Pemimpin Kanan UMNO, Johari Ghani Tambah Pegangan Saham di Media Prima

Share it
Nilai Pegangan Saham Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Media Prima Adalah Sebanyak RM138 juta

Pemimpin kanan UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah menambah pegangan saham di Media Prima apabila membeli 54.4 juta saham semalam. Beliau telah memulakan operasi pembelian saham Media Prima sejak tiga minggu lalu apabila membeli 20.3 juta dan 38.3 juta saham pada 11 Mac dan 15 Mac lalu.

Transaksi tersebut dilakukan melalui syarikat JAG Capital Holdings Sdn Bhd yang turut memiliki pegangan saham yang besar di KUB Malaysia Berhad dan CI Holdings Berhad. Bekas Menteri Kewangan Kedua itu kini mempunyai keseluruhan 20% pegangan saham di Media Prima dengan nilai sekitar RM138 juta.

Setelah tewas pada Pilihanraya Umum Ke-14 tiga tahun lalu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang lebih mesra dikenali sebagai Datuk Jo telah menjalankan beberapa langkah strategik korporat apabila membeli sebahagian besar saham KUB Malaysia Berhad pada harga premium.

Johari Abdul Ghani dikenali ramai sebagai tokoh korporat dan pernah menguruskan beberapa perniagaan besar termasuk rangkaian restauran KFC di QSR Holdings. Laporan akhbar sebelum ini turut mendedahkan bahawa beliau merupakan individu yang mempunyai deposit RM190 juta di dalam Tabung Haji.

Beliau kini menjadi pemegang saham kedua terbesar di Media Prima di belakang bilionair Syed Mokhtar Albukhary yang mengawal 31.9% pegangan saham melalui Aurora Mulia di syarikat media gergasi itu.

Datuk Seri Johari Ghani Punyai Kawalan Besar di Tiga Syarikat Tersenarai di Malaysia

Media Prima kembali mencatatkan keuntungan pada dua suku terakhir tahun lalu menutup dagangannya semalam pada harga RM0.62 sesaham. Pada tahun 2019, Media Prima telah mencatatkan kerugian sebanyak RM173 juta setelah meraih keuntungan RM60 juta pada tahun 2018.

Namun pada dua suku kewangan tahun lalu, Media Prima Berhad berjaya memperolehi keuntungan masing-masing pada RM11.8 juta dan RM18.1 juta susulan permintaan baik segmen beli belah dari rumah.

Langkah meningkatkan pegangan saham yang dilakukan oleh Johari Ghani ini mungkin merupakan satu tindakan strategik bagi mengharungi Pilihanraya Umum akan datang dimana media merupakan instrumen penting yang boleh membantu kerja-kerja kempen Pilihanraya.

Beliau tewas di Parlimen Titiwangsa pada PRU-14 lalu di tangan calon PPBM, Rina Harun namun kekal popular dalam kalangan penduduk setempat di kawasan tersebut.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini diĀ https://t.me/EkonomiRakyatMY