kaum India dimana SPA menerima sekitar 47,000 permohonan. Ini bermaksud pemohon kaum Cina hanya 1.6% daripada keseluruhan pemohon, jauh lebih rendah berbanding populasi kaum Cina di Malaysia iatu sekitar 24%. Manakala pemohon berbangsa India adalah sebanyak 3% daripada keseluruhan pemohon.

SPA turut mendedahkan golongan Cina yang paling banyak dipanggil untuk ditemuduga dari segi peratusan. Dengan 24,000 pemohon, sebanyak 7,000 pemohon berketurunan Cina dipanggil untuk ditemuduga tetapi hanya sekitar 6,000 yang hadir temuduga.

Manakala hanya 174,492 calon Melayu yang dipanggil untuk ditemuduga berbanding 1.17 juta permohonan diterima dengan hanya 135,861 yang hadir.

Statistik menunjukkan hampir 10% pemohon berbangsa Melayu yang hadir temuduga berjaya menerima pelantikan jawatan manakala hanya 8.5% pemohon berketurunan Cina dan 7.2% pemohon berketurunan India berjaya menerima pelantikan.

Meskipun terdapat perbezaan peratusan pelantikan diantara pemohon Melayu dan bukan Melayu. Namun data yang tersedia tidak cukup untuk merumuskan sama ada terdapat diskriminasi terhadap pemohon bukan Melayu ataupun tidak.

Nota: Bukan semua pelantikan di sektor awam melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Sebagai contoh, guru dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan manakala anggota tentera dilantik melalui Majlis Angkatan Tentera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *