Kekayaan 50 Orang Terkaya Malaysia Cecah RM465 Bilion

Share it
Jumlah Nilai Kekayaan 50 Individu Terkaya Malaysia

Laporan kekayaan Forbes pada tahun 2026 menunjukkan 50 orang terkaya di Malaysia merekodkan kekayaan bernilai RM465.2 bilion, naik 16% berbanding RM402.3 bilion pada tahun 2025. Peningkatan kekayaan golongan elit ini jauh lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang melonjak 5.2% pada tahun lalu.

Kerancakan pasaran ekuiti, pengukuhan nilai matawang Ringgit serta perkembangan ekonomi antara faktor yang mendorong kepada peningkatan kekayaan golongan ini.

Robert Kuok yang dikenali sebagai Raja Gula kekal sebagai individu terkaya di Malaysia, dengan kekayaan sebanyak RM54.5 bilion. Kekayaan beliau disumbangkan melalui pegangannya di dalam beberapa syarikat tersenarai, seperti Wilmar Group, PPB Group dan Shangri-La International.

Tempat kedua dirangkul oleh Kooh Poh Keong dari Press Metal (RM38.9 bilion) diikuti Lee Yeow Chor dari IOI Group (RM34.1 bilion), Keluarga Teh dari Public Bank (RM30.9 bilion) dan Quek Leng Chan dari Hong Leong (RM30.1 bilion).

Manakala tokoh perniagaan Melayu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang mempunyai kawalan di dalam DRB-HICOM, Malakoff, Pos Malaysia serta Media Prima berada di kedudukan ke-10 dengan kekayaan sekitar RM14.0 bilion.

Beliau terdahulu mempunyai perancangan untuk menyenaraikan MMC Port, syarikat miliknya yang mengoperasikan beberapa pelabuhan di Malaysia termasuklah Northport di Klang, dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor, namun langkah korporat itu dikatakan sedang ditangguhkan.

Tauke Eco-Shop, Lee Kar Whatt serta Keluarga Tiong dari Rimbunan Hijau merupakan pendatang baru kelab elit ini, yang berada di kedudukan ke-18 dan ke-42 dengan nilai kekayaan masing-masing sebanyak RM6.0 bilion dan RM2.6 bilion.

Bilionair Didominasi Etnik Cina

Dari sudut etnik, 43 individu terkaya adalah berketurunan Cina, manakala tiga ahli perniagaan Melayu iaitu Tan Sri Syed Mokhtar, Tan Sri Azman Hashim (AmBank-RM4.8 bilion) dan Tan Sri Syed Azman Ibrahim (Weststar-RM3.4 bilion) turut tersenarai.

Manakala dua keluarga berketurunan India iaitu Keluarga Ananda Krishnan (Maxis-RM26.1 bilion), Keluarga Gnanalingam (Westport-RM12.4 bilion) serta Ninian M. Lourdenadin (MBf-RM4.0 bilion) juga tersenarai.

Sebesar Mana Kekayaan Golongan Ini?

Kekayaan 50 orang terkaya di Malaysia adalah bersamaan dengan 26% daripada keseluruhan saiz ekonomi Malaysia. Sebagai perbandingan, 50 orang terkaya di Amerika Syarikat yang bernilai $3.9 trilion hanyalah bersamaan dengan 12.6% daripada saiz ekonomi negara ‘Uncle Sam’ itu.

Ini menunjukkan kawalan golongan terkaya di Malaysia adalah lebih kukuh berbanding di Amerika Syarikat.

Sebagai gambaran, kekayaan mereka ini juga bersamaan dengan saiz ekonomi lima buah negeri di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Sabah, Pahang, Terengganu dan Perlis yang keseluruhannya bernilai RM465.2 bilion.

Berbanding pendapatan rakyat, kekayaan 50 individu ini juga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan tahunan 3.3 juta isi rumah B40 di Malaysia, yang mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM150.1 bilion.

Kekayaan mereka juga lebih tinggi berbanding simpanan 8.87 juta ahli KWSP Bumiputera berusia 55 tahun dan kebawah di dalam KWSP pada tahun 2025, yang mempunyai aset berjumlah RM401.1 bilion.

Meskipun kekayaan yang luar biasa menunjukkan kejayaan Malaysia mewujudkan kumpulan kapitalis mereka yang tersendiri, namun bagi sebilangan pihak, ia menonjolkan jurang ketidaksamaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Apatah lagi apabila kekayaan mereka meningkat jauh lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi negara.