Kapal Kontena Terkandas di Terusan Suez, Kapal Syarikat Logistik Pilih Pusing Afrika

Share it

Kapal kontena milik syarikat Jepun, Ever Given telah terkandas di Terusan Suez, Mesir setelah berhadapan dengan ribut pasir yang mengakibatkan tahap penglihatan yang rendah selain angin kuat mencecah 40 knot sejam. Kapal sepanjang 400 meter itu telah menyekat keseluruhan laluan pintasan air sekaligus mengakibatkan kesesakan kapal kontena yang melalui laluan tersebut.

Laluan buatan manusia tersebut dibina pada tahun 1859 dan siap sepenuhnya pada November 1869 yang bertujuan untuk memendekkan tempoh perjalanan kapal-kapal kontena ketika itu. Terusan sepanjang 193km itu merupakan jalan pintas untuk kapal-kapal dagang di antara timur dan barat dan merupakan laluan air yang paling sibuk di dunia.

Sebelum pintasan ini siap, kapal-kapal dagang terpaksa mengharungi tambahan lapan hingga sepuluh hari dengan meredah benua Afrika. Kini, sejarah kembali berulang. Tanjung Harapan di Afrika Selatan menjadi laluan pilihan sebilangan kapal kontena yang skeptikal dengan perkembangan di Mesir.

Keadaan di Terusan Suez masih lagi kabur. Bilakah kapal tersebut bakal dialihkan masih lagi menjadi tanda tanya setelah cubaan pertama pada Jumaat gagal membuahkan hasil. Ini mengakibatkan masalah besar buat industri logistik kerana laluan tersebut merupakan jalan utama menghubungkan Eropah dan Asia dan membawa 12% nilai dagangan global.

10% nilai dagangan minyak dunia juga melalui kawasan tersebut.

Kapal Kontena Sepanjang 400 meter menyekat laluan di Terusan Suez, Mesir

Sehingga kini, 160 unit kapal kontena sedang bersesak di perairan Mesir menanti giliran mereka. Syarikal kapal logistik gergasi, Maersk turut melaporkan bahawa terdapat tujuh kapal kontena mereka turut terkandas di sana susulan situasi berkenaan.

Penyelidik professional, Lloyld’s List Intelligence menganggarkan trafik di terusan tersebut mengangkut barangan bernilai kira-kira $9.6 bilion sehari. Pakar logistik berpandangan situasi berkenaan bakal memberi ruang buat pelabuhan-pelabuhan seluruh dunia menyelesaikan proses pemunggahan kontena sedia ada, namun menjangkakan bahawa operasi pelabuhan bakal berhadapan dengan kesesakan apabila krisis ini selesai.

Pemilik kapal Ever Given, Shoei Kisen Kaisha telah mengeluarkan kenyataan pada Khamis lalu memohon maaf terhadap situasi tersebut dan memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY