Perang Iran – Bagaimana Amerika Syarikat Terperangkap Dalam Perang Yang Tak Berkesudahan?

Share it

Dalam permainan strategi perang Red Alert, kemenangan boleh dicapai dengan memusnahkan keseluruhan infrastruktur lawan menggunakan kereta kebal, jet pejuang dan bala tentera.

Namun di dunia sebenar, peperangan tidak semudah itu. Kecanggihan teknologi dan aset ketenteraan sahaja tidak menjamin kemenangan.

Inilah realiti yang sedang berlaku di Iran. Presiden Donald Trump sebelum ini menjangkakan perubahan rejim boleh dicapai dalam tempoh singkat. Sebaliknya, konflik melibatkan Iran yang dikepalai oleh Amerika Syarikat dan Israel kini berlarutan melepasi 30 hari.

Kenapa Iran Sukar Dikalahkan?

Iran telah lama berdepan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat sejak Revolusi Islam 1979. Tekanan ini semakin terasa apabila negara-negara Barat turut melaksanakan sekatan ekonomi, sekitar tahun 2007 susulan perkembangan pembangunan program nuklear negara itu.

Ancaman terhadap Iran bukan hanya datang dari Barat, tetapi juga daripada sekutu serantau pro-Barat seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait dan Jordan. Negara-negara ini melihat Iran sebagai ancaman utama terhadap hagemoni kuasa di Timur Tengah, malah lebih membimbangkan berbanding Israel.

Tekanan berterusan ini memaksa Iran membangunkan model ekonomi yang lebih berdikari dan berdayatahan, dikenali sebagai resistance economy.

Dari sudut ideologi, asas spiritual mazhab Syiah turut memainkan peranan penting.

Peristiwa Karbala, yang menyaksikan kematian cucu Nabi Muhammad, Saidina Hussain, menjadi simbol perjuangan menentang kezaliman. Bagi penganut bermazhab Syiah, syahid dalam perjuangan dianggap sebagai kemuncak hidup.

Tidak hairanlah kematian tokoh-tokoh seperti Qassem Soleimani hinggalah Ali Khamenei disambut sebagai simbol perjuangan hingga ke peringkat tertinggi. Doktrin inilah membolehkan mereka untuk kekal hidup, tatkala seluruh dunia menentang mereka.

Amerika Syarikat Terperangkap Tanpa ‘Exit Plan’?

Pada awal konflik, Amerika Syarikat menyatakan objektifnya jelas iaitu menumbangkan pemerintahan Republik Islam Iran.

Amerika Syarikat kononnya mendakwa serangan terpaksa dimulakan, kerana Iran mengancam keselamatan serantau melalui senjata nuklear dan misilnya.

Trump melalui platform Truth Social menggesa rakyat Iran untuk bangkit dan menggulingkan kepimpinan ulama’.

Iran akur terhadap kelebihan teknologi ketenteraan Barat. Menjelang pertengahan Mac 2026, sebahagian besar keupayaan tentera lautnya telah musnah.

Namun Iran tidak memilih untuk bertempur secara konvensional. Mereka mengelak pertembungan langsung, sebaliknya menggunakan strategi perang asimetri.

Tiada babak-babak dogfight Tom Cruise seperti di dalam filem Top Gun dalam doktrin ketenteraan Iran.

Pendekatan ini bertujuan menaikkan kos peperangan kepada pihak lawan. Iran menggunakan dron murah dan serangan berskala kecil tetapi konsisten, memaksa Amerika Syarikat dan Israel menggunakan sistem pertahanan mahal untuk menangkis serangan.

Walaupun konflik berlarutan lebih 30 hari, Iran masih lagi mampu melancarkan serangan terhadap aset strategik musuh di Timur Tengah, menunjukkan keupayaan mereka masih belum dapat dilumpuhkan.

Kesannya, kerosakan besar dilaporkan di pangkalan udara Prince Sultan di Arab Saudi, yang menjejaskan keupayaan pengawasan Amerika Syarikat.

Kesan Ekonomi Global Semakin Ketara

Konflik ini turut mencetuskan kejutan kepada ekonomi global. Harga minyak melonjak sehingga sekitar $110 setong, susulan tindakan Iran menutup Selat Hormuz serta menyerang kemudahan minyak di Arab Saudi dan Qatar.

Impaknya dirasai di seluruh dunia.

Di Malaysia, harga diesel melepasi RM6.02 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi dianggarkan mencecah hampir RM3.87 seliter.

Di Australia, ratusan stesen minyak terpaksa ditutup akibat kekurangan bekalan. Di Filipina, harga diesel naik mendadak daripada 60 kepada 120 peso seliter, menyebabkan jalan raya lenggang.

Tekanan ekonomi ini memberi kesan langsung kepada sekutu Amerika Syarikat terutamanya negara-negara Teluk. Desakan agar konflik ditamatkan dalam kalangan negara-negara sekutu AS semakin meningkat.

NATO, misalnya enggan terlibat secara langsung. Negara-negara Teluk pula mula menilai semula hubungan strategik mereka dengan Washington, yang dilihat gagal menjamin kestabilan serantau.

Amerika Syarikat dan Israel kini tidak mempunyai jalan keluar. Objektif untuk menumbangkan kepimpinan Iran masih belum tercapai.

Di dalam negara, suhu politik semakin panas apabila harga minyak domestik naik sekitar 25 peratus kepada $4 segelen.

Berundur dari perang ini tanpa kemenangan jelas akan dilihat sebagai kegagalan strategi perang pentadbiran Trump.

Ini bukanlah cerita baik untuk Trump dan Parti Republikan, yang bakal mengharungi Pilihan Raya Pertengahan Penggal pada November ini. Tahap populariti Trump susut ke 33%, terendah dalam sejarah.

Usaha untuk mencapai gencatan senjata juga menemui jalan buntu. Iran menafikan sebarang rundingan, bercanggah dengan dakwaan Washington sebelum ini bahawa mereka sedang berunding dengan pemimpin Iran.

Laporan terkini menunjukkan Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan operasi darat, termasuk kemungkinan menguasai Pulau Kharg, sumber eksport minyak utama Iran.

Langkah ini, jika dilaksanakan, menunjukkan bahawa Amerika Syarikat tidak mempunyai sebarang pilihan lain sehingga sanggup mengambil risiko untuk mempertaruhkan nyawa askar mereka sendiri.

Sama ada taktik ini berjaya ataupun tidak masih menjadi persoalan. Namun sejarah menunjukkan dari perang Jepun, Vietnam, Afghanistan hinggalah Iraq, Amerika Syarikat sentiasa bergelut dalam mengakhiri peperangan dalam satu kemenangan mutlak.